Wednesday, April 16, 2008

Kursus fardu ain khas buat mualaf warga asing

JIKA tiada bimbingan yang berterusan selepas melakukan pengorbanan yang besar dalam hidup, mereka ini dibimbangi akan kembali kepada agama asal.Justeru, langkah pemantauan dan pengajian yang diambil oleh beberapa institut dan pertubuhan agama Islam di negara ini, merupakan salah satu langkah bijak supaya golongan saudara baru ayau mualaf ini sentiasa mendapat bimbingan berterusan sebaik diri melakukan penghijrahan akidah.

Saudara-saudara baru ini bukan sahaja di dedahkan dengan agama Islam, namun mereka ini turut diajar aspek amalan ibadat seperti panduan solat, fardu ain dan sebagainya.

Bertempat di Dewan Hadhari, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Kuala Lumpur, Unit Saudara Baru (Bahagian Dakwah) menganjurkan bengkel kelas intensif fardu ain untuk golongan mualaf dari luar negara, baru-baru ini.

Menurut Timbalan Pengarah Operasi Jawi, Saimah Mukhtar, kelas ini adalah bertujuan untuk memberi bimbingan berterusan selain memperoleh kad pengesahan pengislaman.

"Ini merupakan salah satu program anjuran Jawi untuk saudara baru luar negara yang kita jalankan pada tahun ini. Mereka ini ada yang datang dari Jerman, United Kingdom, Afrika, Poland dan sebagainya.

"Pada tahun ini, untuk program kelas intensif ini, kita akan adakan lebih kurang empat kali. Ini merupakan kali pertama dan insya-Allah pada bulan Mei ini ia akan diadakan lagi," ujarnya.

Menurutnya lagi, program ini bukan sahaja dapat memberi pendedahan kepada mereka malah ia turut menjadi salah satu cara untuk mengeratkan hubungan antara mereka.

"Malah progam ini tidak berakhir di sini sahaja. Kita akan adakan beberapa siri lain sebagai kesinambungan daripada program sebelum itu contohnya; sambutan Hari Keluarga.

"Kursus ini kita sediakan untuk warga asing kerana jika mereka mengikuti kelas-kelas agama yang kami sediakan pada hari-hari biasa, ia menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar, ia mungkin menimbulkan masalah komunikasi dan pemahaman," jelasnya.

Kursus Intensif Fardu Ain ini bermula dengan pendaftaran peserta dan sarapan pagi. Kemudian ia disusuli dengan sesi suai kenal dan pendedahan berkenaan kursus tersebut.

Kursus tersebut bukan sahaja dipenuhi dengan ceramah-ceramah daripada penceramah yang dijemput khas malah ia turut melibatkan latihan amali oleh peserta.

Ceramah-ceramah bertajuk Islam Is A Way Of Life dan Muslims As Khalifah (vicegerent) Of Allah disampaikan oleh Mohd. Azmi Lim Abdullah.

Sepanjang kursus itu, mereka turut belajar mengenai bersuci, penyucian dan solat dalam bengkel yang di sediakan berselang seli dengan ceramah. Para peserta tidak melepaskan peluang untuk mempelajari dengan lebih dekat berkenaan Islam ini menerusi bengkel yang disediakan.

Kursus itu diakhiri dengan penyampaian sijil dan disudahi dengan mendirikan solat Asar secara berjemaah.

Biar mualaf tentukan cara

Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dengan nyata telah menzahirkan secara terperinci mengenai kebebasan beragama. Dan, ia telah menjadi satu tiket yang tidak seharusnya dipertikaikan sebaliknya perlu dijaga demi keharmonian sejagat.

Ringkasnya setiap peraturan yang hendak dibuat seharusnya disesuaikan agar sepadan dengan acuan tersebut bagi mengelakkan ia kelihatan seolah-olah telah menyimpang dari landasan peruntukan sebenar.

Ini kerana penyimpangan dari segi fakta bukan sahaja mencacatkan pandangan bahkan mengundang pelbagai pecahan daripada permasalahan sebenar.

Begitu juga hasrat kerajaan untuk memperkenalkan satu peraturan baru yang mewajibkan pihak yang ingin memeluk agama Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka bagi mengelak sebarang masalah di kemudian hari seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya pada 10 April lalu.

Mengupas isu yang mengundang reaksi pelbagai pihak, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar berpendapat, sekilas pandang memanglah ia merupakan suatu yang baik iaitu memaklumkan keputusan memeluk Islam secara terbuka.

Pun begitu, hasrat murni tersebut memerlukan satu kajian terperinci dan menyeluruh dilakukan dari aspek praktikal dan keselamatan sama ada peraturan sedemikian wajar dilaksanakan ke atas saudara baru yang sememangnya memerlukan sokongan jitu semua pihak.

Janganlah nanti disebabkan bermacam syarat serta peraturan yang perlu dipenuhi akan membantutkan niat murni untuk memeluk Islam. Apatah lagi, hanya mualaf berkenaan yang lebih arif dalam mengenali hati budi ahli keluarga dan rakan-rakan.

''Memang kita sering mendengar daripada saudara-saudara baru ini, apabila berita memeluk agama Islam sampai ke pengetahuan keluarga maka mereka akan memujuk supaya kembali kepada agama asal.

''Ada juga dilaporkan keluarga mereka mengancam untuk melakukan sesuatu sekiranya hasrat memeluk Islam diteruskan. Ini sudah semestinya menimbulkan dilema di kalangan saudara baru,'' jelas Zainul Rijal berdasarkan pengalamannya sebagai peguam syarie.

Malah ada juga dilaporkan ahli keluarga yang mengugut mualaf kerana dikatakan telah menconteng arang di muka mereka.

"Saya memang bersetuju isu memeluk Islam bagi seorang saudara baru adalah suatu perkara besar dan membawa kesan yang berkekalan. Lantaran itu, memang perlu seseorang yang memeluk Islam memaklumkan kepada keluarga yang masih menganut agama asal.

Memilih "Meskipun begitu, biarlah mualaf berkenaan sendiri yang memilih cara dan masa yang sesuai untuk berbuat demikian memandangkan mereka sahaja yang benar-benar tahu isi hati, reaksi dan ramalan penerimaan keluarga masing-masing.

"Undang-undang juga tidak seharusnya mencampuri hal berkenaan apatah lagi menjadikan pemberitahuan tersebut sebagai prasyarat untuk memeluk Islam,'' ujar Zainul Rijal ketika dihubungi.

Sementelah pula, peraturan baru ini, pada hemat Zainul Rijal sedikit sebanyak akan menghakis hak kebebasan beragama yang sememangnya dijamin di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

"Sekiranya sesuatu peraturan tersebut menafikan hak yang dijamin oleh Perlembagaan maka peraturan sedemikian tidaklah elok digarap,'' kata Zainul Rijal.

Perlu juga diingat, hal ehwal agama Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri sebagaimana yang termaktub di bawah Jadual Kesembilan Senarai Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Dengan lain perkataan, sekiranya Kerajaan Persekutuan membuat peraturan sebegini sudah tentu ia tidak akan terlaksana melainkan diterima oleh negeri-negeri.

Zainul Rijal menambah, oleh kerana ia turut menyentuh kuasa Raja-Raja Melayu, pelaksanaannya di peringkat Persekutuan sudah semestinya memerlukan perkenan Raja-Raja Melayu terlebih dahulu.

Beliau berpendapat, jika peraturan sebegini menjadi kenyataan, sudah tentu dakwah Islam terlalu sukar untuk dilaksanakan. Akhirnya akan mengakibatkan orang bukan Islam menjauhkan diri daripada agama suci ini.

Zainul Rijal menegaskan, walhal perkara asas yang menjadi syarat ialah lafaz syahadah. Cuba renungkan, apakah implikasi yang timbul sekiranya pemberitahuan ini tidak dilakukan sedangkan syahadah individu terbabit telah pun diterima.

Dari sudut hukum syarak, sudah tentulah mereka telah Islam cuma keperluan peraturan sahaja yang belum dipenuhi.

Dalam hal sedemikian, sekiranya saudara baru ini meninggal dunia ia akan menimbulkan polemik yang lebih besar lagi. Kita sering memperkatakan tentang hak keluarga yang masih belum Islam itu dalam hal yang berkaitan tetapi kita meminggirkan persoalan utama tentang hak mualaf itu sendiri.

Janganlah merobek hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan ini dengan pelbagai peraturan yang tidak praktikal dan menjejaskan keselamatan mualaf itu sendiri.

Hormatilah pilihan mualaf ini sebagaimana orang Islam juga tidak pernah memaksa orang bukan Islam memeluk agama Islam.

Sungguhpun telah memeluk Islam, saudara baru ini masih tidak putus hubungannya dengan keluarga mereka yang mempunyai pertalian darah walaupun telah berbeza agama. Tidak langsung timbul persoalan melarikan diri daripada tanggungjawab mereka.

Sekiranya orang bukan Islam tahu, masalah ini tidak akan timbul kerana sebenarnya terdapat hak dan relif yang sama dan adakalanya lebih baik untuk mereka melalui undang-undang Islam.

"Justeru, pada pendapat saya, saudara baru perlu memaklumkan status agama mereka. Namun keperluan ini tidak perlu dijadikan peraturan sehingga menyukarkan serta mengancam keselamatan saudara baru itu sendiri.

''Biarlah saudara baru sendiri yang menentukan bila mereka ingin memaklumkan berita pengislaman mereka.

Janganlah dipaksa kepada mereka kerana ia tidak selaras dengan hak kebebasan beragama dan tiada paksaan di dalam Islam.

''Bagi keluarga bukan Islam pula, hak mereka masih utuh berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada. Tidak timbul isu melarikan diri daripada tanggungjawab kekeluargaan.

''Saya menyarankan pihak kerajaan memikirkan semula hasrat ini. Tindakan tidak popular ini sudah tentu akan menjadi igauan umat Islam dan memberi kesan terhadap dakwah Islam di Malaysia.

Janganlah terburu-buru menggubal peraturan yang tidak mendatangkan kebaikan kepada semua. Peraturan yang adapun sudah agak menyusahkan saudara baru kita, apatah lagi sekiranya pelbagai peraturan lain pula diwajibkan,'' kata Zainul Rijal.

Menyentuh mengenai dilema yang timbul ekoran perebutan jenazah saudara baru oleh keluarga bukan Islam, bagi Zainul Rijal, ia sebenarnya boleh dielakkan dengan cara menyelesaikannya di luar mahkamah.

Sebagai contoh, katanya, dua jenazah mualaf masing-masing berbangsa Cina dan India di Selangor serta Johor pada tahun lalu telah berjaya diselesaikan melalui rundingan tanpa perlu ke mahkamah.

"Sungguhpun saya seorang peguam, namun isu perebutan mayat boleh dielakkan daripada dipanjangkan kepada mahkamah. Untuk menjayakannya, ketua-ketua agama misalnya mufti dan paderi perlulah mengadakan rundingan. Hasil perbincangan boleh dipanjangkan kepada sultan,'' ujar Zainul Rijal.

Rumusannya jika wakil sesuatu agama diberikan hak menyuarakan pandangan masing-masing dengan ikhlas, semua masalah dapat diatasi.

12 maut letupan di masjid Iran

TEHERAN 13 April – Sekurang- kurangnya 12 orang terbunuh dalam letupan di sebuah masjid di selatan Iran yang dipercayai berpunca daripada unsur kecuaian .

Agensi berita IRNA melaporkan, letupan di masjid di bandar Shiraz itu turut menyebabkan lebih 160 cedera dan ia dikhuatiri akan meningkatkan jumlah korban.

Bagaimanapun, stesen berbahasa Inggeris, TV Press hari ini menyatakan, letupan itu mungkin berpunca daripada bahan letupan yang ditinggalkan semasa pameran sambutan Perang Iran-Iraq.

Agensi berita Fars turut membuat laporan yang sama yang berdasarkan kepada kenyataan pegawai yang sama.

“Berdasarkan penilaian awal, letupan malam tadi tidak disengajakan atau perbuatan sabotaj,” lapor agensi itu yang memetik kenyataan komander pasukan keselamatan di selatan wilayah Fars, Ali Moayedi.

Jurucakap Kementerian Luar Iran menyatakan, siasatan sedang dijalankan.

“Berita terbaru yang kami peroleh, tidak ada kenyataan jelas oleh polis dan pegawai keselamatan dengan siasatan masih dijalankan,” jelas Mohammad Ali Hosseini.

Lewat semalam, Fars memetik seorang anggota polis menyatakan, peranti “buatan sendiri” telah dipasang di dalam masjid.

Stesen televisyen di negara ini turut menggesa penduduk Shiraz mendermakan darah dan melaporkan semua jururawat di bandar ini diarahkan bertugas.

IRNA melaporkan, letupan itu berlaku semasa seorang ulama menyampaikan khutbah di masjid itu.

Orang Melayu jangan jual tanah

Oleh ARSHAD KHAN

KUALA LUMPUR 13 April – Orang Melayu di sekitar Sepang, daerah projek ternak babi, dinasihat tidak terburu-buru menjual tanah kerana termakan khabar angin mengatakan nilai tanah di tempat mereka akan jatuh.

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Moehamad Izat Emir berkata, penduduk diminta jangan mudah diperdaya mengenai nilai tanah mereka ekoran projek penternakan babi secara moden bernilai RM100 juta di kawasan tersebut.

Jelasnya, Perdasama bimbang usaha oleh golongan tertentu menakutkan penduduk di kawasan berkenaan kononnya nilai tanah di situ mengalami kejatuhan berikutan rancangan kerajaan negeri untuk membuka ladang babi.

Katanya, khabar angin itu mungkin sengaja diwujudkan oleh pihak-pihak tertentu dengan harapan untuk mengaut tanah milik orang Melayu dengan kadar harga yang rendah.

“Penduduk di kawasan Kampung Tumbuk terutamanya janganlah menjual tanah atas sebab geli atau rimas dengan pembukaan ladang babi, itu mungkin hanya satu helah untuk memastikan tanah Melayu dijual,” katanya ketika menghubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kata beliau, orang Melayu perlu terus mempertahankan tanah milik masing-masing kerana nilainya adalah amat tinggi di pasaran semasa.

Dalam pada itu, Perdasama mencadangkan kepada kerajaan Selangor agar memindahkan projek itu ke kawasan lain seperti Pulau Ketam yang dihuni majoriti penduduk bukan Melayu.

Jelasnya, melihat kepada senario masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini, maka ladang babi amat sesuai jika dibuka di kawasan pulau kerana ia jauh dari kawasan tanah besar yang mana baunya boleh mengganggu penduduk.

“Cuma perlu dipastikan tidak ada bahan sisa babi yang dilepaskan ke dalam laut,” katanya.

Kurikulum pendidikan sumber mencorak manusia

Oleh W. RAHIMAH DRAMAN


SEBAHAGIAN peserta yang mengikuti syarahan perdana di Universiti Malaya, baru-baru ini.

KESELESAAN hidup generasi hari ini adalah hasil daripada penyelidikan dan perancangan jangka panjang para penggubal dasar dan pemimpin masa lampau.

Penggubalan dan pembuat polisi bagi sesuatu dasar pula tidak akan berlaku jika tiada penyelidikan serta perancangan yang terperinci oleh para penyelidik.

Namun penyelidikan yang komprehensif adalah penentu corak pelan perancangan sesuatu dasar yang digubal untuk perlaksanaannya bagi kesinambungan hidup yang selesa dan kondusif dalam masyarakat.

Proses penyelidikan yang komprehensif pada kebanyakan dasar di negara ini bagaimanapun tidak menyeluruh, kata Profesor Kurikulum di Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Profesor Dr. Saedah Siraj.

“Kita mempunyai banyak pakar-pakar penyelidik dalam mencorak dasar saham, bisnes dan ekonomi serta sains dan teknologi, tetapi tidak ada pakar penyelidik dalam mencorak hidup manusia khususnya yang melibatkan kurikulum dalam pendidikan,” katanya.

Sedangkan dasar kurikulum pendidikan tegas beliau, merupakan perkara pokok dan sumber utama dalam mencorak manusia bagi mewarisi kehidupan masa hadapan.

Untuk itu tegasnya, adalah sangat mustahak kurikulum masa depan berorientasikan penyelidikan digubal berdasarkan perolehan kajian oleh pakar-pakar penyelidik mengenai tuntutan masa akan datang manusia dalam sistem pendidikan negara.

“Bidang penyelidikan kurikulum itu pula perlulah melibatkan pengkajian mengenai trend, peristiwa dan impaknya kepada manusia yang akan dididik itu sendiri,” jelasnya.

Dr. Saedah yang juga Timbalan Dekan (Ijazah Dasar) Fakulti Pendidikan UM berkata demikian dalam syarahan perdana beliau mengenai ‘Pembinaan kurikulum masa depan berorientasikan penyelidikan’ di auditorium utama Fakulti Pendidikan UM pada pen penghujung Februari lalu.

Membuat pendekatan melalui kata kunci, Kurikulum: Kurikulum masa depan, jangkaan masa depan, trend, peristiwa, kemungkinan masa depan dan pilihan masa depan dalam syarahan itu beliau berkata, proses sesuatu penyelidikan itu pula mestilah mengambil masa tidak kurang dari 15 tahun.

Penyelidikan yang dibuat mestilah dimuat dan berdasarkan data-data yang tepat, barulah hasil kajian untuk dijadikan dasar perlaksanaannya relevan dan bermanfaat untuk jangka masa yang lama, jelasnya.

Syarahan beliau hampir sejam itu diikuti oleh para ahli akademik, pensyarah, guru dan pelajar ijazah tinggi serta pertama dari institusi pendidikan sekitar Lembah Klang.

Berpengalaman selama 27 tahun dalam penyelidikan kurikulum masa depan Dr. Saedah berkata, fenomena bioteknologi di Malaysia sekarang misalnya, sudah bermula di Eropah 30 tahun lalu hasil penyelidikan yang dibuat belasan malah puluhan tahun sebelum itu.

“Begitu juga dengan teknologi maklumat dan perkomputeran yang diterokai oleh Jepun, mereka membuat penyelidikan mengenainya 30 hingga 40 tahun sebelum ia direalisasikan penggunaan di negara berkenaan lebih 20 tahun lalu.

“Tetapi teknologi itu hanya sampai kepada kita untuk diguna pakai beberapa tahun kebelakangan sahaja,” jelasnya.

Persoalannya beritahu Dr. Saedah, sampai bila kita akan terus menjadi pengguna kepada teknologi dan penemuan-penemuan yang diterokai dan reka cipta oleh pakar-pakar asing.

Menurut beliau, permasalahan ini hanya akan dapat di atasi jika kerajaan menyediakan kumpulan pakar-pakar penyelidik terbaik mulai sekarang bagi membuat penyelidikan kurikulum masa depan untuk kegunaan 20 hingga 30 tahun akan datang.

Ini kerana katanya, penyelidikan berkualiti bagi meramal keperluan manusia untuk kegunaan pada dua hingga lima dekad akan datang tidak boleh dihasilkan dalam masa setahun dua.

Dr. Saedah yang banyak membuat kajian mengenai penyelidikan pengajian masa depan barat seperti Teknik Delphia (1947) di samping kajian yang dihasilkan oleh Carswell, Dean dan West, Friman, Robson, Vamadore serta Wicklein berkata, usaha lebih serius perlu bermula dari sekarang.

Berinovasi

Begitu pun ujar beliau, rakyat Malaysia kena dibiasakan dengan data-data sebab dalam penyelidikan masa depan, ia memerlukan pengumpulan data-data yang berinovasi dan tepat.

“Walaupun ia mungkin hanya angka-angka impian atau ramalan dalam data yang dirumus daripada penyelidikan, tetapi hasilnya mestilah dasar yang boleh menyelesaikan masalah untuk tempoh selepas 30 tahun akan datang,” katanya.

Ini kerana tegas beliau lagi, kepentingan kurikulum masa depan bukan sahaja melibatkan penentuan hala tuju sistem pendidikan tetapi akan turut meramal, mengubahsuai dan mengimbangi bagi kepentingan manusia yang dididik itu sendiri.

Lebih penting pula tambah Dr. Saedah, pakar-pakar penyelidik kurikulum akan menjadi aset yang bernilai di samping menjadi perancang, pengimbang, penganalisis masa depan yang lebih berdedikasi.

“Kepincangan dalam sistem pendidikan sekarang berlaku apabila dasar kurikulum yang digubal tidak menjangkau jauh ke depan mengikut pandangan futuristik.” tegas beliau.

Sebab itu katanya, asas lapan yang diubahsuai daripada teknik Longstreet dan Shane serta elemen peristiwa dan ramalan sangat penting dalam penyediaan kurikulum masa depan.

Sementara Dekan Fakulti Pendidikan UM, Profesor Dr. Noraini Idris ketika mengulas mengenai syarahan tersebut berkata, penggubalan kurikulum dalam sistem pendidikan negara perlu melibatkan nilai-nilai moral dan disiplin manusia.

“Ini penting kerana sistem kurikulum pendidikan adalah landasan dalam membentuk kemanusiaan lebih bermoral dan berdisiplin.

“Penggubalan kurikulum masa

depan yang realistik dalam sistem pendidikan mestilah yang dibina melalui hasil penyelidikan yang dibuat dalam tempoh 10 hingga 15 tahun, bukan yang dirumus dalam masa lima jam oleh para pegawai ‘pilihan’,” tegasnya.

Kerjasama dengan pakar-pakar utama dari semua agensi pula tambah Dr. Noraini, sangat penting bagi menghasil serta menjana kurikulum terbaik menuju misi negara maju dan penyelesai masalah akan datang.

Tuesday, April 15, 2008

Mukjizat al-Quran

SOALAN: Umat Islam dikejutkan dengan fitnah musuh yang disebarkan melalui industri perfileman yang menuduh umat Islam dan al-Quran menganjurkan keganasan. Pelbagai reaksi umat Islam apabila menerima fitnah tersebut. Apakah kita patut mengutuk perbuatan mereka?

- Nasaruddin Sulaiman, Wakaf Baru, Kelantan.

JAWAPAN: Ada pelbagai sikap yang diambil seperti mengutuk mereka dan ada yang memulaukan barangan keluaran negara berkenaan. Ada juga yang mahu mereka yang bertanggungjawab itu dihukum dan lain-lain. Tetapi isu fitnah seperti ini tidak akan tamat, lebih-lebih lagi apabila agama Islam itu mula dikaji dan diterima di negara mereka sendiri. Dalam hal ini Allah s.w.t. pernah memberitahu kita dalam firman-Nya bermaksud: Mereka (musuh Islam) itu sentiasa bercita-cita untuk memadamkan cahaya sinaran petunjuk agama Allah pelbagai cara lagi dengan kata-kata mereka (seperti filem dan lain-lain) tetapi Allah tidak merestui (rancangan mereka) melainkan Allah tetap akan menyempurnakan cahaya petunjuk-Nya meskipun tanpa kerelaan mereka (surah as-Saf ayat 8).

Ini kerana ajaran Islam adalah satu-satunya ajaran di dunia yang sesuai dengan kejadian manusia yang berakal setelah ajaran nabi-nabi lain diubah suai oleh manusia sehingga keesaan Allah disekutukan dengan yang lain. Sedangkan asas ajaran agama langit itu adalah berpaksikan keesaan (mentauhidkan) Allah s.w.t. tanpa sekutu pada-Nya. Yang mana hak-Nya terhadap hamba-Nya adalah yang satu iaitu menyembah-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan yang lain, dan bila hamba dapat menunaikan hak-Nya itu, Allah akan menunaikan hak hamba-Nya pula iaitu tidak akan menyeksa mana-mana hamba yang menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan yang lain. Ini ditegaskan dalam sabda Rasullullah s.a.w. yang bertanya kepada Abi Zar RA.bermaksud: Adakah kamu tahu hak Allah ke atas hamba-Nya dan hak hamba ke atas Tuhannya. Jawab Abu Zar: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui."

Sabdanya: Adapun hak Allah ke atas hamba-Nya itu ialah menyembah-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan yang lain sedikitpun manakala hak hamba kepada-Nya pula ialah tidak akan mengazabkannya selama-lama sedikitpun.

Ibnu Umar pernah menceritakan mengenai perbandingan kejayaan peranan agama Islam dengan agama lain daripada mereka yang sebelum kamu hanyalah perbezaan yang sedikit, iaitu tempoh yang ada antara solat asar dan maghrib. Kerana ahli Taurat yang diberikan Taurat itu hanya dapat beramal dengan kitab mereka (taurah) setakat tengah hari kemudian mereka tinggalkan kerjanya lantaran ingkar dan berselisih sampai mengubahnya, mereka diberikan balasan hanya separuh dari ganjaran sepatutnya. Begitu juga ahli kitab yang diberikan Injil, mereka hanya dapat beramal dengannya separuh jalan iaitu sampai waktu asar. Mereka juga mendapat separuh ganjaran pahala sahaja (sampai asar). Tetapi umat Islam yang dikurniakan al-Quran dapat beramal dengan ajarannya sampai tamat tempoh. Maka kita sahaja yang diberikan ganjaran penuh lalu pada hari pembalasan nanti mereka (ahli kitab Taurat dan Injil) akan persoalkan bagaimana kami diberikan pahala yang kurang sedangkan kami bekerja lebih kuat daripada mereka (lebih separuh hari).

Lalu firman Allah: Adakah Kami menzalimi kamu? Jawab mereka tidak juga! Firman Allah: Itulah limpah kemurahan-Ku yang Aku kurniakan sesiapa yang Aku sukai (hadis riwayat Bukhari). Kelebihan ini bukan kerana pilih kasih dari Allah mengazabkan mereka dan mengurniakan balasan pahala yang besar kepada umat Islam. Allah berfirman yang bermaksud: berkata orang Yahudi dan Kristian kami ini adalah anak Tuhan dan kesayangan-Nya katakan kenapa Allah menyeksa kamu dengan sebab dosa-dosa kamu malahan kamu juga adalah kejadian dari manusia biasa (seperti kami juga) Allah akan mengampuni mereka yang dikehendaki-Nya dan menyeksa siapa yang dikehendaki-Nya (al-Maidah 18).

Inilah kanun dan sunah Allah yang tidak akan berubah-ubah. Dari sinilah dapat difahami bahawa kemuliaan satu-satu umat itu bergantung dengan ajaran risalahnya. Kemuliaan tersebut akan berada bersamanya selama mana kepatuhannya tidak berbelah bagi dan ikhlas terhadapnya. Buktinya mereka dapat menghafaz dan mempertahankan al-Quran. Dan ia tidak pernah berubah. Inilah sebabnya kekebalan wahyu Ilahi dan kesuciannya dapat kita lihat sampai hari ini. Wallahualam.

Masa dulu dan sekarang

Soalan: Saya terbaca hadis riwayat Bukhari dari Zubair Bin 'Ady katanya: "Kami datang bertemu Anas lalu kami mengadu kepadanya apa yang kami alami dari Hajjaj, jawabnya hendaklah kamu bersabar kerana tidak akan datang ke atasmu masa melainkan masa selepas itu lebih teruk lagi sehingga kamu bertemu dan menghadap Tuhan kamu, ini yang aku dengar dari Nabi kamu." Bagaimana hendak difahami maksud hadis ini?

- Rizal Abdul Mukmin,

Keramat, Kuala Lumpur.

JAWAPAN

Ramai yang salah faham dengan hadis ini. Sebab itu ramai yang mengambil sikap negatif dan tidak mahu berusaha memperbaiki untung nasib mereka kerana menganggap segala perkara itu akan berterusan ke arah keburukan dan kejatuhan.

Kebanyakan ulama menerima hadis ini dengan beberapa pendekatan.

Pertama: Imam Hasan Basri memahaminya secara kebiasaan (ghalib) ada juga sekali sekala masa yang kemudian lebih baik seperti semasa pemerintahan Umar Ibnu 'Abdul Aziz yang zamannya kemudian dari masa Hajjaj

Kedua: Ibnu Mas'ud ada mengatakan tidak datang satu masa melainkan masa yang selepasnya lebih jahat dari dahulu. Maksudku bukan seorang pemimpin lebih baik dari seorang pemimpin yang lain atau satu tahun itu lebih baik dari tahun yang lain tetapi maksudku ialah para ulama dan fukaha kamu akan hilang dan tidak ada yang dapat menggantikannya lalu datanglah selepas itu manusia yang akan mengikut fatwa orang jahil, itulah keruntuhan Islam. Kata al-Hafiz pendapat Ibni Mas'ud ini patut diikuti dan diterima tetapi asas kekeliruannya masih kekal.

Ketiga: Dalam sejarah lslam terbukti ada masa tertentu yang kemudian agak lebih baik dari sebelumnya. Contohnya kurun lima hingga kelapan ramai mujadid yang lahir.

Keempat: Ibnu Hibban mengatakan hadis Anas diqaidkan dengan hadis sahih mengenai kedatangan Mahdi yang akan memerintah bumi dengan penuh keadilan.

Kelima: Pandangan al-Hafiz dalam kitabnya (al-Fath). Maksud masa yang disebut dalam hadis tadi tertentu dengan masa (abad) para sahabat dan tabiin kerana kepada mereka ditujukan hadis itu.

Keenam: Anas yang mengarahkan mereka supaya bersabar menghadapi keadaan sedangkan sabar itu berlainan dengan berdiam diri menerima keadaan dan kekacauan serta kekejaman dan kejahatan yang berlaku. Ini kerana mereka yang tidak ada kemampuan dan tidak berkuasa menentang kekejaman tidak harus bertindak selain bersabar menunggu keadaan dan peluang dengan segala persediaan di samping berusaha untuk mengatasi kekejaman tersebut.

Rasulullah sendiri dapat bersabar selama 13 tahun semasa di Mekah adalah sebaik-baik contoh untuk diikuti. Dan selepas pembukaan Mekah barulah baginda meruntuhkan segala berhala di Kaabah. Sebab itu arahan dengan kesabaran dalam hadis tadi, tidak sepatutnya difahami sebagai menyerah kalah atau menerima kekejaman.

Wallahualam.

Isytihar agama hanya jika keluarga bersedia

Oleh LAWRENCE QUEK (WARTAWAN UTUSAN)

BEBERAPA tahun dulu seorang kawan pernah secara terbuka memaklumkan kepada keluarganya bahawa dia memeluk agama Islam.

Tindakannya berterus terang itu sememangnya wajar dipuji kerana merasakan sebagai anak, dia bertanggungjawab untuk memberitahu ibunya, juga keluarga, mengenai keputusan murninya itu.

Malangnya, keputusannya memeluk agama Islam itu mendapat tentangan kuat apabila ibu, dan kakaknya, datang menemuinya dan memberi kata dua, memeluk Islam atau mereka berdua akan mencabut nyawa sendiri di depannya.

Apakah seorang anak sanggup melihat dua insan yang disayanginya mencabut nyawa sendiri di depan mata disebabkan niat murninya memeluk Islam?

Ditakdirkan dia mengalah kepada desakan ibu dan kakaknya dan kembali kepada agama asal, biarpun dengan hati yang maha berat.

Pengumuman kerajaan akan memperkenalkan peraturan baru mewajibkan mereka yang ingin memeluk agama Islam membuat perisytiharan secara terbuka dapat difahami alasan dan sebab-musabab, demi tidak menyusahkan pihak-pihak lain berkaitan jika timbul masalah kemudian hari.

Memang tepat dan wajar apabila seseorang melakukan sesuatu yang baik, ikhlas, murni, jujur dan mulia memaklumkan kepada sesiapa sahaja, terutamanya keluarga sendiri.

Persoalannya, apakah segala niat baik akan diterima dan dibalas dengan ganjaran yang setimpal? Pengalaman memberi pengajaran pro dan kontranya.

Beberapa perkara berbangkit beberapa waktu kebelakangan terutama berhubung soal kematian dan pengebumian serta hak penjagaan anak telah menjadi isu yang dianggap menindas golongan bukan Islam.

Isu ini sengaja dimainkan terutama oleh media asing untuk menekan kerajaan dan memberi gambaran salah bahawa golongan minoriti ditindas serta tidak mendapat hak sebagai warganegara.

Apakah perlu tunduk kepada desakan seperti ini dengan memperkenalkan peraturan baru yang sebenarnya tidak akan memihak atau membawa kebaikan dalam erti kata sebenar kepada saudara baru dan agama Islam sendiri.

Soal agama memang sensitif dan boleh mencetuskan ketegangan, apatah lagi yang berkaitan dengan keputusan seseorang memeluk agama Islam.

Seyogia ingin dimaklumkan amat bertuah jika keputusan seseorang memeluk agama Islam akan diterima dengan tangan terbuka oleh keluarga, sama ada ibu bapa, isteri, suami, anak, adik-beradik dan saudara-mara lain.

Malangnya, dalam persoalan membabitkan hubungan antara agama seperti ini, ia tidak semudah dipandang oleh mata luar, bahu yang memikul beban tahu berat atau ringannya cabaran apabila memeluk Islam.

EngganSebab itu dalam banyak kes, apabila seseorang saudara baru tidak, gagal atau enggan memaklumkan kepada keluarga mengenai keputusan memeluk agama Islam, ia tidak boleh dianggap sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab atau sikap tidak matang.

Manusia yang waras dan baik tidak akan mahu melihat pergolakan dalam keluarga atau melihat tindakan seperti mencabut nyawa sendiri ahli keluarga terdekat dan disayangi.

Malah terdapat saudara baru dibuang oleh keluarga sendiri gara-gara memeluk agama Islam, dan golongan ini paling layak mendapat perlindungan dan pertolongan daripada terus menghadapi tekanan keluarga dan masyarakat lamanya.

Ramai saudara baru yang memeluk agama Islam secara senyap apabila menyedari risiko bahawa tindakan mereka hanya mengundang padah dan malapetaka yang membabitkan soal akidah dan kelangsungannya sebagai seorang Islam.

Jadi dalam keadaan seperti ini jika diberi pilihan yang mana lebih penting, memeluk agama Islam atau memberitahu keluarga? Tepuk dada tanya selera.

Ingin dinyatakan di sini apakah seseorang yang mendapat hidayah atau terbuka hatinya memeluk Islam, sudah akil baligh, perlu mendapat kebenaran keluarganya memeluk Islam dan jika keluarganya enggan membenarkan, apakah mereka harus kekal dengan agama asal. Wajarkah?

Perlukah peraturan dan dokumen bagi tujuan perisytiharan kepada keluarga bahawa seseorang itu memeluk agama Islam?

Mungkin ada keperluannya jika keputusan memeluk agama Islam diterima dengan tangan dan fikiran terbuka oleh keluarganya.

Hakikatnya, semasa hendak memeluk agama Islam seseorang perlu mengisi borang mengandungi segala butir peribadi termasuk nama Islam, dan pejabat agama akan mengeluarkan kad perakuan memeluk Islam.

Ia merupakan dokumen sah yang turut diterima oleh Jabatan Pendaftaran Negara semasa meminda butiran dalam kad pengenalan.

Jadi perkara yang penting di sini adalah pendaftaran seorang saudara baru dengan rekod yang jelas perlu diutamakan, berbanding membuat perisytiharan, kerana di dalamnya juga terkandung lafaz kalimah syahadat.

Perisytiharan atau makluman hendaklah dibuat jika keluarga saudara baru boleh menerima secara terbuka.

Sama ada seseorang yang ingin memeluk agama Islam memaklumkan kepada keluarga mengenai keputusannya, ia hendaklah diserahkan kepada keadaan dan keperluan pada ketika itu.

Jika tindakan memberitahu keluarga tidak memberi faedah atau kelebihan, jadi kenapa perlu berterus terang dan membuat perisytiharan.

Akhirnya, agama lebih penting, tetapi keluarga bukanlah untuk diketepikan begitu sahaja.