Wednesday, April 16, 2008

Biar mualaf tentukan cara

Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dengan nyata telah menzahirkan secara terperinci mengenai kebebasan beragama. Dan, ia telah menjadi satu tiket yang tidak seharusnya dipertikaikan sebaliknya perlu dijaga demi keharmonian sejagat.

Ringkasnya setiap peraturan yang hendak dibuat seharusnya disesuaikan agar sepadan dengan acuan tersebut bagi mengelakkan ia kelihatan seolah-olah telah menyimpang dari landasan peruntukan sebenar.

Ini kerana penyimpangan dari segi fakta bukan sahaja mencacatkan pandangan bahkan mengundang pelbagai pecahan daripada permasalahan sebenar.

Begitu juga hasrat kerajaan untuk memperkenalkan satu peraturan baru yang mewajibkan pihak yang ingin memeluk agama Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka bagi mengelak sebarang masalah di kemudian hari seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya pada 10 April lalu.

Mengupas isu yang mengundang reaksi pelbagai pihak, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar berpendapat, sekilas pandang memanglah ia merupakan suatu yang baik iaitu memaklumkan keputusan memeluk Islam secara terbuka.

Pun begitu, hasrat murni tersebut memerlukan satu kajian terperinci dan menyeluruh dilakukan dari aspek praktikal dan keselamatan sama ada peraturan sedemikian wajar dilaksanakan ke atas saudara baru yang sememangnya memerlukan sokongan jitu semua pihak.

Janganlah nanti disebabkan bermacam syarat serta peraturan yang perlu dipenuhi akan membantutkan niat murni untuk memeluk Islam. Apatah lagi, hanya mualaf berkenaan yang lebih arif dalam mengenali hati budi ahli keluarga dan rakan-rakan.

''Memang kita sering mendengar daripada saudara-saudara baru ini, apabila berita memeluk agama Islam sampai ke pengetahuan keluarga maka mereka akan memujuk supaya kembali kepada agama asal.

''Ada juga dilaporkan keluarga mereka mengancam untuk melakukan sesuatu sekiranya hasrat memeluk Islam diteruskan. Ini sudah semestinya menimbulkan dilema di kalangan saudara baru,'' jelas Zainul Rijal berdasarkan pengalamannya sebagai peguam syarie.

Malah ada juga dilaporkan ahli keluarga yang mengugut mualaf kerana dikatakan telah menconteng arang di muka mereka.

"Saya memang bersetuju isu memeluk Islam bagi seorang saudara baru adalah suatu perkara besar dan membawa kesan yang berkekalan. Lantaran itu, memang perlu seseorang yang memeluk Islam memaklumkan kepada keluarga yang masih menganut agama asal.

Memilih "Meskipun begitu, biarlah mualaf berkenaan sendiri yang memilih cara dan masa yang sesuai untuk berbuat demikian memandangkan mereka sahaja yang benar-benar tahu isi hati, reaksi dan ramalan penerimaan keluarga masing-masing.

"Undang-undang juga tidak seharusnya mencampuri hal berkenaan apatah lagi menjadikan pemberitahuan tersebut sebagai prasyarat untuk memeluk Islam,'' ujar Zainul Rijal ketika dihubungi.

Sementelah pula, peraturan baru ini, pada hemat Zainul Rijal sedikit sebanyak akan menghakis hak kebebasan beragama yang sememangnya dijamin di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

"Sekiranya sesuatu peraturan tersebut menafikan hak yang dijamin oleh Perlembagaan maka peraturan sedemikian tidaklah elok digarap,'' kata Zainul Rijal.

Perlu juga diingat, hal ehwal agama Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri sebagaimana yang termaktub di bawah Jadual Kesembilan Senarai Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Dengan lain perkataan, sekiranya Kerajaan Persekutuan membuat peraturan sebegini sudah tentu ia tidak akan terlaksana melainkan diterima oleh negeri-negeri.

Zainul Rijal menambah, oleh kerana ia turut menyentuh kuasa Raja-Raja Melayu, pelaksanaannya di peringkat Persekutuan sudah semestinya memerlukan perkenan Raja-Raja Melayu terlebih dahulu.

Beliau berpendapat, jika peraturan sebegini menjadi kenyataan, sudah tentu dakwah Islam terlalu sukar untuk dilaksanakan. Akhirnya akan mengakibatkan orang bukan Islam menjauhkan diri daripada agama suci ini.

Zainul Rijal menegaskan, walhal perkara asas yang menjadi syarat ialah lafaz syahadah. Cuba renungkan, apakah implikasi yang timbul sekiranya pemberitahuan ini tidak dilakukan sedangkan syahadah individu terbabit telah pun diterima.

Dari sudut hukum syarak, sudah tentulah mereka telah Islam cuma keperluan peraturan sahaja yang belum dipenuhi.

Dalam hal sedemikian, sekiranya saudara baru ini meninggal dunia ia akan menimbulkan polemik yang lebih besar lagi. Kita sering memperkatakan tentang hak keluarga yang masih belum Islam itu dalam hal yang berkaitan tetapi kita meminggirkan persoalan utama tentang hak mualaf itu sendiri.

Janganlah merobek hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan ini dengan pelbagai peraturan yang tidak praktikal dan menjejaskan keselamatan mualaf itu sendiri.

Hormatilah pilihan mualaf ini sebagaimana orang Islam juga tidak pernah memaksa orang bukan Islam memeluk agama Islam.

Sungguhpun telah memeluk Islam, saudara baru ini masih tidak putus hubungannya dengan keluarga mereka yang mempunyai pertalian darah walaupun telah berbeza agama. Tidak langsung timbul persoalan melarikan diri daripada tanggungjawab mereka.

Sekiranya orang bukan Islam tahu, masalah ini tidak akan timbul kerana sebenarnya terdapat hak dan relif yang sama dan adakalanya lebih baik untuk mereka melalui undang-undang Islam.

"Justeru, pada pendapat saya, saudara baru perlu memaklumkan status agama mereka. Namun keperluan ini tidak perlu dijadikan peraturan sehingga menyukarkan serta mengancam keselamatan saudara baru itu sendiri.

''Biarlah saudara baru sendiri yang menentukan bila mereka ingin memaklumkan berita pengislaman mereka.

Janganlah dipaksa kepada mereka kerana ia tidak selaras dengan hak kebebasan beragama dan tiada paksaan di dalam Islam.

''Bagi keluarga bukan Islam pula, hak mereka masih utuh berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada. Tidak timbul isu melarikan diri daripada tanggungjawab kekeluargaan.

''Saya menyarankan pihak kerajaan memikirkan semula hasrat ini. Tindakan tidak popular ini sudah tentu akan menjadi igauan umat Islam dan memberi kesan terhadap dakwah Islam di Malaysia.

Janganlah terburu-buru menggubal peraturan yang tidak mendatangkan kebaikan kepada semua. Peraturan yang adapun sudah agak menyusahkan saudara baru kita, apatah lagi sekiranya pelbagai peraturan lain pula diwajibkan,'' kata Zainul Rijal.

Menyentuh mengenai dilema yang timbul ekoran perebutan jenazah saudara baru oleh keluarga bukan Islam, bagi Zainul Rijal, ia sebenarnya boleh dielakkan dengan cara menyelesaikannya di luar mahkamah.

Sebagai contoh, katanya, dua jenazah mualaf masing-masing berbangsa Cina dan India di Selangor serta Johor pada tahun lalu telah berjaya diselesaikan melalui rundingan tanpa perlu ke mahkamah.

"Sungguhpun saya seorang peguam, namun isu perebutan mayat boleh dielakkan daripada dipanjangkan kepada mahkamah. Untuk menjayakannya, ketua-ketua agama misalnya mufti dan paderi perlulah mengadakan rundingan. Hasil perbincangan boleh dipanjangkan kepada sultan,'' ujar Zainul Rijal.

Rumusannya jika wakil sesuatu agama diberikan hak menyuarakan pandangan masing-masing dengan ikhlas, semua masalah dapat diatasi.

No comments: