Wednesday, April 16, 2008

12 maut letupan di masjid Iran

TEHERAN 13 April – Sekurang- kurangnya 12 orang terbunuh dalam letupan di sebuah masjid di selatan Iran yang dipercayai berpunca daripada unsur kecuaian .

Agensi berita IRNA melaporkan, letupan di masjid di bandar Shiraz itu turut menyebabkan lebih 160 cedera dan ia dikhuatiri akan meningkatkan jumlah korban.

Bagaimanapun, stesen berbahasa Inggeris, TV Press hari ini menyatakan, letupan itu mungkin berpunca daripada bahan letupan yang ditinggalkan semasa pameran sambutan Perang Iran-Iraq.

Agensi berita Fars turut membuat laporan yang sama yang berdasarkan kepada kenyataan pegawai yang sama.

“Berdasarkan penilaian awal, letupan malam tadi tidak disengajakan atau perbuatan sabotaj,” lapor agensi itu yang memetik kenyataan komander pasukan keselamatan di selatan wilayah Fars, Ali Moayedi.

Jurucakap Kementerian Luar Iran menyatakan, siasatan sedang dijalankan.

“Berita terbaru yang kami peroleh, tidak ada kenyataan jelas oleh polis dan pegawai keselamatan dengan siasatan masih dijalankan,” jelas Mohammad Ali Hosseini.

Lewat semalam, Fars memetik seorang anggota polis menyatakan, peranti “buatan sendiri” telah dipasang di dalam masjid.

Stesen televisyen di negara ini turut menggesa penduduk Shiraz mendermakan darah dan melaporkan semua jururawat di bandar ini diarahkan bertugas.

IRNA melaporkan, letupan itu berlaku semasa seorang ulama menyampaikan khutbah di masjid itu.

No comments: