Wednesday, April 16, 2008

Orang Melayu jangan jual tanah

Oleh ARSHAD KHAN

KUALA LUMPUR 13 April – Orang Melayu di sekitar Sepang, daerah projek ternak babi, dinasihat tidak terburu-buru menjual tanah kerana termakan khabar angin mengatakan nilai tanah di tempat mereka akan jatuh.

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Moehamad Izat Emir berkata, penduduk diminta jangan mudah diperdaya mengenai nilai tanah mereka ekoran projek penternakan babi secara moden bernilai RM100 juta di kawasan tersebut.

Jelasnya, Perdasama bimbang usaha oleh golongan tertentu menakutkan penduduk di kawasan berkenaan kononnya nilai tanah di situ mengalami kejatuhan berikutan rancangan kerajaan negeri untuk membuka ladang babi.

Katanya, khabar angin itu mungkin sengaja diwujudkan oleh pihak-pihak tertentu dengan harapan untuk mengaut tanah milik orang Melayu dengan kadar harga yang rendah.

“Penduduk di kawasan Kampung Tumbuk terutamanya janganlah menjual tanah atas sebab geli atau rimas dengan pembukaan ladang babi, itu mungkin hanya satu helah untuk memastikan tanah Melayu dijual,” katanya ketika menghubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kata beliau, orang Melayu perlu terus mempertahankan tanah milik masing-masing kerana nilainya adalah amat tinggi di pasaran semasa.

Dalam pada itu, Perdasama mencadangkan kepada kerajaan Selangor agar memindahkan projek itu ke kawasan lain seperti Pulau Ketam yang dihuni majoriti penduduk bukan Melayu.

Jelasnya, melihat kepada senario masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini, maka ladang babi amat sesuai jika dibuka di kawasan pulau kerana ia jauh dari kawasan tanah besar yang mana baunya boleh mengganggu penduduk.

“Cuma perlu dipastikan tidak ada bahan sisa babi yang dilepaskan ke dalam laut,” katanya.

No comments: