Wednesday, April 16, 2008

Kurikulum pendidikan sumber mencorak manusia

Oleh W. RAHIMAH DRAMAN


SEBAHAGIAN peserta yang mengikuti syarahan perdana di Universiti Malaya, baru-baru ini.

KESELESAAN hidup generasi hari ini adalah hasil daripada penyelidikan dan perancangan jangka panjang para penggubal dasar dan pemimpin masa lampau.

Penggubalan dan pembuat polisi bagi sesuatu dasar pula tidak akan berlaku jika tiada penyelidikan serta perancangan yang terperinci oleh para penyelidik.

Namun penyelidikan yang komprehensif adalah penentu corak pelan perancangan sesuatu dasar yang digubal untuk perlaksanaannya bagi kesinambungan hidup yang selesa dan kondusif dalam masyarakat.

Proses penyelidikan yang komprehensif pada kebanyakan dasar di negara ini bagaimanapun tidak menyeluruh, kata Profesor Kurikulum di Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Profesor Dr. Saedah Siraj.

“Kita mempunyai banyak pakar-pakar penyelidik dalam mencorak dasar saham, bisnes dan ekonomi serta sains dan teknologi, tetapi tidak ada pakar penyelidik dalam mencorak hidup manusia khususnya yang melibatkan kurikulum dalam pendidikan,” katanya.

Sedangkan dasar kurikulum pendidikan tegas beliau, merupakan perkara pokok dan sumber utama dalam mencorak manusia bagi mewarisi kehidupan masa hadapan.

Untuk itu tegasnya, adalah sangat mustahak kurikulum masa depan berorientasikan penyelidikan digubal berdasarkan perolehan kajian oleh pakar-pakar penyelidik mengenai tuntutan masa akan datang manusia dalam sistem pendidikan negara.

“Bidang penyelidikan kurikulum itu pula perlulah melibatkan pengkajian mengenai trend, peristiwa dan impaknya kepada manusia yang akan dididik itu sendiri,” jelasnya.

Dr. Saedah yang juga Timbalan Dekan (Ijazah Dasar) Fakulti Pendidikan UM berkata demikian dalam syarahan perdana beliau mengenai ‘Pembinaan kurikulum masa depan berorientasikan penyelidikan’ di auditorium utama Fakulti Pendidikan UM pada pen penghujung Februari lalu.

Membuat pendekatan melalui kata kunci, Kurikulum: Kurikulum masa depan, jangkaan masa depan, trend, peristiwa, kemungkinan masa depan dan pilihan masa depan dalam syarahan itu beliau berkata, proses sesuatu penyelidikan itu pula mestilah mengambil masa tidak kurang dari 15 tahun.

Penyelidikan yang dibuat mestilah dimuat dan berdasarkan data-data yang tepat, barulah hasil kajian untuk dijadikan dasar perlaksanaannya relevan dan bermanfaat untuk jangka masa yang lama, jelasnya.

Syarahan beliau hampir sejam itu diikuti oleh para ahli akademik, pensyarah, guru dan pelajar ijazah tinggi serta pertama dari institusi pendidikan sekitar Lembah Klang.

Berpengalaman selama 27 tahun dalam penyelidikan kurikulum masa depan Dr. Saedah berkata, fenomena bioteknologi di Malaysia sekarang misalnya, sudah bermula di Eropah 30 tahun lalu hasil penyelidikan yang dibuat belasan malah puluhan tahun sebelum itu.

“Begitu juga dengan teknologi maklumat dan perkomputeran yang diterokai oleh Jepun, mereka membuat penyelidikan mengenainya 30 hingga 40 tahun sebelum ia direalisasikan penggunaan di negara berkenaan lebih 20 tahun lalu.

“Tetapi teknologi itu hanya sampai kepada kita untuk diguna pakai beberapa tahun kebelakangan sahaja,” jelasnya.

Persoalannya beritahu Dr. Saedah, sampai bila kita akan terus menjadi pengguna kepada teknologi dan penemuan-penemuan yang diterokai dan reka cipta oleh pakar-pakar asing.

Menurut beliau, permasalahan ini hanya akan dapat di atasi jika kerajaan menyediakan kumpulan pakar-pakar penyelidik terbaik mulai sekarang bagi membuat penyelidikan kurikulum masa depan untuk kegunaan 20 hingga 30 tahun akan datang.

Ini kerana katanya, penyelidikan berkualiti bagi meramal keperluan manusia untuk kegunaan pada dua hingga lima dekad akan datang tidak boleh dihasilkan dalam masa setahun dua.

Dr. Saedah yang banyak membuat kajian mengenai penyelidikan pengajian masa depan barat seperti Teknik Delphia (1947) di samping kajian yang dihasilkan oleh Carswell, Dean dan West, Friman, Robson, Vamadore serta Wicklein berkata, usaha lebih serius perlu bermula dari sekarang.

Berinovasi

Begitu pun ujar beliau, rakyat Malaysia kena dibiasakan dengan data-data sebab dalam penyelidikan masa depan, ia memerlukan pengumpulan data-data yang berinovasi dan tepat.

“Walaupun ia mungkin hanya angka-angka impian atau ramalan dalam data yang dirumus daripada penyelidikan, tetapi hasilnya mestilah dasar yang boleh menyelesaikan masalah untuk tempoh selepas 30 tahun akan datang,” katanya.

Ini kerana tegas beliau lagi, kepentingan kurikulum masa depan bukan sahaja melibatkan penentuan hala tuju sistem pendidikan tetapi akan turut meramal, mengubahsuai dan mengimbangi bagi kepentingan manusia yang dididik itu sendiri.

Lebih penting pula tambah Dr. Saedah, pakar-pakar penyelidik kurikulum akan menjadi aset yang bernilai di samping menjadi perancang, pengimbang, penganalisis masa depan yang lebih berdedikasi.

“Kepincangan dalam sistem pendidikan sekarang berlaku apabila dasar kurikulum yang digubal tidak menjangkau jauh ke depan mengikut pandangan futuristik.” tegas beliau.

Sebab itu katanya, asas lapan yang diubahsuai daripada teknik Longstreet dan Shane serta elemen peristiwa dan ramalan sangat penting dalam penyediaan kurikulum masa depan.

Sementara Dekan Fakulti Pendidikan UM, Profesor Dr. Noraini Idris ketika mengulas mengenai syarahan tersebut berkata, penggubalan kurikulum dalam sistem pendidikan negara perlu melibatkan nilai-nilai moral dan disiplin manusia.

“Ini penting kerana sistem kurikulum pendidikan adalah landasan dalam membentuk kemanusiaan lebih bermoral dan berdisiplin.

“Penggubalan kurikulum masa

depan yang realistik dalam sistem pendidikan mestilah yang dibina melalui hasil penyelidikan yang dibuat dalam tempoh 10 hingga 15 tahun, bukan yang dirumus dalam masa lima jam oleh para pegawai ‘pilihan’,” tegasnya.

Kerjasama dengan pakar-pakar utama dari semua agensi pula tambah Dr. Noraini, sangat penting bagi menghasil serta menjana kurikulum terbaik menuju misi negara maju dan penyelesai masalah akan datang.

No comments: