Wednesday, April 16, 2008

Kursus fardu ain khas buat mualaf warga asing

JIKA tiada bimbingan yang berterusan selepas melakukan pengorbanan yang besar dalam hidup, mereka ini dibimbangi akan kembali kepada agama asal.Justeru, langkah pemantauan dan pengajian yang diambil oleh beberapa institut dan pertubuhan agama Islam di negara ini, merupakan salah satu langkah bijak supaya golongan saudara baru ayau mualaf ini sentiasa mendapat bimbingan berterusan sebaik diri melakukan penghijrahan akidah.

Saudara-saudara baru ini bukan sahaja di dedahkan dengan agama Islam, namun mereka ini turut diajar aspek amalan ibadat seperti panduan solat, fardu ain dan sebagainya.

Bertempat di Dewan Hadhari, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Kuala Lumpur, Unit Saudara Baru (Bahagian Dakwah) menganjurkan bengkel kelas intensif fardu ain untuk golongan mualaf dari luar negara, baru-baru ini.

Menurut Timbalan Pengarah Operasi Jawi, Saimah Mukhtar, kelas ini adalah bertujuan untuk memberi bimbingan berterusan selain memperoleh kad pengesahan pengislaman.

"Ini merupakan salah satu program anjuran Jawi untuk saudara baru luar negara yang kita jalankan pada tahun ini. Mereka ini ada yang datang dari Jerman, United Kingdom, Afrika, Poland dan sebagainya.

"Pada tahun ini, untuk program kelas intensif ini, kita akan adakan lebih kurang empat kali. Ini merupakan kali pertama dan insya-Allah pada bulan Mei ini ia akan diadakan lagi," ujarnya.

Menurutnya lagi, program ini bukan sahaja dapat memberi pendedahan kepada mereka malah ia turut menjadi salah satu cara untuk mengeratkan hubungan antara mereka.

"Malah progam ini tidak berakhir di sini sahaja. Kita akan adakan beberapa siri lain sebagai kesinambungan daripada program sebelum itu contohnya; sambutan Hari Keluarga.

"Kursus ini kita sediakan untuk warga asing kerana jika mereka mengikuti kelas-kelas agama yang kami sediakan pada hari-hari biasa, ia menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar, ia mungkin menimbulkan masalah komunikasi dan pemahaman," jelasnya.

Kursus Intensif Fardu Ain ini bermula dengan pendaftaran peserta dan sarapan pagi. Kemudian ia disusuli dengan sesi suai kenal dan pendedahan berkenaan kursus tersebut.

Kursus tersebut bukan sahaja dipenuhi dengan ceramah-ceramah daripada penceramah yang dijemput khas malah ia turut melibatkan latihan amali oleh peserta.

Ceramah-ceramah bertajuk Islam Is A Way Of Life dan Muslims As Khalifah (vicegerent) Of Allah disampaikan oleh Mohd. Azmi Lim Abdullah.

Sepanjang kursus itu, mereka turut belajar mengenai bersuci, penyucian dan solat dalam bengkel yang di sediakan berselang seli dengan ceramah. Para peserta tidak melepaskan peluang untuk mempelajari dengan lebih dekat berkenaan Islam ini menerusi bengkel yang disediakan.

Kursus itu diakhiri dengan penyampaian sijil dan disudahi dengan mendirikan solat Asar secara berjemaah.

No comments: