Source: Utusan Online, Wilayah Selatan
Majlis pecah tanah cawangan Al-Azhar Sabtu ini
REMBAU 7 April - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dijangka akan melakukan pecah tanah penubuhan sebuah Universiti Al-Azhar Kampus Malaysia di Kompleks Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS), Kota di sini Sabtu ini.
Timbalan Yang Dipertua YSNS, Shaari Shariman berkata, peristiwa sejarah itu akan turut disaksikan oleh wakil Universiti Al-Azhar dari Mesir.
Menurutnya, penubuhan cawangan universiti tertua di dunia itu merupakan yang pertama diadakan di negara ini.
''Ini adalah detik bersejarah bukan sahaja kepada umat Islam di negeri ini tetapi seluruh umat Islam di Malaysia kerana Universiti Al-Azhar telah membenarkan sebuah cawangannya dibuka di luar dari negara Mesir," katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu, YSNS menjemput semua pendidik, ibu bapa, pihak korporat, wakil institusi pengajian tinggi, pegawai kerajaan negeri dan Persekutuan serta orang ramai meraikan pengiktirafan yang diberikan oleh Majlis Senat Al-Azhar, Mesir ini.
''Penubuhan cawangan universiti itu bukan sahaja bertindak sebagai benteng dan tempat rujukan utama dalam soal berkaitan agama Islam tetapi juga menjadi lokasi pendidikan Islam terunggul bagi penduduk di rantau Asia Tenggara," jelas Shaari.
Menurut beliau, majlis pecah tanah akan bermula pada pukul 3 petang.
No comments:
Post a Comment