Monday, April 7, 2008

Kaji feri Langkawi angkut mayat bukan Islam

Source: Utusan Online, Wilayah Utara

Kaji feri Langkawi angkut mayat bukan Islam

ALOR STAR 7 April - Kerajaan Kedah akan berbincang dengan para pengendali feri yang mengadakan perkhidmatan ulang alik dari Langkawi ke tanah besar mengenai kebenaran untuk membawa mayat orang bukan Islam.

Menteri Besar, Azizan Abdul Razak berkata, perbincangan itu penting bagi membolehkan kerajaan Kedah mengkaji langkah terbaik yang dapat diambil bagi menyelesaikan perkara berkenaan.

Menurut beliau, masalah itu dibangkitkan oleh Persatuan Hindu Sangam yang mendakwa mayat kaum itu tidak dibenarkan menaiki feri, sebaliknya mereka terpaksa menyewa bot laju bagi penghantaran pulang.

"Bila letak mayat atas bot laju, ada mayat yang jatuh ke dalam laut. Jadi mereka rasa tak eloklah.

"Kita kena bincang dengan pengusahaferi bagi memikirkan mengenai perkara ini. Kerajaan negeri perlu kaji dulu apa masalah sebenarnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Persatuan Hindu Sangam di pejabatnya di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Sementara itu, Azizan berkata, kerajaan negeri juga akan mengkaji permintaan persatuan tersebut supaya menggantikan kuil-kuil yang sebelum ini terpaksa dirobohkan bagi tujuan pembangunan.

Menurut beliau, perkara berkenaan perlu diperhalusi sebaik mungkin kerana ia melibatkan banyak perkiraan termasuk hak beragama penganut bukan Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

"Kerajaan negeri akan melihat apa yang kita boleh buat yang terbaik. Asalkan wujud suasana mesra, kalau tidak semua pun, kita akan buat sikit-sikit," katanya.

No comments: