Source: Utusan Online, Dalam Negeri
Kerajaan campuran tidak sensitif kepentingan Melayu
PUTRAJAYA 7 April - Tindakan kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas Selangor meluluskan projek ladang penternakan babi bernilai RM100 juta di Sepang dibidas kerana tidak mempedulikan sensitiviti penduduk tempatan di kawasan tersebut.
Ahli Parlimen Sepang, Datuk Ir. Mohamed Zin Mohamed berkata, lebih mengecewakan lagi ialah apabila Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor, Teresa Kok seolah-olah begitu angkuh mengumumkan kejayaan melaksanakan projek itu walhal ia dipercayai melibatkan banyak kepentingan orang Melayu di Sepang.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri mengkaji semula projek itu sebelum sebarang kelulusan diberi.
''Tidak ada sensitiviti langsung. Sepatutnya sebarang keputusan yang mempunyai implikasi besar dari segi alam sekitar dan sensitiviti budaya serta agama tidak dibuat berdasarkan pendekatan popular.
''Saya mahu ingatkan Teresa jangan terlalu bongkak umumkan projek ternakan babi ini tanpa mempedulikan nasib penduduk kampung dan kawasan sekitar ," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya mengulas pendedahan Teresa bahawa projek ladang penternakan babi bernilai RM100 juta itu sudah diluluskan pada mesyuarat Exco Selangor Rabu lalu.
Teresa dalam laman blognya, http://teresakok.com berkata, Selangor berhasrat untuk menjadi contoh terbaik kepada kerajaan negeri lain dalam mengusahakan penternakan ladang babi secara moden.
Beliau yang memegang portfolio Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan berkata, setiap perkara berkaitan ternakan babi atau daging babi seharusnya tidak dijadikan isu sensitif.
No comments:
Post a Comment