Monday, April 7, 2008

Lembaga Zakat Antarabangsa dilulus

Source: Utusan Online, Dalam Negeri


Lembaga Zakat Antarabangsa dilulus

PUTRAJAYA 7 April - Kabinet telah meluluskan penubuhan Lembaga Zakat Antarabangsa (LZA) yang berpangkalan di negara ini bagi memperkasakan institusi zakat di peringkat antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, lembaga yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu mendapat suntikan dana permulaan sebanyak RM4.5 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

Selain itu, beliau berkata, seorang hartawan dari Arab Saudi, Saleh Kamil juga bersetuju meletakkan dana awal sejumlah RM3.19 juta kepada lembaga tersebut.

''LZA merupakan idea asal Perdana Menteri sendiri dan ia merupakan keputusan bersama kerajaan dengan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dengan Malaysia diberikan kepercayaan untuk menggerakkan inisiatif tersebut atas dasar rekod negara ini yang baik dalam pengumpulan dan pengagihan wang zakat.

''Organisasi yang dianggotai para pemimpin negara Islam dalam OIC itu akan menjadi tapak mengagihkan zakat untuk negara Islam yang miskin atau mengalami bencana atau komuniti Muslim yang berada dalam kategori fakir dan miskin," katanya pada sidang akhbar selepas melawat Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, LZA akan mempunyai ibu pejabat sendiri yang terletak di bangunan Lembaga Tabung Haji di Kuala Lumpur dalam tempoh terdekat.

''Diharap LZA akan memperoleh dana wang zakat yang akan disalurkan oleh usahawan-usahawan Islam di dunia dan ia akan diuruskan golongan profesional dan pakar.

''Idea ini mendapat sambutan baik pemimpin OIC dan ia akan menunjukkan komitmen Malaysia dalam merealisasikan semangat ukhuwah Islamiah di peringkat antarabangsa," katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan, Jawhar kini sedang berusaha melaksanakan sebanyak 23 projek pembangunan fizikal wakaf di seluruh negara dengan nilai berjumlah RM233.5 juta melibatkan tanah wakaf bernilai RM1.3 bilion.

Katanya, projek tersebut merupakan sebahagian daripada 27 projek pembangunan tanah wakaf yang terkandung dalam Pelan Strategik Jawhar 2007-2011.

Bagaimanapun, katanya, jumlah tersebut tidak termasuk nilai tanah wakaf yang terletak di bawah Baitulmal di setiap negeri yang kini mencecah RM3.2 bilion.

''Jawhar maklum bahawa hak mengendalikan tanah wakaf adalah hak majlis agama negeri-negeri dan kuasa agama di bawah Raja-Raja Melayu.

'''Oleh itu kita tidak mempunyai cadangan untuk mengambil alih kuasa yang ada sebaliknya tampil untuk membantu kerana masalah kekurangan dana bagi membangunkan tanah wakaf. Kita tidak reda jika ia terbiar begitu saja," katanya.

No comments: