Tuesday, April 15, 2008

Peluang saksikan fenomena angkasa


KERIANGAN para pengunjung setiap kali menyaksikan fenomena angkasa di Planetarium Negara. – Gambar hiasan


PEMINAT sains angkasa tidak mungkin melepaskan peluang dengan program pencerapan fenomena angkasa yang akan di adakan di Planetarium Negara bermula 18 April ini.Program tersebut dan dianjurkan oleh Agensi Angkasa Negara (Angkasa) di Planetarium Negara, Tasik Perdana, Kuala Lumpur akan mengadakan cerapan planet dan peluang menyaksikan pelbagai fenomena astronomi yang berlaku sepanjang bulan Februari hingga Oktober ini.

Menurut kenyataan agensi tersebut, Planetarium Negara memiliki teleskop mudah alih yang mampu melihat objek cakerawala dengan jelas seperti bulan, matahari dan planet-planet.

''Planetarium Negara, sebagai sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk mengembangkan ilmu sains angkasa di kalangan seluruh rakyat berharap peminat-peminat bidang astronomi, orang awam dan pelajar akan merebut peluang menyaksikan keajaiban angkasa lepas,'' kata kenyataan tersebut

Pelbagai program sampingan diatur sepanjang program tersebut berjalan, antaranya sesi ceramah berkaitan bidang astronomi oleh pakar-pakar astronomi tempatan dan luar negara.

Acara lain termasuk pertunjukan astronomi, program jendela langit malam, kuiz astronomi dan sebagainya.

Pengunjung juga berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah istimewa yang disediakan sempena program-program berkenaan berlangsung.

Sebagai menyambut cabaran kerajaan untuk meningkatkan penyertaan orang ramai dalam aktiviti sains angkasa, Angkasa menganjurkan program pencerapan langit sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada generasi muda serta peminat bidang astronomi menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh Planetarium Negara.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai aktiviti astronomi di Planetarium Negara boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat, Angkasa di talian 03-2273 4303/5484 atau layari laman web www.angkasa.gov.my/planetarium.

Semua penyertaan adalah percuma dan tempahan awal adalah digalakkan.

No comments: