Wednesday, April 9, 2008

Mydin maklum pelanggan produk Belanda bantu usaha boikot

SUBANG JAYA 31 Mac – Pasar Raya Mydin bertindak memaklumkan para pelanggan mereka tentang produk-produk yang dikeluarkan syarikat Belanda sebagai sokongan terhadap gerakan memboikot barangan yang ada kaitan dengan negara tersebut.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, pihaknya melihat kaedah memboikot barangan sebagai satu usaha efektif untuk menyuarakan kemarahan terhadap penerbitan filem Belanda, Fitna yang secara terang menghina Islam.

Katanya, sebab itu pihaknya mengambil langkah mempamerkan label merah memaklumkan tentang produk-produk keluaran syarikat berasal dari Belanda di kesemua pasar raya Mydin di seluruh negara.

‘‘Sebagai sebuah syarikat milik orang Islam kita amat marah dengan filem itu dan kita mahu rakyat Malaysia juga memberikan reaksi yang serupa sebagai respons terhadap sebarang usaha menghina kesucian agama.

‘‘Justeru kuasa di tangan kita, kami sebagai peniaga membantu pelanggan mengenal pasti produk Belanda dan harap usaha ini berjaya bagi menyatakan perasaan marah umat Islam,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Program Promosi ‘Produk Malaysia Cita rasa Kita’ yang dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad di sini hari ini.

Program yang berlangsung selama tiga minggu itu sebagai usaha Mydin untuk mempromosikan produk-produk makanan keluaran Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan.

Sebanyak 40 buah syarikat terlibat pada program yang telah memasuki tahun kedua penganjuran.

Filem Fitna yang disiarkan di Internet pada 27 Mac lalu mengandungi kritikan terhadap Islam dengan memetik beberapa ayat al-Quran dengan imej latar serangan pengganas.

Penerbit filem itu ialah ahli majlis perundangan Belanda, Geert Wilders.

Filem itu juga menunjukkan kenyataan daripada paderi yang radikal dan menyebut surah al-Quran dengan menyelitkan imej serangan 11 September terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC) New York.

Penyiaran filem itu sendiri telah mengundang kemarahan umat Islam di seluruh dunia selain kecaman daripada masyarakat antarabangsa.

Sementara itu, Ameer turut mengharapkan bukan hanya pelanggan mereka yang beragama Islam sahaja menyokong gerakan memboikot barangan Belanda sebaliknya pelanggan bukan Islam juga wajar menyokong sama.

Katanya, ini kerana tidak ada sesiapa pun berhak menghina agama atau kepercayaan seseorang dan sebab penerbitan Fitna ini adalah di luar batas kemanusiaan.

‘‘Kuasa di tangan kita. Kalau barang Belanda jangan beli. Ini untuk memberi pengajaran kepada sesiapa sahaja yang cuba menghina dan mencemar kesucian agama.

‘‘Lagi pun bukan tidak ada produk lain, malah produk negara kita pun tidak ada kurangnya, yang lebih baik pun ada,’’ tegasnya.

No comments: