Tuesday, April 15, 2008

Jadikan masjid institusi penting


Abdullah Ahmad Badawi sambil diperhatikan oleh Ahmad Zahid Hamidi bercakap tentang al-Quran tafsiran bahasa Inggeris di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 15 April - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggariskan tiga langkah yang boleh menjadikan masjid sebuah institusi penting serta dapat menarik minat umat Islam mengunjunginya.

Perdana Menteri berkata, tiga perkara tersebut ialah menjadikan masjid indah dan bersih, aktiviti ceramah agama yang menarik untuk generasi muda dan menyediakan kemudahan awam.

Mengenai kebersihan, beliau berkata, masjid-masjid di negara ini perlulah menjadi bangunan yang indah dan bersih.

Katanya, aspek-aspek penyelenggaraan perlu diberi perhatian berat oleh pihak pengurusan masjid bagi memastikan persekitarannya sentiasa terpelihara dan bersih.

''Tidak semestinya masjid baru sahaja nak bersih, saya lihat Masjidilharam yang sudah lama didirikan tetapi keadaannya sentiasa bersih dan memberi ketenangan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Multaqa Imam-Imam Masjid seluruh negara anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Majlis Multaqa Imam-Imam Masjid seluruh negara kali ketiga itu bertemakan 'Perpecahan Ummah Mengancam Keselamatan Negara' turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Abdullah berkata, beliau telah mengunjungi masjid-masjid tua di luar negara tetapi keadaannya amat bersih walaupun telah berusia 100 tahun.

Katanya, ketika memasuki masjid itu beliau merasa amat tenang memandangkan ia bersih dan indah.

Perkara kedua kata Abdullah, untuk menjadikan masjid di negara ini dikunjungi orang ramai terutama generasi muda ialah mengadakan ceramah-ceramah yang mendidik umat Islam bukan ceramah berbentuk penegasan hukuman serta balasan Allah SWT.

Katanya, para penceramah perlu mengunakan teknik memujuk generasi muda untuk mendekatkan diri dengan masjid serta beribadat.

''Masjid tidak harus menjadi tarikan hanya kepada orang tua sahaja, serta menjadi tempat yang dijauhi oleh golongan muda tetapi sebaliknya dikunjungi oleh semua generasi baik tua atau muda,'' katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau berharap apa yang terjadi kepada sebuah masjid di Petaling Jaya yang menjadi tempat anak-anak muda membuat maksiat tidak akan berlaku.

Katanya, imam dan ahli jawatankuasa masjid perlu mempunyai pendekatan berhemah tinggi dalam mendekati generasi muda dengan menggunakan pendekatan lembut serta cuba memahami masalah mereka.

''Imam dan ahli jawatankuasa masjid perlu mengetahui masalah yang dialami generasi muda dan memberikan kata-kata nasihat bagaimana mereka boleh menjadi manusia serta umat Islam yang baik.

''Kita tidak boleh lagi menggunakan perkataan kasar, ugutan dan sebagainya untuk menarik generasi muda datang ke masjid sama ada untuk beribadat ataupun menyertai aktiviti-aktiviti yang dijalankan,'' katanya.

Abdullah berkata, masjid juga perlu menjadi pusat kemudahan orang ramai dengan menyediakan kemudahan-kemudahan awam seperti mesin teler automatik (ATM) dan kedai serbaneka untuk keperluan masyarakat setempat.

Katanya, kemudahan-kemudahan awam ini akan menukar pandangan orang ramai mengenai masjid dari tempat ibadat sahaja kepada sebuah institusi yang amat berguna dari pelbagai segi.

Perdana Menteri turut meminta para imam agar sentiasa menjaga tingkah laku mereka dan menjadi pemimpin masyarakat yang dihormati, disayangi dan mudah didekati, adil dan berhemah tinggi.

Mengenai tindakan sesetengah khatib yang tidak menggunakan teks yang disediakan Jakim ketika membaca khutbah, beliau berkata, perkara itu boleh dilakukan jika ada isu lain yang lebih penting dan relevan dengan masyarakat setempat.

Abdullah bagaimanapun menegaskan, teks khutbah yang disediakan Jakim biasanya mengandungi isu-isu semasa negara yang wajar diuar-uarkan untuk pengetahuan masyarakat umum.

No comments: