Showing posts with label Boycott. Show all posts
Showing posts with label Boycott. Show all posts

Wednesday, April 9, 2008

Mydin maklum pelanggan produk Belanda bantu usaha boikot

SUBANG JAYA 31 Mac – Pasar Raya Mydin bertindak memaklumkan para pelanggan mereka tentang produk-produk yang dikeluarkan syarikat Belanda sebagai sokongan terhadap gerakan memboikot barangan yang ada kaitan dengan negara tersebut.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, pihaknya melihat kaedah memboikot barangan sebagai satu usaha efektif untuk menyuarakan kemarahan terhadap penerbitan filem Belanda, Fitna yang secara terang menghina Islam.

Katanya, sebab itu pihaknya mengambil langkah mempamerkan label merah memaklumkan tentang produk-produk keluaran syarikat berasal dari Belanda di kesemua pasar raya Mydin di seluruh negara.

‘‘Sebagai sebuah syarikat milik orang Islam kita amat marah dengan filem itu dan kita mahu rakyat Malaysia juga memberikan reaksi yang serupa sebagai respons terhadap sebarang usaha menghina kesucian agama.

‘‘Justeru kuasa di tangan kita, kami sebagai peniaga membantu pelanggan mengenal pasti produk Belanda dan harap usaha ini berjaya bagi menyatakan perasaan marah umat Islam,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Program Promosi ‘Produk Malaysia Cita rasa Kita’ yang dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad di sini hari ini.

Program yang berlangsung selama tiga minggu itu sebagai usaha Mydin untuk mempromosikan produk-produk makanan keluaran Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan.

Sebanyak 40 buah syarikat terlibat pada program yang telah memasuki tahun kedua penganjuran.

Filem Fitna yang disiarkan di Internet pada 27 Mac lalu mengandungi kritikan terhadap Islam dengan memetik beberapa ayat al-Quran dengan imej latar serangan pengganas.

Penerbit filem itu ialah ahli majlis perundangan Belanda, Geert Wilders.

Filem itu juga menunjukkan kenyataan daripada paderi yang radikal dan menyebut surah al-Quran dengan menyelitkan imej serangan 11 September terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC) New York.

Penyiaran filem itu sendiri telah mengundang kemarahan umat Islam di seluruh dunia selain kecaman daripada masyarakat antarabangsa.

Sementara itu, Ameer turut mengharapkan bukan hanya pelanggan mereka yang beragama Islam sahaja menyokong gerakan memboikot barangan Belanda sebaliknya pelanggan bukan Islam juga wajar menyokong sama.

Katanya, ini kerana tidak ada sesiapa pun berhak menghina agama atau kepercayaan seseorang dan sebab penerbitan Fitna ini adalah di luar batas kemanusiaan.

‘‘Kuasa di tangan kita. Kalau barang Belanda jangan beli. Ini untuk memberi pengajaran kepada sesiapa sahaja yang cuba menghina dan mencemar kesucian agama.

‘‘Lagi pun bukan tidak ada produk lain, malah produk negara kita pun tidak ada kurangnya, yang lebih baik pun ada,’’ tegasnya.

Tuesday, April 8, 2008

Kesungguhan boikot produk Belanda

Source: Utusan Online, Rencana

Date: 8 April 2008 / 1 Rabiul Akhir 1429

Kesungguhan boikot produk Belanda

PENGHASILAN filem Fitna oleh Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders benar-benar mencabar kesabaran masyarakat Islam seluruh dunia. Filem ini sememangnya merupakan satu fitnah kepada umat Islam.

Tindakannya memanipulasi ayat- ayat suci al-Quran yang menunjukkan Islam menggalakkan keganasan adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima akal. Oleh itu, adalah wajar kita memboikot produk keluaran Belanda bagi memberi pengajaran kepada mereka.

Syabas kepada pasar raya Mydin yang menyokong usaha memboikot produk keluaran Belanda. Seharusnya pasar raya yang lain juga menyokong tindakan ini.

Nampak seperti tidak profesional, tetapi itulah yang harus kita lakukan bagi menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan Belanda yang membenarkan tayangan filem yang secara terang-terangan menghina Islam.

Umat Islam merupakan antara kuasa beli terbesar di dunia berdasarkan kepada populasi umat Islam itu sendiri. Oleh yang demikian, tindakan memboikot barangan keluaran Belanda mampu memberi kesan terhadap ekonomi mereka yang berasaskan produk pertanian dan tenusu.

Namun, tindakan memboikot ini tidak akan berhasil tanpa kerjasama pengguna sendiri. Pengguna memainkan peranan yang penting dalam memastikan jatuh bangun jualan sesuatu produk itu.

Dalam hal ini peniaga dan pengguna perlu saling bekerjasama untuk memboikot barangan keluaran Belanda bagi memastikan keberkesanan yang maksimum. Tindakan memboikot ini juga tidak seharusnya tertakluk kepada pengguna dan peniaga Islam sahaja. Penganut agama lain juga seharusnya menyokong usaha ini.

Keamanan Hal ini kerana tidak ada satu pun agama di dunia ini yang menggalakkan penganutnya berbuat jahat dan menghina agama lain. Penghasilan filem ini memporak-perandakan keamanan dan keharmonian antara agama di dunia ini.

Adalah menjadi kelaziman masyarakat kita yang hanya memboikot sesuatu barang itu ketika isu itu hangat diperkatakan. Seharusnya, usaha memboikot barangan keluaran Belanda ini dilakukan secara berterusan sehingga Wilders mengakui tindakannya adalah salah dan membetulkan persepsi negatif terhadap Islam.

Hal ini penting bagi memastikan Wilders dan juga pihak lain benar-benar mendapat pengajaran daripada tindakan mereka yang menghina Islam.

Selain itu, tindakan memboikot barangan Belanda ini dapat membantu meningkatkan penjualan produk tempatan. Jika selama ini kita sering membeli produk tenusu dari negara kincir angin ini, apa salahnya kita mencuba produk tenusu tempatan yang juga setanding dengan produk mereka. Secara tidak langsung ia mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Berdasarkan keadaan umat Islam semasa, tindakan Wilders ini seperti mencampakkan minyak ke dalam api. Wilders seolah-olah cuba mengulangi tindakan pengarah Belanda Theo Van Gaugh, yang mati dibunuh kerana menghina Islam melalui filemnya.

Umat Islam seharusnya tidak cepat melatah dengan melakukan perkara-perkara yang membenarkan kata-kata, Islam adalah agama yang menggalakkan keganasan. Ini merupakan provokasi Barat yang terus ingin mengaitkan Islam dengan keganasan.

Oleh itu, tindakan memboikot barangan keluaran Belanda adalah satu tindakan tepat bagi menundukkan keangkuhan mereka.

Monday, April 7, 2008

Kelantan ajak rakyat boikot barangan Belanda

Source: Utusan Online, Dalam Negeri


Kelantan ajak rakyat boikot barangan Belanda

KOTA BHARU 7 April - Kerajaan Pas Kelantan mengajak rakyat menyertai umat Islam di seluruh dunia memboikot barangan Belanda sebagai pengajaran kepada negara tersebut kerana membenarkan filem, Fitna ditayangkan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, biar pun filem itu hanya 15 minit tetapi ia dengan jelas memperlekehkan, menghina Islam dan umatnya, yang tidak boleh dimaafkan atas alasan kebebasan bersuara.

Beliau berkata, penerbitan filem itu seolah-olah dirancang oleh Yahudi bersama sekutunya untuk menggambarkan bahawa umat Islam pengganas dan kaum jumud.

"Di saat kita merayakan sambutan Maulidur Rasul, musuh-musuh Islam mengambil kesempatan mengeluarkan filem yang memfitnah umat Islam kononnya atas alasan kebebasan.

"Saya mengajak semua umat Islam memboikot barangan dari Belanda sebagai pengajaran kepada negara itu supaya tidak lagi memfitnah umat Islam," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di sebuah hotel di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif Kumpulan PKINK, Wan Yahaya Wan Salleh bersama lebih 500 kakitangan perbadanan berkenaan.

Antara aktiviti yang diadakan ialah ceramah agama yang disampaikan oleh pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Wan Shohor Bani Leman dan berzanji.

Tindakan memulaukan barang Belanda dimulakan pasar raya Mydin baru-baru ini berikutan penayangan filem Fitna karya ahli politik Belanda, Geert Wilders di Internet pada 27 Mac lalu yang berunsur fitnah terhadap Islam.

Ahmad berkata, teknologi yang dikecapi hari ini adalah sumbangan daripada cendekiawan Islam pada zaman kegemilangannya.

"Yahudi dan Barat bimbang masyarakat Islam akan bangkit kerana sejarah membuktikan permodenan dunia bermula dari cendekiawan Islam seperti di Cordoba, Sepanyol," katanya.