Source: Utusan Online, Politik
MAIPP: Shabudin letak jawatan YDP
TASEK GELUGOR 7 April - Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Shabudin Yahaya hari ini mengumumkan peletakan jawatannya selaras dengan kehendak kepimpinan kerajaan negeri baru.
Beliau berkata, surat peletakan jawatan itu telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 15 April lalu untuk memaklumkan perkara tersebut.
''Sebagai Ketua Agama Negeri Pulau Pinang, Seri Paduka berhak dimaklumkan tentang perkara ini kerana tuanku yang telah melantik saya dan ahli-ahli MAIPP yang lain bermula 1 Januari 2008 hingga Disember 2009,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Peletakan jawatan itu juga dibuat ekoran desakan oleh kerajaan negeri campuran DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu memberikan jawatan itu kepada calon baru yang akan dipilih kelak.
Menurut Shabudin, prosedur pelantikan ahli-ahli MAIPP perlu mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 yang memperuntukkan Majlis Mesyuarat Kerajaan menasihat Yang Dipertuan Agong.
Beliau berkata, desakan oleh ahli Pas dan PKR supaya beliau meletak jawatan merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima kerana jawatan itu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
Dalam pada itu, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi memaklumkan cadangan peletakan jawatan itu.
Ini kerana, katanya, semua ahli JKKK dilantik dan dibayar elaun oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan tidak munasabah bagi mereka bekerja dengan kerajaan baru.
Sehubungan itu, Shabudin berharap kerajaan negeri sekarang melantik ahli JKKK dan membentuk pentadbiran sendiri tanpa perlu bergantung kepada jentera BN.
''Kita tidak mahu timbul konflik kepimpinan dengan ahli JKKK yang lama dan berharap mereka semua faham bahawa perubahan politik telah berlaku di Pulau Pinang,'' katanya.
No comments:
Post a Comment