Source: Utusan Online, Politik
Karpal tolak jemputan Nik Aziz ke Kelantan
KUALA LUMPUR 7 April - Pengerusi DAP, Karpal Singh hari ini menolak jemputan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk melawat Kelantan ekoran kenyataannya agar Pas tidak memasang angan-angan untuk menjadi tunjang Pakatan Rakyat.
Beliau berkata, Nik Aziz tidak perlu berbuat begitu kerana hakikatnya beliau sedang menghadiri satu kes mahkamah di Kota Bharu ketika Menteri Besar itu memberikan sidang akhbar, semalam.
Katanya, pihaknya tidak berbalah dengan Pas dan jauh sekali merendah-rendahkan Islam.
''Pihak DAP menerima Islam sebagai agama rasmi negara ini sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
''Apa yang ditentang ialah ideologi asas parti itu untuk menubuhkan sebuah negara Islam dan memperkenalkan hukum hudud,'' katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan Nik Aziz menyelar Karpal yang dianggap tidak layak mengeluarkan kenyataan supaya Pas jangan memasang angan- angan untuk menjadi negara Islam.
Sehubungan itu, Nik Aziz meminta Karpal berkunjung ke Kelantan dan melihat sendiri pentadbiran Islam yang dilaksanakan oleh kerajaan Pas di bawah pimpinannya sebelum menolak cadangan parti tersebut.
Pada masa yang sama, pemimpin Pas itu juga menggesa Karpal turun padang di Kelantan dan mendapatkan maklum balas daripada orang Cina dan India di negeri itu.
Sambil merujuk kepada keputusan akhir kes Che Omar Che Soh lawan Pendakwa Raya [1988] 2 MLJ 57, Karpal berkata, Pas mesti menerima kenyataan bahawa undang-undang sekular kekal diterima pakai di negara ini.
Justeru, katanya, Pas perlu mematuhi peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan.
''Tidak dipertikaikan bahawa orang Cina dan India di Kelantan berasa gembira.
''Namun, ini tidak bermakna mereka menyetujui penubuhan sebuah negara Islam dan pengenalan hukum hudud,'' katanya.
Karpal memberitahu, sudah sampai masanya Pas menggugurkan ideologi asas parti itu.
Sebaliknya, katanya, parti Pas perlu memperjuangkan hak semua warganegara di negara ini tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama.
No comments:
Post a Comment