Tuesday, April 8, 2008

Selamatkan dulu wanita kita di Lorong Haji Taib

Source: Utusan Online, Forum

Date: 8 April 2008 / 1 Rabiul Akhir 1429

Selamatkan dulu wanita kita di Lorong Haji Taib

SAYA menyokong penuh pandangan saudari Rabeha Yassin yang tersiar baru-baru ini bertajuk Selamatkan Gadis Kita Dulu Dari Lembah Maksiat.

Apa yang terjadi ke atas nasib Sufiah Yusof memanglah amat dikesali. Sufiah telah terpesong daripada ajaran Islam dan amalan hidupnya telah melanggar batasan moral. Namun begitu, belum terlambat untuk beliau kembali ke pangkal jalan. Pintu taubat sentiasa terbuka. Saya berdoa agar beliau diberi petunjuk dan hidayat daripada-Nya.

Walaupun saya menyokong usaha murni untuk menyelamatkan Sufiah, saya rasa bukanlah tempatnya untuk kerajaan Malaysia menghabiskan wang ringgit rakyat Malaysia untuk menyelamatkan seorang rakyat Britain. Sufiah dan keluarganya telah lama berhijrah ke Britain dan mengambil kerakyatan sana. Saya cadangkan para menteri dan timbalan menteri yang berhajat melancarkan program khas membantu Sufiah agar menyusuri sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Lorong Haji Taib sehingga ke Jalan Bukit Bintang selepas tengah malam. Saksikanlah muda-mudi Malaysia yang saya percaya sebahagiannya beragama Islam memperdagangkan tubuh. Gunakanlah wang cukai rakyat Malaysia untuk membantu mereka ini dahulu sebelum melangkah jauh ke benua Eropah. Adakah kerana mereka tidak sepintar Sufiah maka hidup mereka tidak perlu diselamatkan? Atau mungkin menyelamatkan mereka ini tidak akan mendapat publisiti yang meluas maka biarlah mereka terus bergelumang dosa?

Di samping itu saya benar-benar berharap pihak kerajaan memikirkan dahulu dengan teliti segala program yang hendak dilancarkan. Rakyat kini semakin kritis dan sebagai rakyat kami tidak suka melihat duit kami digunakan untuk menaja program-program yang tidak akan memberikan faedah untuk kami. Pada kami ia lebih kepada satu bentuk pembaziran wang dan masa kerajaan untuk seorang individu yang kemungkinan besar lebih seronok hidup di Britain dan tidak pernah berfikir tentang Malaysia.

Saya berharap agar nukilan ini diambil sebagai teguran membina daripada seorang rakyat Malaysia yang kerdil.

WARGA MALAYSIA

Kanada.

No comments: