Tuesday, April 8, 2008

Isu Sufiah: Beri tumpuan gadis tempatan

Source: Utusan Online, Forum

Date: 8 April 2008 / 1 Rabiul Akhir 1429

Isu Sufiah: Beri tumpuan gadis tempatan

SAYA amat bersetuju dengan pandangan Rabeha Yassin dari Subang Jaya yang bertajuk Selamatkan gadis kita dulu dari lembah maksiat.

Apa yang saya ingin luahkan di sini adalah pengalaman saya sebenar bukan rekaan dalam usaha saya membantu gadis bawah umur daripada maksiat. Ibu bapa gadis tersebut sebelum ini telah berjumpa dengan pelbagai pihak, agar anak mereka dapat diselamatkan. Sekurang-kurangnya ibu bapa tersebut diberi bimbingan atau pandangan atau tunjuk jalan tentang cara-cara untuk memulihkan moral anak mereka. Kasihan... tiada seorang pun yang ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk membantu. Nasib anak mereka tidak sebaik nasib Sufiah. Ibu bapa gadis tersebut akhirnya berjumpa saya yang hanya seorang guru tua. Saya akhirnya bertekad berjumpa kawan lama, juga hanya seorang sarjan tua. Kami berdua berusaha memanjat tangga pejabat agama yang pada mulanya terlalu banyak birokrasi. Kami hampir berputus asa, namun dek kerana niat yang ikhlas, rayuan kami akhirnya mendapat perhatian mereka. Terima kasih diucapkan kepada kakitangan pejabat agama tersebut. Apa yang ingin saya katakan di sini, sama seperti yang disampaikan oleh Rabeha. Tumpukan perhatian kepada gadis -gadis kita dan selamatkan mereka terlebih dahulu.

Duduklah berbincang setidak-tidaknya untuk mengurangkan birokrasi bagi menyelamatkan mereka daripada lembah maksiat. Seperti: ‘‘Ah..Sekarang dah petang tidak boleh bertindak sebab itu... sebab ini.’’ Saya hampir menangis dan hancur luluh hati saya apabila membaca artikel tentang pelbagai pihak begitu respons tentang isu Sufiah. Mengapa perkara ini tidak berlaku kepada saya ketika ingin menyelamatkan gadis (tempatan) tersebut?

SITI HALIJAH

Kuala Lumpur.

No comments: