Tuesday, April 8, 2008

PIPP di landasan terbaik

Source: Utusan Online, Pendidikan

PIPP di landasan terbaik

PUTRAJAYA 3 April – Kementerian Pelajaran membelanjakan hampir RM3 bilion secara adil dan saksama untuk pembangunan infrastruktur pendidikan di semua jenis aliran sekolah sehingga Disember 2007 seperti yang terkandung di dalam Kad Laporan Kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) negara.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, fokus dan keutamaan PIPP untuk tahun pertama ialah merapatkan jurang pendidikan di bandar dan luar bandar termasuk pembangunan infrastruktur di luar bandar, insentif khas guru di pedalaman, menyediakan bekalan air bersih dan elektrik serta kemudahan lain.

“Laporan menunjukkan pelaksanaan dan kemajuan PIPP kini berada di atas landasan yang baik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan laporan kemajuan tahun pertama PIPP 2006-2010.

Pelan tersebut merupakan inisiatif kerajaan untuk memastikan kesaksamaan akses dan ekuiti terhadap pendidikan serta menyamaratakan medan persaingan di kalangan pelajar.

Ia juga bermatlamat untuk melonjakkan tahap kecemerlangan institusi dan imej sistem pendidikan negara di persada dunia.

Justeru, kata Hishammuddin, pihaknya berharap melalui laporan kemajuan secara telus itu dapat membetulkan persepsi masyarakat terhadap komitmen berterusan kerajaan membangunkan pendidikan negara secara adil tanpa mengira kaum, latar belakang dan kedudukan sosioekonomi seseorang.

“Kita akan pastikan golongan yang perlu pembelaan tidak terpinggir dan ketinggalan khususnya Orang Asli dan murid di pedalaman,” katanya.

Dalam pada itu, kementerian tidak pula mengabaikan masalah sekolah di bandar seperti isu kesesakan, kekurangan guru, penyelenggaraan dan menaik taraf bangunan sekolah.

Bagaimanapun, menurut Hishammuddin, keutamaan diberi mengikut dasar semasa dan mustahil semua masalah dapat diselesaikan dalam sekelip mata tetapi laporan ini terbuka kepada orang ramai untuk menilai atau memberi cadangan.

No comments: