Tuesday, April 8, 2008

Capal warisan turun-temurun

Source: Utusan Online, Keluarga

Date: 8 April 2008 / 1 Rabiul Akhir 1429

Capal warisan turun-temurun

TIADA siapa yang dapat mematahkan niat dan usaha anak muda ini untuk meneruskan perjuangan bapanya dalam mempertahankan salah satu warisan kesenian Melayu ini agar tidak hilang ditelan zaman.

Walaupun pada zahirnya bidang yang dipilih tidak glamor dan sering dilabel sebagai pekerjaan untuk orang veteran, namun Amrul Hidayat Hashim, 28, tahu apa yang dilakukannya.

Warisan pembuatan capal atau juga dikenali sebagai kasut Palembang, adalah satu cabang seni masyarakat Melayu.

Capal yang sering dipakai bersama baju Melayu menjadi 'pakaian kaki' bagi individu yang menghargai seni serta keselesaan pemakaiannya.

Suatu ketika dahulu, bidang ini bukanlah pilihan Amrul, malah beliau pernah menjadi penuntut di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor dalam bidang mikrobiologi.

Biarpun terpaksa melupakan cita-cita zaman kanak-kanaknya untuk menjadi doktor, beliau tahu jalan yang dipilih sekarang adalah tepat dan bersesuaian dengan jiwanya.

Malah, beliau mendapat sokongan penuh daripada isteri tercinta, Norzatul Ramlah Saudin, 28, dan bapa, Hashim Hasan, 81, untuk meneruskan seni warisan itu.

"Bapa saya pernah berkata, pada 1998 ada 18 buah klinik di Kepala Batas tetapi cuma ada satu saja pembuat capal, iaitu dia. Jadi katanya, untuk memilih perniagaan dan kerjaya, pilihlah bidang yang tidak ramai dipilih orang kerana ia akan menjanjikan peluang yang lebih luas," jelasnya ketika ditemui dalam Program Media Turun Padang anjuran Kraftangan Malaysia, baru-baru ini.

Amrul yang sejak kecil lagi telah mengambil upah menggosok tapak capal di bengkel bapanya berkata, perubahan masa telah memberi idea kepadanya untuk menghasilkan capal yang lebih berinovasi.

"Capal buatan syarikat saya bukanlah dihasilkan daripada tulang belulang seperti 50 tahun dahulu, sebaliknya 95 peratus daripada bahan mentahnya ialah kulit asli yang diimport dari Brazil, Australia dan Switzerland.

"Ini dilakukan bagi memastikan capal yang dihasilkan dan menggunakan jenama Jago, berkualiti dan sedap dipakai," kata bapa kepada dua cahaya mata lelaki berusia tujuh dan satu setengah tahun itu.

Menurut Amrul, reka bentuk capal dahulu dan sekarang masih sama, cuma yang ditambah hanya kain baldu dan songket mengikut cita rasa pelanggan.

Capal buatan syarikat Amrul dijual pada harga RM40 hingga RM280 sepasang, berpadanan dengan proses pembuatannya yang kesemuanya merangkumi 20 langkah.

"Walaupun kami telah komersialkan capal Jago, masih terdapat ramai pelanggan persendirian termasuk kawan-kawan serta kenalan mereka dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak," katanya yang kini mempunyai dua kedai jualan.

Capal yang berasal daripada perkataan India Capali, mengikut sejarah dunia Melayu ia banyak dipakai oleh orang Minang.

"Pada tahun 1930, bapa saya mendapat ilmu membuat capal daripada pedagang Indonesia dan terus menjadikan ia sebagai perniagaan sehingga kini.

"Antara orang kenamaan yang pernah menempah capal jenama Jago termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Sultanah Kelantan juga pernah menempah kasut daripada bapa saya satu ketika dulu," ujarnya yang turut memiliki kedai jualan di Kompleks Dato' Kailan, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Mengulas tentang nama Jago, Amrul berkata, ia adalah singkatan daripada perkataan 'Jangan Goyah', bermakna dalam perniagaan mestilah berani ambil risiko dan tidak gentar dengan halangan yang mendatang.

"Kira-kira 40 tahun dulu bapa bermula di sebuah kedai yang terletak di Simpang Enam, Pulau Pinang. Setelah hampir lima dekad berlalu, capal Jago masih menjadi pilihan, malah pada musim perayaan seperti Hari Raya Puasa kami menerima tempahan lebih 1,000 pasang," jelas Amrul yang boleh menghasilkan 15 pasang capal sehari.

Beliau, yang berjaya menghasilkan capal pertamanya pada usia 15 tahun berkata, kelebihan capal Jago terletak pada cara pembuatannya.

"Selepas menimba pengalaman daripada bapa, saya perhalusi lagi teknik pembuatannya dan menghasilkan capal yang kemas dan selesa dipakai," jelasnya yang turut dibantu isteri dan adiknya, Badril Shahidan, 27.

Setelah berjaya mendapat pembiayaan daripada Majlis Amanah Rakyat dan pemantauan oleh Kraftangan Malaysia, Amrul bertekad untuk meningkatkan lagi produktivitinya dan mempromosikan lagi capalnya ke peringkat yang lebih tinggi.

"Bapa saya memang berharap agar ada anaknya yang mewarisi perniagaan ini, saya juga akan katakan yang sama pada anak-anak saya suatu hari nanti," ujarnya.

Bagi yang berminat melihat sendiri proses pembuatan capal Jago bolehlah menelefon Amrul di talian 013-4465639 atau lawat bengkelnya di Kraf capal Jago Mutiara Enterprise, 10, Lorong Air Tawar 14, IKS Taman Air Indah, Butterworth, Pulau Pinang.

No comments: