Monday, March 24, 2008

KBS wujud laman blog dekati belia

KBS wujud laman blog dekati belia

BERA 23 Mac – Kementerian Belia dan Sukan bercadang mewujudkan laman blog sendiri sebagai usaha mendekati dan berinteraksi dengan golongan belia di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu memandangkan blog kini menjadi medium maklumat yang semakin popular di kalangan generasi muda.

Katanya, kewujudan blog tidak boleh dipandang ringan kerana peranannya didapati cukup berkesan sehingga berjaya mempengaruhi pengundi memilih parti pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu.

‘‘Jika kita terus memperlekehkan kewujudan blog, saya bimbang suatu hari nanti ia akan mengambil alih peranan akhbar arus perdana.

‘‘Bagaimanapun, blog yang akan kita wujudkan itu akan disesuaikan dengan kehendak belia yang lebih ringan dan santai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis meraikan pelantikannya sebagai Menteri Belia dan Sukan di Kompleks Rakan Muda dekat sini malam tadi.

Menurut Ismail Sabri, kementeriannya juga akan meneliti kedudukan pertubuhan dan belia yang sebahagian besarnya lesu selepas mengadakan pertemuan dengan para pemimpin belia, lusa.

Katanya, kelesuan itu mungkin berpunca daripada beberapa modul yang diwujudkan dahulu tidak lagi sesuai dengan perkembangan dan kehendak golongan belia masa kini.

Keadaan itu jelasnya, menyebabkan lebih 70 peratus belia di negara ini tidak berminat menyertai persatuan.

Sehubungan itu kata beliau, kementeriannya akan mencari satu formula baru bagi membawa perubahan supaya belia berminat untuk berpersatuan.

‘‘Kita kena ingat, dulu gejala sosial yang merosakkan belia sering dikaitkan dengan faktor dan pengaruh di luar rumah tetapi hari ini gejala sosial itu berlaku dalam rumah kita sendiri.

‘‘Contohnya, pengaruh khidmat pesanan ringkas (SMS) dan Internet yang tidak bermoral kini mudah didapati di rumah kita sendiri menerusi telefonbimbit dan komputer,” kata beliau.

No comments: