Cabaran jadikan UKM bertaraf dunia
UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) kini melalui era yang lebih mencabar. Pelbagai tuntutan dihadapi bagi menjadikannya sebuah universiti yang dapat diterima di peringkat antarabangsa dan pada masa yang sama masih mahu mengekalkan idealisme dan imej ‘kebangsaan’nya. UKM kini adalah satu-satunya universiti kebangsaan di Malaysia.
Setelah berusia 37 tahun, UKM menghadapi perubahan, tambahan pula setelah diisytihar sebagai Universiti Penyelidikan pada 11 Oktober 2006.
Justeru, UKM harus bersedia bersaing dalam bidang pengajian tinggi dalam dan luar negara serta berada di tanda aras peringkat dunia. Menjadi sebuah universiti ‘kebangsaan’ tetapi diterima di persada dunia bukanlah suatu yang mustahil.
Universiti yang sedemikian ada di Singapura dan Hong Kong malah di merata dunia.
Sehubungan itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menggariskan tiga strategi utama dalam menggerakkan universiti ke arah universiti penyelidikan unggul.
Perkara ini dinyatakan oleh Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dalam amanatnya pada 18 Januari 2008 di UKM Bangi. Amanat tersebut diterbitkan di dalam Syarahan Naib Canselor bertajuk Universiti Kebangsaan Malaysia - Ke Arah Universiti Penyelidikan Unggul.
Syarahan Naib Canselor adalah suatu tradisi di UKM bagi Naib Canselor menyampaikan amanat dan hala tuju Universiti kepada masyarakat dalam dan luar kampus. Sehingga kini, lapan syarahan Naib Canselor telah diterbitkan.
Sejak menerajui UKM sebagai Naib Canselor pada 28 Ogos 2006, beliau telah membawa beberapa kemajuan kepada universiti khususnya dari segi penstrukturan semula bahagian-bahagian akademik, kemahasiswaan dan pentadbiran. Strategi pertama ke arah menjadikan UKM universiti unggul menekankan pemantapan struktur organisasi dan sistem penyampaian.
Pemantapan struktur organisasi adalah bagi meningkatkan keberkesanan dan integriti sistem penyampaian sebuah universiti penyelidikan untuk menarik tenaga pengajar dan pelajar terbaik, meningkatkan produktiviti dan menambah baik citra UKM.
Pengubahsuaian struktur lebih tertumpu kepada bahagian sokongan yang disusun mengikut portfolio, untuk memperjelaskan punca kuasa dan kebertanggungjawaban dalam menyokong kegiatan utama serta meningkatkan hubungan dan saling kaitan antara portfolio.
Dalam Sistem Penyampaian pula, penekanan utama diberikan terhadap pemantapan hal ehwal sumber manusia untuk meningkatkan keyakinan dan menarik mereka yang terbaik berkhidmat dan kekal dengan UKM.
Sistem penyampaian juga dimantapkan dalam urusan governans di mana mekanisme membuat keputusan dan jenis keputusan yang dibuat diamalkan dengan jelas. Dalam hal ini juga, citra UKM terus dipertingkatkan dengan penjenamaan ‘Mengilhamkan Harapan, Mencipta Masa Depan’.
Strategi lain ialah menekankan pemilihan bidang kekuatan UKM untuk lebih terfokus kepada penggemblengan sumbangan tenaga akademik pelbagai disiplin dalam semua proses teras akademik.
Penentuan ini adalah usaha memantap dan menonjolkan kekuatan UKM supaya terserlah dan bereputasi sebagai universiti penyelidikan yang unggul dan ketara bezanya dengan universiti lain.
UKM juga akan meningkatkan kualiti dan keberkesanan sistem penyampaian yang dilaksanakan dengan memantapkan kemudahan penyelidikan, pendidikan dan khidmat masyarakat.
Dalam strategi ini juga, sistem inovasi diperkukuhkan untuk mempercepatkan tampakan hasil setiap kekuatannya.
Demikianlah UKM menggariskan beberapa strategi dalam mendepani cabaran sebagai sebuah universiti penyelidikan. Cabaran ini menjadi lebih kuat dengan pelbagai saingan baru yang dihadapi daripada pelbagai universiti terkemuka di dunia dan perubahan yang semakin banyak melanda sistem pendidikan tinggi di seluruh dunia.
Dengan landasan yang betul ini, maka UKM bakal menempuh arus perubahan bagi meletakkannya sebagai salah satu universiti terbaik di dunia.
No comments:
Post a Comment