Showing posts with label negara. Show all posts
Showing posts with label negara. Show all posts

Tuesday, April 15, 2008

Jadikan masjid institusi penting


Abdullah Ahmad Badawi sambil diperhatikan oleh Ahmad Zahid Hamidi bercakap tentang al-Quran tafsiran bahasa Inggeris di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 15 April - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggariskan tiga langkah yang boleh menjadikan masjid sebuah institusi penting serta dapat menarik minat umat Islam mengunjunginya.

Perdana Menteri berkata, tiga perkara tersebut ialah menjadikan masjid indah dan bersih, aktiviti ceramah agama yang menarik untuk generasi muda dan menyediakan kemudahan awam.

Mengenai kebersihan, beliau berkata, masjid-masjid di negara ini perlulah menjadi bangunan yang indah dan bersih.

Katanya, aspek-aspek penyelenggaraan perlu diberi perhatian berat oleh pihak pengurusan masjid bagi memastikan persekitarannya sentiasa terpelihara dan bersih.

''Tidak semestinya masjid baru sahaja nak bersih, saya lihat Masjidilharam yang sudah lama didirikan tetapi keadaannya sentiasa bersih dan memberi ketenangan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Multaqa Imam-Imam Masjid seluruh negara anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Majlis Multaqa Imam-Imam Masjid seluruh negara kali ketiga itu bertemakan 'Perpecahan Ummah Mengancam Keselamatan Negara' turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Abdullah berkata, beliau telah mengunjungi masjid-masjid tua di luar negara tetapi keadaannya amat bersih walaupun telah berusia 100 tahun.

Katanya, ketika memasuki masjid itu beliau merasa amat tenang memandangkan ia bersih dan indah.

Perkara kedua kata Abdullah, untuk menjadikan masjid di negara ini dikunjungi orang ramai terutama generasi muda ialah mengadakan ceramah-ceramah yang mendidik umat Islam bukan ceramah berbentuk penegasan hukuman serta balasan Allah SWT.

Katanya, para penceramah perlu mengunakan teknik memujuk generasi muda untuk mendekatkan diri dengan masjid serta beribadat.

''Masjid tidak harus menjadi tarikan hanya kepada orang tua sahaja, serta menjadi tempat yang dijauhi oleh golongan muda tetapi sebaliknya dikunjungi oleh semua generasi baik tua atau muda,'' katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau berharap apa yang terjadi kepada sebuah masjid di Petaling Jaya yang menjadi tempat anak-anak muda membuat maksiat tidak akan berlaku.

Katanya, imam dan ahli jawatankuasa masjid perlu mempunyai pendekatan berhemah tinggi dalam mendekati generasi muda dengan menggunakan pendekatan lembut serta cuba memahami masalah mereka.

''Imam dan ahli jawatankuasa masjid perlu mengetahui masalah yang dialami generasi muda dan memberikan kata-kata nasihat bagaimana mereka boleh menjadi manusia serta umat Islam yang baik.

''Kita tidak boleh lagi menggunakan perkataan kasar, ugutan dan sebagainya untuk menarik generasi muda datang ke masjid sama ada untuk beribadat ataupun menyertai aktiviti-aktiviti yang dijalankan,'' katanya.

Abdullah berkata, masjid juga perlu menjadi pusat kemudahan orang ramai dengan menyediakan kemudahan-kemudahan awam seperti mesin teler automatik (ATM) dan kedai serbaneka untuk keperluan masyarakat setempat.

Katanya, kemudahan-kemudahan awam ini akan menukar pandangan orang ramai mengenai masjid dari tempat ibadat sahaja kepada sebuah institusi yang amat berguna dari pelbagai segi.

Perdana Menteri turut meminta para imam agar sentiasa menjaga tingkah laku mereka dan menjadi pemimpin masyarakat yang dihormati, disayangi dan mudah didekati, adil dan berhemah tinggi.

Mengenai tindakan sesetengah khatib yang tidak menggunakan teks yang disediakan Jakim ketika membaca khutbah, beliau berkata, perkara itu boleh dilakukan jika ada isu lain yang lebih penting dan relevan dengan masyarakat setempat.

Abdullah bagaimanapun menegaskan, teks khutbah yang disediakan Jakim biasanya mengandungi isu-isu semasa negara yang wajar diuar-uarkan untuk pengetahuan masyarakat umum.

Wednesday, April 9, 2008

Iran desak negara Islam pulau produk Belanda


PELAJAR Iran melaungkan bantahan terhadap penerbitan filem Fitna sewaktu menyertai tunjuk perasaan di luar Kedutaan Belanda di Teheran, kelmarin.– AP

TEHERAN 6 April – Speaker Parlimen, Gholamali Haddadadel hari ini menyeru semua negara Islam memulaukan produk Belanda bagi membantah filem Fitna.

Beliau berkata, negara Eropah akan berundur daripada tindakan mereka apabila mendapati “ekonomi mereka dalam bahaya”.

“Tindakan terbaik dunia Islam berhubung penerbitan filem itu ialah dengan berhenti membeli produk keluaran negara yang menghina Islam,” katanya kepada stesen televisyen IRIB.

Semalam, sekumpulan pelajar mengadakan bantahan aman di depan Kedutaan Belanda di sini.

Menteri Luar Iran, Manouchehr Mottaki dilaporkan turut memanggil Duta Belanda bagi menyatakan bantahan berhubung penerbitan filem yang disifatkan “kejam dan kufur” itu.

Filem Fitna diterbitkan oleh Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders.

Ia mengkritik Islam dan menyiarkan bacaan ayat suci al-Quran dengan berlatar belakangkan imej keganasan oleh umat Islam.

Filem 15 minit itu memaparkan kenyataan seorang paderi radikal dan menyebut surah al-Quran dengan diselitkan imej serangan 11 September terhadap Pusat Dagangan Dunia di New York.

Ia turut memaparkan pengeboman kereta api di Madrid, Sepanyol pada 2004 dan pembunuhan pengarah filem Belanda, Theo Van Gogh.

Filem tersebut diakhiri dengan karikatur Nabi Muhammad S.A.W yang kemudiannya disusuli dengan bunyi koyakan kertas.

Karikatur tersebut yang mulanya diterbitkan oleh akhbar Belanda telah mencetuskan bantahan di seluruh dunia pada 2006 dengan lebih 50 orang terbunuh dalam rusuhan yang tercetus di seluruh Asia Barat dan Afrika.

Tayangan filem melalui Internet itu mendapat bantahan umat Islam di seluruh dunia termasuk Iran dan Indonesia.

Monday, March 24, 2008

Wajib pertahan negara

Wajib pertahan negara

Bersama:KAMIL MAJID
SOALAN: Assalamualaikum, saya lihat, pada zaman ini semakin ramai masyarakat yang tidak menyokong sektor ketenteraan dan pertahanan. Malah, ada sebilangan ibu bapa yang kurang atau tidak senang melihat anak-anak mereka menyertai pasukan keselamatan dengan alasan ‘umur tak panjang’, ‘takut jadi balu atau duda’,‘gaji sedikit’ dan sebagainya. Adakah benar pendapat seperti ini bagi pandangan Islam?

– Mohamad Fahmi Amin Zolkepli,

Jitra, Kedah.

JAWAPAN: Soalan yang cukup baik. Saudara cukup prihatin dengan persoalan keselamatan negara. Saudara seorang yang cukup memahami keperluan mempertahankan negara.

Dalam Islam, setiap daripada kita ada kewajipan terhadap negara. Mereka yang ingin menjaga maruah negara, malah maruah agama yang wujud dalam sesebuah negara disanjung tinggi. Malah menjadi kewajipan. Bukannya pilihan lagi.

Isu ketenteraan cukup penting sehingga menjadi dasar hidup muslim wajib mempertahankan negara. Bukankah Allah berfirman agar kita mempersiapkan kekuatan dan ketenteraan sehingga menggerunkan musuh?

Setiap daripada diri kita dituntut menyayangi negara dan tanah air. Apalagi mempertahankan tanah air jika diserang musuh.

Apa yang penting isu keselamatan dan ketenteraan sepatutnya dikaitkan dengan perintah agama bagi mempertahankannya. Justeru itu setiap orang merasakan bertanggungjawab mempertahan tanah air dan tidak timbul pelbagai tanggapan negatif terhadap isu pertahanan negara malah soal keselamatan negara secara keseluruhannya.

Sepatutnya setiap ibu bapa bangga jika ada daripada kalangan anak-anak mereka yang ingin menyertai tentera atau pasukan keselamatan dengan niat memberi khidmat kepada bangsa, negara malah agama.

Sudah sampailah masanya, persepsi pertahanan negara dan isu keselamatan dikaitkan dengan bukan sahaja keperluan negara tetapi menjadi tuntutan agama.

Hanya yang perlu diberikan perhatian, niat mesti diperbetulkan. Bukankah nabi mengingatkan para sahabat yang baru berpeluang berperang mempertahankan agama itu pun masih pulang daripada perjuangan yang kecil kerana perjuangan lebih besar adalah perjuangan melawan nafsu, berbakti dengan ikhlas, bukan atas tujuan mencari nama, pangkat atau kedudukan.

Apabila timbul ura-ura kekurangan calon untuk direkrut dalam tentera atau pasukan keselamatan, ada sesuatu perkara yang tidak kena dalam pendekatan kita mempromosi tugas ini.

Keperluan

Jika ia dikaitkan dengan tuntutan agama, keperluan negara maka sepatutnya menjadi kebanggaan semua pihak untuk melepaskan anak mereka masuk dalam bidang tersebut. Malah ibu bapa sepatutnya mendorong supaya ada dalam setiap keluarga mereka yang sanggup mempertahankan tanah air dan bangsa daripada ancaman musuh luar, mahupun musuh dalam yang sengaja merosakkan keamanan orang ramai.

Dalam keadaan jenayah yang makin terjadi, gejala sosial yang makin besar saiznya, apatah lagi amar makruf nahi mungkar yang perlu. Adakah dengan hanya melalui khutbah dan ceramah? Saya berpendapat memasuki pasukan keselamatan dan menjadi tentera satu amalan baik yang didukung oleh agama.

Dengan wujudnya KAGAT dalam tentera dan unit agama dalam pasukan polis diharapkan tugas ketenteraan ini makin menjadi tarikan. Kerja mengawal keselamatan negara juga menjadi pilihan.

Tidak timbul sama sekali persepsi negatif seperti yang saudara tanya. Soal umur panjang atau pendek bukan kerja kita. Nyawa boleh melayang bila-bila masa sahaja. Contohnya, di Malaysia, mereka yang mati kerana kecelakaan jalan raya jauh lebih besar daripada mereka yang tewas dalam peperangan.

Tiap hari ada sahaja yang menjadi balu atau duda. Barangkali mati kerana tidak cukup senaman atau kerana penyakit lebih ramai daripada mati kerana dibunuh oleh penjenayah. Sedangkan mati kerana mempertahankan negara dan agama dalam tentera atau pasukan keselamatan jauh lebih bermaruah daripada mati kerana jangkitan HIV atau penyakit kerana cara hidup menyimpang atau mati kerana merempit.

Alasan gaji sedikit juga tidak timbul, jika mereka yang terlibat dalam pasukan keselamatan dan tentera yang sudah dibekalkan dengan kelulusan yang baik dan kemahiran yang tinggi dalam pelbagai lapangan yang diperlukan.

Islam satu agama yang cukup praktikal, memahami keperluan keadaan yang sentiasa berubah. Keperluan pertahanan dan keselamatan pada masa ini juga bukan hanya memerlukan kualiti fizikal semata-mata tetapi kualiti dan kecanggihan teknologi dalam peperangan zaman moden mahupun pemeliharaan keselamatan dalam negeri.

Jika diteliti dalam pendekatan Islam Hadhari pun salah satu prinsipnya pertahanan negara dan menjamin keselamatan negara yang mempunyai peranan penting dalam menstabilkan politik dan ekonomi negara. Malah dengan jaminan keselamatan juga kemajuan agama dapat berjalan lancar.

Lihatlah mereka yang keselamatan tidak terjamin apatah lagi pertahanan negara yang rapuh, sukar untuk menjalani amal ibadat seperti apa yang sedang berjalan di negara kita.

Nyatalah isu yang dibincangkan ini, pada asasnya satu fardu kifayah yang dituntut, malah menjadi fardu ain pada situasi yang tertentu. Selamat berjuang.

- Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. E-mel: kamilmajid50@yahoo.com.