Showing posts with label islam - ulama nusantara. Show all posts
Showing posts with label islam - ulama nusantara. Show all posts

Sunday, April 6, 2008

Mengenali karya ulama, tokoh Kalimantan Barat

Source: Utusan Malaysia Online - Bicara Agama
Date: 7 April 2008 / 30 Rabiul Awal 1429

Mengenali karya ulama, tokoh Kalimantan Barat

DALAM tiga tulisan yang telah lalu telah diperkenalkan ulama-ulama dari Pontianak, Kalimantan Barat, sama ada yang berasal dari Pontianak sendiri mahupun ulama yang berasal dari luar yang memainkan peranan yang besar di dalam kerajaan Pontianak, rencanal pada kali ini memberi tumpuan kepada ulama dan karya-karya dari Ketapang dan Mempawah yang juga termasuk dalam daerah Kalimantan Barat. Dimulakan dengan dua ulama yang berasal dari Mekah yang datang menyebarkan Islam di Ketapang iaitu Imam Qari Jamal dan Syeikh Syamsuddin.Selanjutnya mengkaji ulama serta karya mereka menerusi artikel ini.

Ulama Ketapang dan pengkaryaannya

Pada zaman dulu berdirinya sebuah kerajaan yang dinamakan Kerajaan Sukudana, yang sekarang disebut Kabupaten Ketapang. Selanjutnya di sana pula letaknya Kerajaan Matan. Ketika masih bernama Kerajaan Sukudana, kerajaan itu sangat terkenal. Pengembangan Islam diriwayatkan dalam beberapa tulisan klasik Melayu, di antaranya dalam satu manuskrip dinyatakan sebagai berikut, "Dan sampailah ke negeri Mekah dan Madinah. Maka Raja Mekah pun (mengirim) sebuah kapal ke negeri Sukudana serta membawa persalinan pakaian yang indah-indah. Serta membawa sahmurah dan Quran dan baju azimat satu serta dengan nama Sulthan Muhammad Shafiyuddin. Ada pun yang disuruh oleh Raja Mekah menjadi utusan ke Sukudana itu Imam Qari Jamal dan Syeikh Syamsuddin. Setelah datang utusan itu maka dipersalin dengan sepertinya. Maka surat dari Mekah itu pun dibaca, maka berhimpunlah sekalian rakyat Sukudana dan segala (daerah) seperti Kota Ringin, Jali Kendewangan, Pesaguan, Biyak Keriyu, Semandang Kawalan, Landak, Mempawah, Sambas, Tembelan, dan Subi, Serasan, Bunguran sekalian itu ke Sukudana di pasiban agung hingga sampai ke alun-alun daripada kebanyakan manusia…."

Sejak kedatangan Imam Qari Jamal dan Syeikh Syamsuddin dari Mekah itu secara berkesinambungan di Kerajaan Sukudana, agama Islam terus berkembang dan melahirkan beberapa orang ulama dan cendekiawan. Bahkan ada pendapat mengatakan, kedatangan Syeikh Syamsuddin ke Sukudana itu adalah merupakan titik awal penyebaran Islam di seluruh Kalimantan/Borneo.

Menjelang kemerdekaan Indonesia hingga 1980-an, di antara ulama yang berasal dari daerah tersebut yang terkenal ialah Haji Ali Utsman Ketapang yang pernah menjadi Rektor Universitas Islam Bandung (UNISBA). Haji Ali Utsman mendapat pendidikan Darul 'Ulumid Diniyah di Mekah. Sewaktu belajar di sana, beliau bersahabat dengan ulama besar terkenal iaitu Syeikh Yasin Padang. Ulama yang berasal dari Ketapang ini adalah seorang hafiz al-Quran. Kemampuannya menghafaz tiga puluh juzuk al-Quran hanya mengambil masa enam bulan sahaja. Dalam waktu yang demikian singkat, beliau juga menghafal pelajaran-pelajaran lain. Riwayat ini mencerminkan kecergasan beliau dan termasuk sesuatu yang luar biasa.

Sewaktu Haji Ali Utsman tinggal di Pontianak, beliau berhasil mendirikan Madrasah Raudhatul Islamiyah yang merupakan sebuah sekolah agama yang terkenal di Pontianak. Sekolah tersebut berjaya melahirkan tokoh-tokoh, baik di bidang agama, mahupun cendekiawan pelbagai bidang lain.

Beliau juga sempat menghasilkan beberapa buah karangan, di antaranya ialah Pemimpin Kepada al-Lughatul 'Arabiyah , yang diselesaikan di Ketapang, Kalimantan Barat, pada 19 Zulkaedah 1369 H/2 September 1950 M. Kandungannya mengenai bimbingan untuk mengetahui bahasa Arab termasuk ulasan ringkas mengenai nahu dan sharafnya. Dicetak oleh Percetakan Qalam, 356 Geylang Road, Singapura.

Dari Ketapang pula muncul Dr. Hamzah Haz yang pernah memegang peranan sebagai wakil Presiden Republik Indonesia.

Para ulama Mempawah dan pengkaryaannyaMenurut riwayat, sewaktu Upu Daeng Menambon secara rasmi telah menjadi Raja Mempawah beragama Islam yang pertama, beliau telah menyusun riwayat tentang perhubungan Bugis dan Melayu yang ditulis dalam bahasa Bugis.

Tulisan beliau telah diterjemah daripada bahasa Bugis ke bahasa Melayu oleh putera beliau bernama Gusti Jamiril. Berdasarkan terjemahan itulah yang dimanfaatkan oleh Raja Haji Ahmad bin Raja Haji dan puteranya, Raja Ali Haji sehingga tersusun kitab Salasilah Bugis dan Melayu

yang terkenal.

Di Mempawah pula telah dijumpai beberapa manuskrip yang membicarakan perkara yang sama. Ia juga dipercayai bersumberkan terjemahan Gusti Jamiril itu.

Di antaranya ialah; Salasilah Keturunan Raja-Raja Negeri Mempawah Yang Termasuk Keturunan Raja-Raja Tanah Jawa, Sukudana, Matan, Sampang dan Sebelah Kapuas, yang diselesaikan pada 21 Syaaban 1288 H. Kandungan menceritakan asal-usul raja-raja Melayu terutama Kalimantan dan Riau. Manuskrip diperoleh di Pontianak, pada 29 Muharam 1423 H/12 April 2002 M.

Selanjutnya di antara nama-nama ulama atau tokoh serta karya-karya yang berasal dari Mempawah disenaraikan sebagai yang berikut di bawah ini:

lMuhammad Ali Al-BuqisiKarya tokoh ini ditemui dua judul, ialah:1. Salasilah Asal Raja-Raja Mempawah, Dan Pontianak, Dan Matan, Dan Sambas, Dan Riau, Dan Selangor, Dan Yang Termasuk Jadi Kerabat, diselesaikan di Mempawah, 2 Januari 1882 M. Kandungan menceritakan asal-usul raja-raja Melayu yang berasal dari negeri Bugis.2. Risalah Tauhid, Isnin, 8 Syaaban 1288 H. Kandungan pelajaran akidah Ahlis sunnah wal Jamaah. Manuskrip mengenai ini bekas dimiliki oleh Syeikh Mahmud Muhammad Syarwani. Pada lembaran terakhir tercatat, "Yang punya buku ini Syeikh Mahmud Muhammad Syarwani".

lUmar Ibnu Uu' Maju' MempawahPenulisan mengenai Thariqat Syaziliyah pula pernah dilakukan oleh ulama yang berasal dari Mempawah ini, beliau ialah Umar ibnu Uu' Maju' yang menghasilkan karya berjudul Salasilah dan Amalan Thariqat Syaziliyah, tanpa dinyatakan tarikh. Kandungan membicarakan salasilah dan cara-cara mengamalkan Thariqat Syaziliyah. Diperoleh di persekitaran Kesultanan Pontianak, Kalimantan Barat. Catatan dan penilaian bahawa manuskrip / naskhah tersebut adalah nadir atau langka, kerana belum banyak manuskrip mengenai Thariqat Syaziliyah yang ditulis dalam bahasa Melayu. Bahawa beliau mengaku sebagai murid Syeikh Ali bin Abdur Rasyid al-Jawi as-Sumbawi yang berasal dari Sumbawa tersebut adalah seorang ulama besar yang terkenal, hidup sezaman dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

lAli bin Sulaiman, Kampung Kuala MempawahRamai memperkatakan bahawa di Kuala Secapah/ Kuala Mempawah sekitar 100 tahun yang lalu, hidup seorang ulama besar yang dianggap mempunyai keramat. Ulama itu berasal dari Kedah, beliau adalah Haji Muhammad Yasin Kedah. Sehubungan itu dalam sebuah rumah besar tersimpan kitab-kitab peninggalan ulama besar Kedah itu. Pertama kali penulis memijak kaki di Kuala Secapah, Mempawah pada 1969 M dan pernah menginap di rumah besar tersebut. Semalaman hingga Subuh memeriksa kitab-kitab yang sangat banyak. Setelah masuk tahun 2000 M, berkali-kali kitab itu diserahkan kepada penulis, maka barulah penulis dapat membuat penelitian yang lebih sempurna dan teliti.Ternyata kitab yang tersimpan dalam rumah besar tersebut sebahagian besarnya adalah milik dan karangan Ali bin Sulaiman, bukan Haji Muhammad Yasin Kedah. Masih sukar dipastikan hubungan antara Ali bin Sulaiman dengan Haji Muhammad Yasin Kedah.Di antara karya Ali bin Sulaiman yang dapat diperkenalkan di sini ialah:1. Ilmu Aqidah, diselesaikan hari Ahad, jam 10, bulan Jumadil Akhir 1298 H. Kandungan membicarakan akidah menurut Mazhab Ahlis Sunnah wal Jamaah. Dalam manuskrip ini juga disebut Salasilah Thariqat Naqsyabandiyah.2. Kumpulan Doa Mustajab, tanpa dinyatakan tarikh. Kandungan membicarakan berbagai-bagai doa mustajab atau hikmat yang terdiri daripada Doa Mustajab, Syarah Doa Nabi Allah Yusuf, Isim Empat Puluh, dan lain-lain. Salah satu amalan untuk ketahanan badan zahir dan batin diterimanya daripada Tuan Syeikh Khalifah Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. 3. Ilmu Perubatan, tanpa dinyatakan tarikh. Kandungan membicarakan berjenis-jenis wafaq dan perubatan. Ketiga-tiga manuskrip di atas diperoleh di Kampung Kuala Secapah, Mempawah, di rumah pemilik dan penulisnya.

lHaji Sulaiman bin Abdul Mannan di TerudukanNama lengkap Haji Sulaiman Intan bin Nakhoda Ahmad bin Adullah (Dato' Bendahara). Catatan pada satu halaman dalam Salasilah keluarga besar ini oleh Abdul Wahhab bin Haji Abdur Rahman. Dinyatakan bahawa Haji Sulaiman bin Abdul Mannan lahir pada malam Khamis, 12 Rabiulawal 1243 H. Pada 27 Syaaban 1266 H dinikahkan oleh Haji Abdul Qadir dengan anaknya bernama Hajah Maimunah di Mekah. Haji Sulaiman bin Abdul Mannan meninggal dunia pada hari Rabu, jam 2.00 tengah hari di Kampung Terudukan, di Mempawah . pada 12 Zulkaedah 1317 H. Walaupun penulis tinggal lama di Mempawah, nama Kampung Terudukan hanya penulis ketahui melalui riwayat ini. Kemungkinan nama kampung itu telah berubah sehingga tidak diketahui oleh generasi kini. Berdasarkan beberapa karyanya, dapat dipastikan bahawa Haji Sulaiman adalah seorang ulama. Di antara karyanya yang telah ditemui ialah Sullamush Shu'ud ila Hadhrati Zainil Wujud. Kitab tersebut diselesaikan pada malam Jumaat, 27 Jumadilakhir 1298 H. Ia dibesarkan terdapat pelbagai doa, di antaranya Doa Nur Muhammad, Selawat atas Nabi SAW. Pada halaman yang lain, terdapat pelajaran mengerjakan sembahyang tarawih.Sesudah memperkenalkan Istighfar Abdullah Syatari, terdapat catatan, "Tammat al-kalam kepada tiga likur hari bulan Jumadilakhir, hari Selasa, waktu jam dua siang serta tarikh kepada tahun Dal akhir sanah 1298". Sesudah itu dilanjutkan lagi dengan doa pelias, yang diteruskan dengan hijab-hijab. Terakhir sekali dibicarakan tatacara membaca Yasin. Dinyatakan mengenai ijazahnya, "Maka sekarang hamba Haji Sulaiman bin Abdul Mannan ijazahnya kepada Tuan Haji Muhammad Nur, dan Tuan Haji Muhammad Nur ijazahkan Ali bin Sulaiman di Kuala Mempawah. Hamba, Haji Sulaiman mengambil daripada guru yang mukarramm, iaitu Encik Sunang Banjari, dia mengambil daripada Pangeran Abdul Qadir, dia mengambil daripada bapanya, iaitu Pangeran Haji Musa, dia mengambil daripada Syeikh yang mukarram di Mekah al-Musyarrafah, iaitu Saiyiduna wa Syaikhuna Saiyid Muhammad Shalih Rais Mufti Syafi'ie…". Manuskrip diperoleh di Kampung Kuala Secapah, Mempawah, di rumah pemiliknya, Ali bin Sulaiman Mempawah.

lAbdur Rasyid bin Hasan al-Mampawi Ulama yang berasal dari Mempawah ini bernama Abdur Rasyid bin Hasan, penyusun risalah Ikhtisharul Mubtadi fi Ahkamit Tajwid, yang diselesaikan hari Selasa, 15 Zulkaedah 1353 H. Kandungan membicarakan ilmu tajwid. Cetakan yang pertama dicetak oleh Mathba'ah al-Masawi, 14 Ulu Palembang.

lMuhammad Bakran bin Haji Muhammad Yasin, Sungai Bundung, Kecamatan Sungai Kunyit, Kabupaten Pontianak, Kalimantan Barat.Penulis mempunyai kesan tersendiri terhadap Kampung Sungai Bundung. Pada 1974, pertama sekali penulis mendirikan pondok-pesantren Al-Fathaanah bersama Munzir Kitang murid Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein Kelantan (murid Tok Kenali juga merupakan mufti yang terakhir di kerajaan Mempawah). Seorang ulama yang berasal dari Kuching, Sarawak bernama Haji Muhammad Shalih kuburnya juga di Sungai Bundung, dan isterinya yang lain ialah ibu saudara kepada Ustaz Haji Abdur Rani Mahmud, seorang ulama Pontianak yang pernah sebagai Ketua Majlis Ulama Propinsi Kalimantan Barat. Tanpa penulis duga bahawa Muhammad Bakran bin Haji Muhammad Yasin, yang riwayat hidupnya belum jelas, pernah menghasilkan karya Tajwid, tanpa dinyatakan tarikh, di Sungai Bundung. Manuskrip diperoleh di Pontianak pada 29 Muharam 1423 H/12 April 2002 M di persekitaran Keraton Qadriyah (Istana Kesultanan Pontianak).

Sunday, March 30, 2008

Ulama-ulama Pontianak dan karya mereka - (Bahagian 3)

sumber: Utusan Malaysia Online - Bicara Agama
date: 31 Mac 2008 / 23 Rabiul Awal 1429

Ulama-ulama Pontianak dan karya mereka - (Bahagian 3)


HAJi Ismail Al-Kalantani (kiri) dan Saiyid Abdullah Az-Zawawi dua ulama luar yang berperanan besar dalam kerajaan Pontianak.


Dalam artikel yang lepas penulis telah memperkenalkan sembilan tokoh ulama yang berasal dari Pontianak, termasuk tiga tokoh dalam lingkungan Istana Kerajaan Pontianak.

Artikel kali ini masih membicarakan kesinambungan daripada ulama dan tokoh yang berasal dari Pontianak, serta pengkaryaan mereka. Namun di bahagian akhir artikel penulis memuatkan pengenalan ulama luar yang datang dan berperanan besar dalam kerajaan Pontianak seperti Saiyid Abdullah bin Muhammad Shalih az-Zawawi, Mufti Haji Ismail bin Abdul Majid al-Kalantani dan Sheikh Mahmud bin Sheikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani.

Ulama-ulama Pontianak yang diperkenalkan pada kali ini adalah seperti berikut:

Umar bin Ahmad bin Muhammad ‘Athar

Hanya ditemui sebuah karya oleh tokoh ini iaitu ialah Ilmu Azimat dan Wafaq, diselesaikan hari Ahad, 11 Safar 1334 H, di Kampung Melayu, Pontianak.

Kandungannya membicarakan ilmu azimat dan wafaq. Diperoleh dalam bentuk manuskrip asli tulisan tangan penyusunnya.

Muhammad Thaiyib bin Encik Ya’qub

Tokoh ini juga hanya ditemui sebuah karya iaitu Kitab Ditertibkan Mi’rat, diselesaikan 21 Rejab 1344 H.

Kandungannya membicarakan Nabi s.a.w serta mikrajnya. Ia merupakan terjemahan kitab Fatawal Masyhur. Pada halaman empat dicatatkan, “Maka bahawasanya ditertibkan terkarang olehnya tiga ulama.

“Pertama, Sheikh Muhammad Arsyad ahli fiqh, Sheikh Daud ahli usuluddin dan Sheikh Abdus Shamad ahli tasauf. Bahawa ketiganya meninggalkan dunia di dalam perang sabilillah di negeri Siam.”

Manuskrip judul tersebut diperoleh di Pontianak pada 8 Syawal 1422 H/22 Disember 2001 M. Pada halaman akhir tercatat, “Muhammad Thaiyib peranakan bangsa Bugis ibnu Encik Ya’qub di Pontianak, Kampung Bugis…”

Mufti Haji Ismail Bin Abdul Karim bin Utsman al-Funtiani

Sebuah salasilah yang diperoleh di Pontianak ada menyatakan bahawa Haji Utsman (Daeng Pegalak) datang ke Pontianak bersama seorang anaknya Nakhoda Tuzu dari Bugis. Anak Haji Utsman (Daeng Pegalak) ada 6 kesemuanya, anak yang ketiga bernama Haji Abdul Karim.

Haji Abdul Karim memperoleh empat anak lelaki. Anak sulungnya bernama Haji Ismail. Haji Ismail bin Haji Abdul Karim mendapat pendidikan akhir di Mekah dan setelah pulang dari Mekah dilantik menjadi Mufti di Kerajaan Kubu.

Dalam masa yang sama, di Pontianak ada tiga ulama besar yang bernama Ismail. Dua orang lagi ialah Haji Ismail bin Haji Abdul Lathif atau lebih dikenali dengan Haji IIsmail Jabal. Pangkatnya adalah sebagai Penasihat Rad Agama Kerajaan Pontianak.

Anaknya seorang lagi ialah Haji Ismail bin Abdul Majid Kelantan yang kemudian dilantik sebagai Mufti Kerajaan Pontianak. Ketiga-tiga ulama yang tersebut sama-sama mendapat pendidikan di Mekah. Di antara karya Haji Ismail bin Haji Abdul Karim ialah:

1. Kitab Mukhtashar ‘Aqaid, diselesaikan di Teluk Pak Kedai, hari Jumaat, pukul 5, 18 Rejab 1351 H. Kandungannya adalah pelajaran ilmu akidah untuk hafalan kanak-kanak. Dicetak oleh Annashar & Co, Pontianak.

2. Jadwal Hukmin Nikah atau Jadwal Nikah Soal-Jawab, diselesaikan hari Selasa, 1 Jamadilawal 1357 H di Mekah, Kampung Syubaikah.

Ia membicarakan hukum perkahwinan. Dicetak oleh Mathba'ah al-Islamiyah, Victoria Street, Singapura tanpa dinyatakan tahun cetak. Diberi kata Pendahuluan oleh Muhammad Ahmad az-Zawawi, kata Akuan oleh Mufti Kerajaan Johor, Alwi bin Thahir bin Abdullah al-Haddad al-Aawi dan kata Pujian oleh ketua Kadi Singapura, Abbas bin Muhammad Thaha, Pejabat Kadi Qudhah, Singapura 7 Rabiuts Tsani 1358 H.

Abdullah bin Haji Abdur Rahman al-Buqisi al-Funtiani

Karya yang telah ditemui ialah Tajwid, judul sebenar belum diketahui kerana tidak terdapat maklumat, diselesaikan hari Jumaat, 8 Muharam 1346 H.

Ia membicarakan ilmu tajwid untuk memperbetulkan bacaan al-Quran. Masih dalam bentuk manuskrip yang diperolehi di Pontianak pada 8 Syawal 1422 H/22 Disember 2001 M.

Abdur Rasyid bin Mahmud Pontianak

Karya yang telah ditemui ialah Ath-Thariqatul Haddadiyah, diselesaikan pada hari Selasa, 5 Zulkaedah 1353 H.

Kandungan membicarakan amalan wirid Ratib al-Haddad yang dilengkapi dengan sanad. Selainnya juga disebutkan beberapa amalan yang lain di antaranya tentang Khatamun Nubuwwah ketika akan keluar dari rumah.

Haji Abu Bakar bin Abdul Ghani al-Funtiani

Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Abdul Ghani al-Funtiani berasal dari Pontianak, Kalimantan Barat, mendapat pendidikan di Mekah. Pernah mengajar di Masjidil Haram, Pontianak, Singapura dan beberapa tempat dalam Kepulauan Riau. Di antaranya Pulau Midai dan Pulau Bunguran/Natuna.

Beliau meninggal dunia di Singapura tahun 1967 M. Pada hari beliau meninggal dunia secara kebetulan penulis berada di Singapura, dapat menyaksikan bahawa sangat ramai orang yang menziarahinya baik masih di rumah, mahu pun hingga menghantar ke kuburnya.

Antara karyanya yang telah ditemui ialah:

1. Tafrihul Murid wal Ikhwan fi tahshil Tajwidil Quran, diselesaikan 1 Jamadilakhir 1357 H/14 Januari 1956 M.

Kandungan membicarakan berbagai-bagai aspek Tajwid Quran termasuklah perbandingan beberapa qiraat. Cetakan yang pertama oleh All-Ahmadiyah Press, 101 Jalan Sulthan, Singapura.

2. Al-Muna fi Asbabil Ghina, diselesaikan hari Khamis, 21 Syawal 1359 H. Kandungan membicarakan berbagai-bagai amalan tilawah surah-surah tertentu dalam al-Quran, selawat, wirid, doa dan lain-lain sebagai ikhtiar mendapatkan kemudahan rezeki dan kekayaan. Dicetak yang pertama di Mathba’ah al-‘Umariah, 786, North Bird Road, Singapura, 1359 H.

3. Rajaul Mustarhim fit Takhtim wat taslim tak Tarhim. Judul dalam bahasa Melayu oleh penyusunnya ialah Harapan Orang-Orang Yang Menuntut Kelebihan Khatam al-Quran Dan Taslim Dan Tarhim. Diselesaikan malam Sabtu, pukul 12.20, tarikh 2 Zulhijjah 1379 H/28 Mei 1960 H.

Kandungan membicarakan cara-cara melakukan khatam al-Quran, tarhim yang dibaca menjelang Subuh, taslim yang dibaca bulan Ramadan ketika akan melakukan sembahyang tarawih. Cetakan yang pertama al-Ahmadiah Press, Singapura, 1379 H.

Yusuf Ibnu Muhammad al-Makkiyah

Ulama yang tersebut di atas hanya ditemui sebuah karya iaitu Bayanullah fi Bayani Ma’rifatil Bayan min Kulli Bayan. Diselesaikan di kampung Bugis, Pontianak, 16 Zulkaedah 1357 H.

Kandungan membicarakan tasauf hakikat yang ditulis dalam bahasa Arab, manakala pada bahagian tepi terdapat terjemahannya dalam bahasa Melayu. Masih dalam bentuk manuskrip salinan Shalih bin Abdullah bin Hasan al-Haddad, Kampung Bugis Pontianak.

Pada bahagian akhir, penyalin mencatatkan, “Adalah ini kitab Bayanullah, disalin sebagaimana naskhah yang kami dapat dari guru kami, dan dengan izin guru kami. Tetapi tiada dibenarkan dan tiada dihalalkan kepada seseorang menyalinnya istimewa yang tiada ahlinya daripada mengajinya. Dengan pertolongan Allah S.W.T selesailah saya menyalin ini kitab pada tanggal 16 Zulkaedah, malam Sabtu, pukul 10, pada tahun 1357 (Hijrah), tamat di Kampung Bugis,….(tandatangan tulisan Melayu/ Jawi, Pontianak)”.

Manuskrip judul tersebut diperolehi di Pontianak pada 6 Syawal 1422 H/20 Disember 2001 M di persekitaran Keraton Qadriyah (Istana Kesultanan Pontianak).

Ulama luar yang menghasilkan karya di Pontianak

Telah disebutkan bahawa di antara ulama besar Mekah yang datang ke Pontianak dan sekali gus dilantik sebagai Mufti Pontianak ialah Saiyid Abdullah bin Muhammad Shalih az-Zawawi.

Karyanya sewaktu berada di Pontianak, yang judulnya diberi oleh Mufti Haji Iismail bin Abdul Majid a-lKalantani ialah Fatwa Daripada as-Saiyid Abdullah ibnu al-Marhum as-Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi Jawab Soal Dari Tanah Jawa. Kandungannya adalah mengenai ayat-ayat al-Quran dalam piring hitam. Diberi gantungan makna dalam bahasa Melayu daripada karya asalnya yang ditulis dalam bahasa arab, pada bulan Rejab 1326 H. Diberi gantungan makna Melayu oleh Mufti Haji IIsmail bin 'Abdul Majid al-Kalantani, diselesaikan pada 25 Syawal 1330 H. Dicetak dengan kehendak as-Saiyid Ja’far bin Pangeran Syarif Abdur Rahman al-Qadri Pontianak.

Dicetak di Mathba’ah Haji Muhammad Said bin al-Marhum Haji Arsyad, No. 82 Arab Street Singapura, pada 25 Syawal 1330 H oleh Muhammad bin Haji Muhammad Said, Basrah Street, No. 49 Singapura.

Haji Ismail bin Abdul Majid al-Kalantani sewaktu di Mekah adalah termasuk salah seorang murid Saiyid Abdullah bin Muhammad Shalih az-Zawawi yang kemudian dilantik menjadi Mufti Kerajaan Pontianak.

Selain memberi gantungan makna karya gurunya itu, sewaktu di Pontianak Haji Ismail Kelantan juga menulis beberapa karya di antaranya adalah Risalah Pada Bicara Jumaat dan sembahyang Zuhur Mu’adah, tanpa dinyatakan tarikh. Tarikh salinan 2 Rabiulawal 1345 H.

Kandungannya bahasan mengenai sembahyang Jumaat dan sembahyang zuhur atau mu’adah. Manuskrip di atas adalah merupakan salinan muridnya, seorang Kathib Peniti Kecil. Manuskrip diperolehi di Pontianak pada 8 Syawal 1422 H/22 Disember 2001 M.

Oleh kerana manuskrip ini adalah karya ulama yang berasal dari Kelantan dan pernah menjadi Mufti Kerajaan Pontianak, maka manuskrip ini adalah dinilai sangat penting.

Selain Saiyid Abdullah az-Zawawi, salah seorang anak Sheikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani juga pernah tinggal di Pontianak. Sheikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani ialah seorang ulama besar Mekah yang sangat terkenal. Beliau inilah yang mensyarah kitab Tuhfatul Muhtaj karangan Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami.

Ulama tersebut sangat terkenal di kalangan Mazhab Syafie di seluruh dunia Islam. Anak beliau ialah Sheikh Mahmud bin Sheikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani, diambil oleh Sultan Sambas dan Sultan Pontianak untuk berkhidmat di kedua-dua kerajaan itu.

Selanjutnya dijumpai lembaran-lembaran surat mengenai tersebut. Di antaranya dari Sheikh Mahmud bin Sheikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani kepada Saiyidi asy-Syarif Qasim ibnu al-Marhum Saiyidi asy-Syarif Hasan bertarikh 23 Jamadilakhir 1310 H.

Kandungan ringkas merupakan laporan pelbagai peristiwa di Pontianak dan Sambas. Dimulai laporan dengan pelbagai peristiwa kesempitan dan kesusahan yang dialami oleh penulis surat. Walau bagaimanapun, beliau selalu mendapat pertolongan.

Dilanjutkan dengan peristiwa di Sambas, bahawa dari Mekah datang seorang Arab bernama Sheikh Muhammad ‘Amudi. Beliau ialah seorang tukang gambus yang terkenal. Terjadi peristiwa beliau tidak dibenarkan tinggal di Sambas, namun penulis surat telah memberi pertolongan menemui Pangeran Bendahara Sambas, akhirnya dia dibenarkan tinggal di Sambas dan dibenarkan pula membuat siri-siri pertunjukan kesenian itu.

Dinyatakan juga bahawa penulis surat ingin meninggalkan Sambas untuk pindah mengajar di kampung Melayu Pontianak. Dilaporkan juga bahawa Sultan Sambas akan menemui Residen di Pontianak kerana akan memindahkan pusat pemerintahan ke arah sungai besar agak ke Kuala Sungai Sambas.

Sultan Sambas bermaksud negeri Sambas menjadi ramai, bahawa dua Sultan Sambas telah membawa dari Eropah fabrik tupu, fabrik kisaran padi dan lain-lain. Di dalam surat ini terdapat kalimat, ditegaskan, “Seboleh-boleh mahu tetap di Pontianak sahaja, biarlah mati di Pontianak di antara cucu Rasulullah jangan mati di Sambas di antara orang Dayak”.

Dalam sepucuk surat tarikh 30 Zulhijjah 1324 H, dilaporkan bahawa salah satu upacara perkahwinan di istana Sultan Pontianak di Balai Cermin yang dihadiri oleh beberapa orang pembesar yang terdiri daripada: Saiyidi Mufti, sekalian Pangeran Bendahara, Saiyidi Ismail, Pangeran Temenggung, Pangeran Jaya, Pangeran Suma, Pangeran Cakra, Pangeran Jaya, jemputan-jemputan kenamaan dan rakyat jelata.

Perkahwinan yang dilakukan adalah salah seorang kerabat Diraja dengan Fatimah, iaitu anak seorang ulama besar bernama Sheikh Mahmud Daghistani. Dalam surat diceritakan adat istiadat baik sebelum mahu pun sesudah perkahwinan secara sempurna dan terperinci.