Showing posts with label Pena Mufti. Show all posts
Showing posts with label Pena Mufti. Show all posts

Sunday, April 6, 2008

Jika kita tidak dihina orang, jangan menghina diri sendiri

Source: Utusan Online, Bicara Agama, Pena Mufti

Date: 7 April 2008 / 30 Rabiul Awal 1429

Jika kita tidak dihina orang, jangan menghina diri sendiri

FILEM Fitna, sebuah filem ringkas ahli Parlimen Belanda Geert Wilders itu telah menimbulkan kemarahan umat Islam. Ternyata benar pembikin filem berkenaan menyimpan kebencian yang amat tinggi terhadap Islam dan umatnya. Di Malaysia agak menarik, mereka yang sebelum ini tidak pernah sensitif dalam isu-isu yang seperti itu, tiba-tiba muncul mengangkat sepanduk bantahan. Mungkin semangat baru muncul untuk membela Islam. Atau, sebagai salah satu ubat yang cuba ditelan bagi memulihkan diri akibat hentakan demam pilihan raya yang ramai belum dapat ‘kebah’. Apa pun sebabnya, saya amat bersetuju dengan bantahan tersebut dan juga kempen memboikot barangan Belanda.

Namun, seperti biasa saya ingin mengajak kita melihat isu ini dari sudut-sudut yang lain. Kita perlu jelas, bahawa apa yang kita bantah bukanlah hak untuk individu atau syarikat menerbitkan sesebuah filem. Kita percaya kepada hak dan kebebasan individu, atau syarikat atau negara dalam batasan yang wajar. Sebenarnya, yang kita marah adalah pembohongan, pengkhianatan dan penyelewengan fakta. Itu yang dibantah. Sama seperti seseorang yang menggunakan haknya untuk mendengar radio, namun dia menguatkan suara sehingga mengganggu jiran tetangga. Maka anak kecil yang sedang tidur menangis, ibunya terjaga, yang sedang membaca terganggu dan sedang berehat sesak pendengaran. Lalu mereka membantahnya. Dengan gaya selamba lagi ‘bodoh’ dia menyebut; “ini hak saya untuk mendengar, lagipun ini radio saya sendiri.” Lalu mereka menyatakan kepadanya: “kami tidak membantah hak awak untuk mendengar radio awak, tetapi kami membantah kerana awak mengganggu kehidupan kami.” Ya! Kita tidak membantah mereka ingin berkarya dalam pembikinan filem atau seni, tetapi kita membantah fitnah dan pembohongan yang mampu mengganggu ketenteraman hidup dan keamanan kita. Itu namanya penyalahgunaan hak yang disebut oleh para sarjana fikah sebagai al-Ta‘assuf fi Isti‘mal al-Haq. Adalah bodoh jika media Barat ingin mempertahankan hak Geert Wilders untuk berkarya kerana kita tidak mempertikaikan haknya untuk berkarya, tetapi kita mempertikaikan penyalahgunaan hak.

Sebenarnya juga, kempen memburukkan wajah Islam dengan melabelkannya sebagai pengganas dan kejam bukan bermula dari filem Fitna. Media-media Barat seperti CNN telah lama melancarkan serangan pemikiran ke atas masyarakat dunia amnya dan masyarakat Barat khususnya demi merosakkan gambaran Islam. Filem ini hanyalah kesinambungan dari usaha-usaha tersebut dengan cara menyunting kejadian-kejadian ganas yang dikaitkan dengan orang Islam serta memetik ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan jihad. Petikan ayat-ayat tersebut tanpa memahami latar teks dan isu sebenar yang dijelaskan oleh al-Quran membuatkan mereka yang jahil hakikat Islam berasa adanya hubungkait antara keganasan dan al-Quran. Saya telah menjawab isu jihad ini dalam salah satu rencana saya yang lepas “Wahai Dunia! Islam Bukan Agama Pengganas”.

Namun apa yang menjadi masalah yang terbesar adalah tindakan sesetengah umat Islam yang tidak mengikut disiplin Islam seakan membuka ruang untuk tohmahan-tohmahan seperti ini menjadi subur dalam pemikiran masyarakat dunia yang tidak faham. Pada hari ini, media-media utama dunia tidak kita kuasai. Media adalah senjata peperangan yang paling ampuh di kurun ini. Ia mampu membentuk pemikiran dan tindakan manusia. Sesiapa yang senjata ini tidak dimiliki olehnya maka dia bila-bila masa boleh menjadi mangsa. Apabila Yahudi antarabangsa membuat keputusan mencomotkan wajah Islam menerusi media, sementara di kalangan umat Islam pula melakukan tindakan-tindakan yang membuka ruang untuk rancangan jahat itu berjalan, maka wajah Islam benar-benar dipalit dengan keburukan. Ramai umat Islam yang bertindak seakan sedang hidup pada zaman kekhalifahan Islam yang cemerlang yang dapat membela dan melindungi umat. Mereka lupa kita kini seakan sedang hidup di zaman awal Islam di Mekah yang amat ditindas dan segala tindakan kita perlu diambil secara berhati-hati dan mengira untung rugi dengan teliti.

Kehairanan

Saya kadangkala kehairanan melihat sesetengah ahli politik tertentu di Malaysia yang selalu dimangsakan oleh media. Setiap kali membuat kenyataan, dia terkena. Pun begitu dia masih mengulangi kesalahan yang serupa. Sama ada dia ahli politik yang bodoh, atau media lebih cerdik. Jika awak tahu awak selalu dimangsakan, janganlah bergaya di depan media macam ‘bapa awak’ yang punya. Pilihlah perkataan yang tepat, atau diam. Demikianlah juga, kita faham perasaan mereka yang dibom kampung halaman dan negara, dirogol dan dibunuh anak isteri, ibu dan bapa seperti yang dilakukan oleh Amerika, Israel dan kuncu-kuncu mereka terhadap umat Islam di negara-negara yang dicerobohi. Kebencian dan dendam yang meluap-luap. Kemarahan yang tidak bertebing lagi. Namun menyembelih musuh untuk disiarkan kepada dunia tidak memberi manfaat kepada umat Islam. Di samping tidak bertepatan dengan arahan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 190: (maksudnya): Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas. Media antarabangsa akan menyelewengkan isu tersebut. Masyarakat Barat yang barangkali tidak dapat memahami latar keadaan atau suasana yang mengheret kepada tindakan sedemikian ganas akan mengaitkan kejadian-kejadian seperti itu dengan Islam. Mereka akan terlupa apa yang dilakukan oleh tentera yang menceroboh, merogol, mencedera dan membunuh kaum keluarga pihak yang bertindak ganas dan itulah yang mengheret tindak balas yang sama. Akhirnya, mereka mentohmah Islam.

Kita semua kena sedar, zaman ini bukan zaman kegemilangan Islam. Jenama Islam dianggap rendah. Barat dengan segala kemajuan kebendaan lebih berjaya mengangkat jenamanya di persada dunia. Saya selalu buat contoh dari perkara yang kecil seperti syampu pencuci rambut. Jika kita membawa dua jenama, satunya dihasilkan oleh sekumpulan pakar dari Asia dengan segala kelebihannya, sementara yang satu lagi hanya disebut “formula dari sebuah negara Barat tententu” tanpa diterangkan kelebihannya, ramai dalam dunia ini akan menganggap yang dari Barat itu lebih baik. Hanya yang teliti akan cuba menyemak dan menilai kedua bahan tersebut.

Apabila Islam dituduh sebagai pengganas, mundur, tidak berdisiplin, jumud, tidak toleran dan seumpamanya oleh Barat, ramai yang percaya. Sebab, bukan ramai manusia dalam dunia ini yang ingin menyelidik sendiri hakikat sesuatu perkara. Kebanyakannya bergantung kepada cakap orang. Dalam zaman ini, kepada media. Ditambah pula contoh teladan yang buruk yang ditunjukkan oleh umat Islam. Membaca laporan media tentang pergolakan di negara-negara umat Islam seperti Pakistan, Bangladesh, Somalia dan beberapa negara yang lain mematah semangat sesiapa yang ingin mendampingi agama ini. Melihat kemiskinan di dunia Islam menjauhkan manusia daripada Islam. Di manakah hendak diceritakan keindahan Islam dan kerahmatannya, jika dibanding kemiskinan, kekotoran, sampah sarap, kelam-kabut pengurusan dan segala unsur negatif yang terserlah di bandar-bandar Kaherah, Karachi, Islamabad, Jakarta dan selainnya dibandingkan bandar-bandar utama di Barat? Di manakah hendak diceritakan kemurnian akhlak Islam dibandingkan rasuah yang bermaharajalela, penyalahgunaan kuasa, kuku besi, tidak bertanggungjawab terhadap rakyat yang berlaku dalam politik dunia Islam, dibandingkan dengan ahli-ahli politik Barat yang lebih mampu mempamerkan identiti yang lebih baik untuk rakyat mereka? Di mana hendak diceritakan kehebatan sistem ekonomi Islam jika dunia Islam seperti Mesir yang mempunyai al-Azhar pun meminta belas ihsan bantuan kewangan dari Barat dan rakyatnya ramai merempat dan melarat? Sementara kebanyakan negara umat Islam kelam-kabut pengurusan ekonomi mereka. Bahkan menagih nasihat Barat dalam memulihkan kekuatan ekonomi sendiri. Di manakah hendak diceritakan persaudaraan Islam, jika setiap kali bencana seperti tsunami yang menimpa dunia Islam, bantuan Barat terlebih dahulu sampai sebelum bantuan negara-negara umat Islam? Banyak dan banyak jika hendak diungkit. Maka jangan hairan, jika manusia keliru dan mentohmah Islam. Islam yang indah dicemarkan oleh penganutnya sendiri. Seperti seorang ayah yang teramat mulia dan baik, tetapi mempunyai anak-anak yang buruk kelakuannya, lalu ayahnya ditohmah. Di manakah kita dari firman Allah yang menyebut: (maksudnya): Dan demikianlah (seperti mana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (Wahai umat Muhammad) satu umat wasata (pilihan lagi adil), supaya kamu layak menjadi saksi kepada umat manusia (tentang benar dan salah) dan Rasul itu (Muhammad) pula akan menjadi saksi ke atas kamu. (Surah al-Baqarah: 143).

Cahaya Islam

Dalam negara kita sendiri, lihatlah umat Islam dari sudut politik, pendidikan, ekonomi, sosial dan pelbagai lagi. Kes-kes penyalahgunaan kuasa politik dan rasuah yang dikaitkan dengan pemimpin yang beragama Islam lebih banyak dari yang beragama lain. Politik Melayu Muslim lebih banyak memikirkan kepentingan diri, sedang ‘orang lain’ mencongaknya untuk kepentingan kaumnya. Kemajuan pendidikan anak-anak bukan muslim lebih diberi perhatian oleh ibu bapa dibandingkan anak ‘orang kita’. Dari sudut ekonomi, kita jauh ketinggalan dibandingkan ‘orang lain’. Kes-kes jenayah, dadah dan keruntuhan moral yang membabitkan mereka yang mengakui muslim, jauh ‘memenangi persaingan’ dibandingkan bangsa lain yang tidak menganut Islam. Ternyata, kita benar-benar menghalang cahaya Islam ini dari sampai ke penglihatan ‘orang lain’. Sampah sarap dan bau busuk yang kita longgok di hadapan manusia, telah benar-benar menghalang cahaya Islam yang kudus untuk sampai kepada mereka.

Saya teringat tulisan Muhammad al-Ghazali, seorang tokoh pemikir Mesir yang menyebut: “Aku seakan terbayang bagaimana orang Australia dan Amerika apabila berdiri di hadapan Allah pada hari kiamat, lalu Allah bertanya mereka: “Mengapakah kamu tidak mengenali-Ku dengan cara yang betul dan beramal dengan amalan yang soleh dan bersiap menghadapi hari pertemuan ini?" Mereka akan menjawab: “Sesungguhnya Arab yang mewarisi agama-Mu telah menghalang cahaya agamanya, atau memadamkan lampu-lampunya, mereka biarkan kami dan diri mereka dalam kegelapan.” ( Muhammad al-Ghazali, Turathuna al-Fikri, m.s 32, Amerika: Al-Ma‘had al-‘Alami li al-Fikri al-Islami).

Dalam keadaan yang seperti ini, maka janganlah hairan jika kita sering dituduh. Kita bukan sahaja telah meninggalkan Islam yang diamanahkan kepada kita, tetapi juga telah mencemarkannya, maka orang lain pun tidak hairan lagi untuk menghinanya. Selagi kita tidak membetulkan keadaan umat terlebih dahulu, selagi itulah penghinaan seperti ini berterusan. Sabda Rasulullah s.a.w.: Akan tiba masanya umat-umat lain akan mengajak satu sama lain untuk membinasakan kamu (umat islam) sebagaimana orang mempelawa satu sama lain kepada dulang makanan yang besar (menjamah hidangan makanan). Seorang sahabat bertanya, “apakah disebabkan bilangan kami sedikit pada masa itu ya Rasulullah?” Baginda menjawab, bahkan bilangan kamu di waktu itu adalah ramai tetapi kamu adalah ghutha‘ (sampah sarap dan buih) di atas air ketika banjir. Allah akan cabut ketakutan dari dada musuh kamu dan dia akan campakkan dalam hati kamu penyakit al-wahn. Seorang sahabat bertanya “Ya Rasulullah apakah dia al-wahn itu?” Jawab Rasulullah, cinta dunia dan takut mati (riwayat Abu Daud. Al-Albani menilainya sebagai sahih).

Saya menyokong usaha memboikot barangan Belanda sebagai mesej kepada masyarakat dunia bahawa umat ini membantah untuk dikaitkan al-Quran dengan keganasan. Namun kita semua mempunyai tugas yang jauh lebih berat iaitu memulihkan semula maruah dan harga diri umat ini. Seperti kata-kata al-Nadwi yang pernah saya petik: “Hendaklah orang Arab ketahui bahawa mereka tidak memasuki (pentas) sejarah kecuali dengan jalan risalah Islam dan dakwah Islamiah. Allah tidak menumbuhkan kecintaan (orang lain) kepada mereka dalam jiwa dan hati, tidak tersebar bahasa mereka dengan sebegini luas, ia tidak kekal dan abadi, tidak ditulis dengannya ilmu yang banyak, tidak terbentuk dengannya perpustakaan yang begitu besar yang mana ulama bukan Arab mendapat habuannya lebih dari orang Arab sendiri, kecuali dengan sebab kelebihan al-Quran dan syariat Islam. Orang Arab tidak akan kembali kepada kedudukan mereka yang awal dan tidak akan memasuki (pentas) sejarah sekali lagi melainkan melalui pintu yang mereka masuk pada awalnya”. (Al-Nadwi, Kaif Dakhal al-‘Arab al-Tarikh, m.s 26, Lacknow: Al-Majma’ al-Islami al-‘Ilmi).

Kembalilah membina maruah dan identiti Islam seperti yang diajar dalam al-Quran dan al-Sunah. Kita sepatutnya menjadi contoh mulia untuk semua umat di dunia, bukan ditindas dan dipandang rendah. Justeru, jika tidak mahu dihina orang lain, kita jangan menghina diri sendiri.

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin

ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

E-mel: moasriza@yahoo.com

Layari http://drmaza.com/

Monday, March 24, 2008

Utusan Malaysia Online - Bicara Agama

Source: Utusan Malaysia Online - Bicara Agama:
Date: 24 March 2008/ 16 Rabiul Awal 1429

Pengampu, penasihat yang membawa reba dan rebah

SAYA pernah menyebut dalam satu tulisan yang lepas tentang nasihat Syaiban al-Ra‘i kepada Harun al-Rasyid: “Wahai Amir al-Mukminin, andainya engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa takut sehingga engkau berasa aman lebih baik dari engkau bersahabat dengan orang yang menjadi engkau rasa aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan.

” Tanya Harun al-Rasyid: “Jelaskan maksudnya untukku.” Jawab Syaiban: “Sesiapa yang berkata kepada engkau: “Engkau bertanggungjawab terhadap rakyatmu, takutlah Allah” lebih baik dari orang yang berkata “Kamu daripada kaum keluarga Nabi diampunkan dosa kamu, kamulah kerabat Nabi!” Maka menangislah Harun al-Rasyid sehingga mereka yang berada di sekelilingnya bersimpati kepadanya. Kata Syaiban lagi: “Wahai Amirul Mukminin, apabila saya bercakap, saya bimbangkan tindakan kamu terhadap saya. Jika saya diam, saya bimbangkan bahaya menimpa kamu. Maka saya utamakan kebimbangan bahaya menimpa kamu lebih daripada kebimbangan tindakan kamu ke atas saya.” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/198, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Para penasihat yang jujur yang memberitahu hakikat yang sebenar, – sekalipun boleh menimbulkan keresahan – adalah lebih baik untuk seseorang pemimpin daripada pengampu yang membohonginya sehingga dia buta dengan keadaan negara dan rakyatnya. Penasihat yang jujur akan memberitahu hakikat yang sebenar tentang suasana negara, rakyat dan tanggungjawab itu semua di hadapan Allah sekalipun mungkin akan menimbulkan ketakutan kepada seorang pemimpin. Dengan ketakutan itu, pemimpin membaiki diri dan keadaan, maka ketakutan akan bertukar menjadi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Adapun pengampu, demi kepentingan diri, kedudukan dan harta yang diharapkan dari pemimpin, maka mereka akan mendendang lagu-lagu asyik agar pemimpin nyenyak tidur dibuai mimpi indah sehingga akhirnya ketakutan pun menjelang tiba. Hanya cerita-cerita indah sahaja yang disampaikan ke telinga pemimpin, lalu pemimpin pun gembira dan buta hakikat sebenar rakyatnya..

Saya teringatkan kisah dongeng raja telanjang yang menjadi bahan bacaan kanak-kanak. Kononnya, ada seorang raja yang gilakan pakaian yang cantik-cantik. Lalu muncul beberapa orang penipu yang kononnya boleh menghasilkan pakaian yang paling cantik untuknya. Raja pun bersetuju. Mereka meminta beberapa hari untuk menenunnya di sebuah bilik di istana. Saban malam raja tersebut melawat hasil kerja yang sedang ditenun mereka. Namun, beliau tidak melihat sebarang benang atau kain yang terhasil, sebaliknya hanya tenunan kosong semata. Apabila raja bertanya, mereka menjawap: “Jika tuanku tidak nampak, menunjukkan tuanku mempunyai penyakit yang berbahaya dan boleh membawa maut.” Dalam ketakutan raja menjawab: “Ya, saya nampak, alangkah cantiknya.” Demikianlah juga menteri- menteri dan para pengiring raja juga mengaku perkara yang sama, kerana ingin mengampu raja. Sehingga pada hari yang dijanjikan, raja pun memakai pakaian yang tidak wujud itu dan disarungkan secara tipu oleh penenun-penenun karut tersebut. Semua pengampu raja memuji keindahan pakaian yang tidak wujud itu, padahal raja sedang bertelanjang. Apabila raja keluar menemui rakyat, maka semua mata terbeliak dan mulut ternganga. Raja menyangka mereka kagum dengan pakaiannya yang indah. Tiba-tiba beberapa budak kecil menjerit: “Hei! Lihat! Raja kita sedang bertelanjang.” Maka semua rakyat ketawa. Barulah raja tahu bahawa dia telah ditipu oleh ‘tauke-tauke’ tenun dan para pengampu yang berada di kelilingnya. Namun masa telah terlambat, dia telah dimalukan di hadapan rakyat.

Walaupun cerita ini dongeng, namun janganlah ia menjadi realiti dalam dunia politik kita hari ini. Seorang pemimpin amatlah malang jika dia ditipu oleh para pengampu sehingga akhirnya dia ditertawakan oleh rakyatnya dek kesilapan yang dilakukannya. Atau dia dibenci oleh rakyatnya, kerana dia ditipu oleh para pengampu konon rakyat sentiasa puas hati dan sukakannya. Sebab itulah, dosa para pengampu amatlah besar. Dengan nasihat yang buruk, jatuhnya kerajaan-kerajaan lampau dan akan datang. Tuan penasihat ‘dua puluh lima persen’ seperti dalam filem “Tiga Abdul” boleh menyebabkan orang yang dinasihati itu dijual secara lelong. Wahai pemimpin! Berhati-hati dengan para penasihat kalian!”

Saya tertarik dengan perkataan Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi apabila Khalifah ‘Abd al-Malik bin Marwan meminta dia mensifatkan fitnah. Perkataan ‘fitnah’ seperti yang telah saya sebutkan bermaksud ketidak tenteraram, kekacauan atau hilang keamanan dan kedamaian. Kata al-Hajjaj: “Fitnah itu merebah dengan bisikan, ianya lahir dari aduan” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201). Maka bisikan dan aduan rakyat bawahan janganlah dipandang ringan. Jangan pemimpin hanya akan mendengar aduan golongan korporat dan berpangkat semata. Tangisan rakyat dan tidak puas hati mereka selalu tidak sampai ke telinga seorang pemimpin jika dia hanya dikelilingi oleh manusia-manusia pengampu dan mencari kemewahan semata. Jika seseorang ingin menjadikan jawatan kepimpinan sebagai tempat ‘makan angin’ dan santai maka dia seorang yang sangat fasik dan jahat. Pemecah amanah lagi khianat. Sabda Nabi s.a.w.: Tiada seorang pemimpin yang memimpin sepuluh orang (dan ke atas) melainkan dibawa datang pada hari kiamat dalam keadaan diikat. Tidak akan melepaskannya melainkan keadilan, atau dia akan dibinasakan oleh kezaliman (riwayat Ahmad, Abu Ya‘la dan al- Baihaqi, dinilai sahih oleh al-Albani). Kepimpinan adalah tanggungjawab dan khidmat. Kecuaian menunaikannya adalah kezaliman. Aduan rakyat dan bisikan mereka jika tidak ditangani boleh menjadi api membakar perasaan kebencian yang meluap-luap. Jika itu diterjemahkan dalam tindakan, maka kestabilan negara akan merasai padahnya.

Memperbodohkan

Media juga janganlah memperbodohkan rakyat dan menipu para pemimpin. Jangan hanya disiarkan berita mengampu semata, sebaliknya siarkan kisah duka dan derita rakyat. Kerana, jika tiada saluran untuk mereka meluahkan rasa, maka ianya akan menjelma dalam bisikan senyap dan aduan pada bukan tempatnya. Maka api fitnah akan merebak, lalu membakar keamanan masyarakat dan negara. Jika sesuatu isu tidak adil untuk rakyat, janganlah media membuat pembohongan dengan menyiarkan temu bual insan-insan yang terpinggir dari realiti sebenar. Lalu pemimpin atasan tertipu, rakyat rasa diperbodohkan. Lantas mereka menyimpan perasaan dendam. Lalu hilang kasih sayang antara rakyat dan pemimpin akibat perbuatan para pengampu.

Wahai pemimpin, bukalah ruang seluas- luasnya untuk setiap orang mendapatkan haknya. Mudahkanlah jalan untuk sampai kepada kebenaran tanpa gangguan dan tekanan. Jangan pula hanya yang berharta boleh menuntut hak mereka, sementara yang miskin dan susah terpaksa merintih untuk mendapatkannya. Kata Khalifah ‘Ali bin Abi Talib: “Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ianya dibeli. Mereka membentangkan kezaliman sehingga ianya ditebus.” (Ibn Muflih, Al- Adab al-Syar‘iyyah, 1/201)

Pemerintahan yang adil adalah pemerintahan yang kerahmatannya dirasai oleh setiap lapisan rakyat. Seperti kata Muhammad bin Ka‘ab al-Qurtubi apabila diminta menyifatkan keadilan pemerintah, katanya: “Jadilah engkau bapa kepada yang muda, anak kepada yang tua, saudara kepada yang sebaya. Hukumlah manusia dengan kadar kesalahan dan kemampuan mereka. Jangan engkau pukul disebabkan kemarahanmu walaupun satu pukulan, nanti engkau termasuk dalam golongan yang melampau.” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202).

Jangan pula pemimpin hanya jadi godfather kepada tauke-tauke besar yang menjadi pengampu dan tidak mengambil pusing tangisan insan-insan bawahan. Apabila anda memimpin sebuah negara, maka seluruh rakyatnya adalah di bawah tanggungjawab anda. Jika tidak jangan mengidam jawatan kepimpinan. Wujudkan saluran yang ikhlas agar suara orang bawahan sampai ke pendengaran anda. Hapuskan para pembodek yang membohongi anda sehingga garam dikatakan gula, pasir dikatakan beras, tangisan rakyat diberitakan sebagai senyuman.

Saya sentuh tajuk ini kerana saya melihat yang cuba mencari sebab kenapa rakyat menolak mereka. Sesungguhnya sebab itu tidak dapat diperoleh, jika pemberi maklumat atau penganalisis itu masih lagi membodek dan mengampu. Carilah insan-insan jujur yang takutkan Allah dan selalu bercakap benar. Di situ akan terubatlah banyak luka dan cedera yang dialami.

Pemimpin apabila membiarkan rakyat yang baik dalam kesusahan, sementara golongan yang tamak lagi mengampu ‘penuh kantung’ dan kekenyangan lagi mewah, maka negara akan rosak. Penentangan terhadap pemimpin akan berlaku dari rakyat bawahan yang tertindas dan golongan tamak yang mula ‘besar kepala’. Dengarlah apa nasihat Khalifah Mu‘awiyah kepada ‘Amr bin al-As yang sedang berangkat menuju ke Mesir untuk menjadi pemimpin di sana. Kata Mu‘awiyah: “Lihatlah kepada keperluan rakyat dan berusahalah untuk menunaikannya. Lihatlah kepada kemelampauan puak yang hina dan berusahalah menghapuskannya. Takutlah kepada orang baik yang lapar dan orang jahat yang kenyang. Sesungguh yang akan memberontak ialah orang baik apabila dia lapar dan orang jahat apabila dia kenyang.” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202).

Lebih buruk lagi para pengampu ini apabila melihat seseorang pemimpin akan jatuh atau rebah, mereka akan lari mencari dahan baru untuk berpaut. Maka, pemimpin yang diampu akan menjadi raja telanjang berseorangan, sementara yang mengampu akan menyembunyikan diri di belakang atau melarikan diri dan meletak jawatan. Maka berhati-hati wahai pemimpin dengan para pengampu anda. Seakan perangai syaitan seperti yang disebut dalam al-Quran: (maksudnya) (Sikap kaum munafik) itu samalah seperti syaitan ketika dia berkata kepada manusia: “kufurlah kamu!” setelah orang itu kufur, berkatalah syaitan kepadanya: “Sesungguhnya aku berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang Menguasai seluruh alam!” (surah al-Hasyr: 16). Dalam ayat lain Allah berfirman: (maksudnya) Dan (ingatlah) ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: “Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia Yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung kamu.” Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan), syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: “Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan Allah sangat berat azab seksa-Nya.” (surah al-Anfal: 48). Ya Allah! Daku telah menyampaikan!

- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.