Wednesday, April 9, 2008

Usaha lahirkan ilmuwan Islam

Oleh QAMARUL MUNIRAH SAID


SEMINAR Antarabangsa Tentang Pengajian Tinggi di Dunia Muslim: Cabaran dan Prospek yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini, cuba mengupas pelbagai isu pendidikan negara Islam masa kini.

Ayat yang pertama yang diturunkan Allah buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW ini menyuruh manusia melihat betapa pentingnya membaca dan menuntut ilmu. Bagi membimbing manusia ke arah pencarian ilmu yang benar, al-Quran telah diturunkan dan ia merupakan wadah lautan ilmu yang tidak pernah kering untuk dikaji serta mengungkapkan keagungan Ilahi.

Rasulullah SAW sendiri amat memandang tinggi budaya membaca dan menuntut ilmu itu sehinggakan Baginda menamakan majlis-majlis ilmu itu sebagai ‘taman-taman kemuliaan’ yang dirindui oleh setiap mukmin. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Apabila kamu melalui taman-taman syurga, minumlah sehingga puas. Para sahabat bertanya, ya Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan taman-taman syurga itu? Nabi menjawab: “Majlis-majlis ilmu.” (riwayat at-Tabrani)

Penekanan Islam kepada umatnya untuk mendalami ilmu telah menjadi dorongan kepada ahli-ahli akademik Muslim untuk sentiasa mendalami tahap intelektual mereka dan seterusnya berjaya melahirkan para ilmuwan yang menjadi sanjungan dunia.

Penerapan budaya ini pada zaman kegemilangan dan ketamadunan Islam telah melahirkan ilmuwan-ilmuwan Islam terkenal seperti Al-Khawarizmi, Ibnu Sina, al-Farabi dan al-Razi yang menjadi penyambung kepada keunggulan dan keagungan tamadun Islam, sebelum ia dirampas oleh Barat.

Namun kini, kegemilangan dan keunggulan Islam itu semakin jauh terkebelakang ditinggalkan oleh Barat. Bukan sahaja dalam bidang teknologi dan ekonomi malah dalam bidang pendidikan juga mereka jauh meninggalkan negara-negara Islam.

Fenomena yang berlaku ini menyebabkan kita bukan sahaja ketinggalan malah memperlihatkan bahawa negara-negara Islam ini seolah-olah mundur dalam bidang pendidikan ini. Lahirnya pelbagai universiti Islam di dunia masih lagi belum dapat menandingi keunggulan negara bukan Islam dalam melahirkan siswazah yang memiliki kepakaran seiring dengan kelulusan yang dimiliki.

Tiada gunanya jika membina berpuluh-puluh pusat pengajian tinggi namun ‘hasilnya’ masih belum dapat menyaingi Barat. Kualiti lebih penting daripada kuantiti. Dalam skop ini penerapan ilmu di kalangan pelajarnya amat penting bagi merealisasikan hasrat sebuah negara Islam yang dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi atau lebih dari negara bukan Islam.

Tidak dinafikan bahawa pelbagai usaha telah dilakukan bagi memperbaiki taraf pendidikan di dunia Islam supaya ia mencapai kedudukan lebih baik dari sekarang. Dalam senarai terkini Times World University Ranking, universiti di negara Islam menduduki tangga paling bawah berbanding negara-negara bukan Islam.

Pendidikan serta keadaan sains dan teknologi dalam negara-negara Islam juga digambarkan sebagai muram dan tidak seaktif atau maju seperti negara bukan Islam. Ini membuktikan bahawa pengajian tinggi di dunia Islam ini terganggu oleh pelbagai halangan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penyakit yang menjadi asas kepada kejatuhan pendidikan negara-negara Islam ini berada dalam diri Muslim itu sendiri dan bukannya datang dari luar.

“Oleh itu, adalah penting untuk kita semua menyedari bahawa pendidikan merupakan ubat yang paling mujarab untuk menangani krisis yang boleh menjatuhkan ummah,” katanya dalam teks ucapan perasmian Seminar Antarabangsa Tentang Pengajian Tinggi di Dunia Muslim: Cabaran dan Prospek anjuran Institut Antarabangsa Untuk Penyatuan Ummah (IIMU) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) yang dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Idris Haron, baru-baru ini.

Tambahnya, satu usaha bersepadu mestilah diambil oleh kepimpinan negara-negara Islam untuk menggerakkan sumber-sumber dan tenaga manusia dalam menyokong satu pembaharuan pendidikan dan pembangunan tenaga manusia yang bermakna.

Perunding Program Sheikh Saqr Untuk Kecemerlangan Kerajaan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Naceur Jabnoun berkata, sesebuah universiti Islam itu akan berjaya jika amalan seperti kebebasan bersuara, perbincangan, meritokrasi dan transparensi dijadikan asas untuk menzahirkan impian bagi mengatasi pendidikan negara-negara bukan Islam.

Baginya, matlamat jangka panjang adalah penting berbanding matlamat jangka pendek kerana untuk melahirkan ahli-ahli akademik yang cekap dan mahir dalam sesuatu bidang, ia memerlukan masa.

“Perkara-perkara seperti kebebasan bersuara, kualiti, penghasilan ciptaan baru yang tidak meniru serta menaruh lebih kepercayaan daripada syak wasangka merupakan prinsip-prinsip yang perlu ada bagi melahirkan universiti yang cemerlang dalam bidang pendidikan.

“Apa yang lebih penting ialah sikap takutkan Allah lebih daripada takutkan manusia. Jika ini wujud, universiti- universiti dalam negara-negara Islam akan mampu melatih dan melahirkan fakulti yang berkelayakan serta menghasilkan kajian yang berkualiti yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Dengan cara ini juga ia akan dapat melahirkan graduan yang berkualiti dan bukan hanya sekadar memiliki ijazah sahaja,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk Faktor-faktor Mempengaruhi Kecemerlangan Universiti: Pengajaran Untuk Negara Islam pada seminar dua hari itu, baru-baru ini.

Seminar yang berlangsung di hotel terkemuka di ibu negara itu membincangkan pelbagai isu yang berkaitan dengan pendidikan di dalam negara-negara Islam hari ini.

Sebanyak 80 kertas kerja dibentangkan oleh ahli-ahli akademik dalam dan luar negara pada seminar yang dihadiri kira-kira 200 peserta dari negara-negara Islam seluruh dunia.

Menurut Naceur, dengan adanya seminar seperti ini, negara-negara Islam dapat duduk berbincang bagi menyelesaikan masalah kemunduran pendidikan tinggi serta mengenal pasti punca-punca ia terjadi.

“Ini merupakan satu langkah yang bijak yang diambil oleh negara-negara Islam dalam menangani masalah-masalah dalam sistem pendidikan tinggi,” katanya.

No comments: