Tuesday, April 8, 2008

Apabila komputer berkata-kata

Source: Utusan Online, Sains & Teknologi

Date: 8 April 2008 / 1 Rabiul Akhir 1429

Apabila komputer berkata-kata

ADA sesuatu yang menarik ditawarkan dalam teknologi maklumat khususnya yang berkaitan dengan buku elektronik ini.

Dengan menggunakan perisian atau perkakasan khas, anda boleh mengubah teks yang bertulis kepada suara yang boleh didengar dengan jelas.

Program yang dikenali sebagai ‘sintesis ucapan’ bermaksud, kata-kata manusia yang dihasilkan secara artifisial manakala komputer bertindak sebagai alat sintesis.

Secara mudahnya, teknologi ini yang juga dikenali sebagai ‘teks-kepada- ucapan’ (text-to-speech atau tts) yang merupakan sistem yang mengubah teks bertulis kepada bunyi yang dibacakan oleh komputer kepada kita.

Taiplah sahaja apa perkataan yang anda ingin dengar, selepas itu dengarkan sebutan dalam bentuk audio dengan jelas.

Kualiti suara atau ucapan yang dikeluarkan bergantung kepada sejauhmana kesamaannya dengan bunyi suara manusia atau sama ada memahami apa yang diucapkan.

Teknologi ini bukan baru tetapi tidak ramai kalangan kita menyedarinya sedangkan ia amat penting khususnya mereka yang cacat penglihatan.

Microsoft telah menawarkan teknologi tersebut dengan Microsoft Reader unntuk komputer peribadi serta serta PC berasaskan Windows selain komputer bimbit.

Produk Microsoft ini mempunyai ciri-ciri yang membawa teknologi buku elektronik (e-buku) kepada masyarakat dan menawarkan pengalaman membaca yang menarik.

Bagi membolehkan Microsoft Reader berfungsi, ia hendaklah dimasukkan sebelum pakej Microsoft Reader Text-to-Speech Package dipasang dalam PC anda.

Difahamkan pakej tersebut dikeluarkan dalam tiga bahasa iaitu Inggeris, Perancis dan Jerman.

Berdasarkan sejarah, komputer pertama yang menggunakan teknologi tersebut dihasilkan pada 1950-an manakala sistem teks kepada ucapan yang lengkap dihasilkan pada 1968.

Menyeronokkan

Teknologi ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga memberi peluang kepada mereka yang menghadapi masalah pembacaan atau penglihatan, mendapatkan maklumat daripada mana-mana teks.

Meskipun sistem ini mempunyai kelemahan memandangkan ia sukar menyebut perkataan yang tidak mempunyai suku kata, tetapi kita masih mampu meletakkan harapan memandangkan penggunaannya secara tidak langsung memberi impak besar kepada industri perbukuan.

Program tersebut yang kini dikomersialkan bagaimanapun tidak sesuai diaplikasikan untuk mengubah intonasi kerana suara yang dikeluarkan tidak menunjukkan sebarang perubahan nada suara.

Sekiranya anda bertujuan menggunakan suara tersebut untuk memarahi atau memujuk seseorang, ada kemungkinan ia tidak berhasil.

Jika anda menaip kata-kata pujukan yang berjela-jela dan bermadah sekali pun, yang terhasil hanyalah kata-kata seorang pembaca skrip yang mungkin sedap tetapi agak mendatar.

Bagaimana ia beroperasi?

SISTEM teks-kepada-ucapan (TTS) atau enjinnya terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian hadapan dan belakang.

Bahagian hadapan mempunyai dua tugasan utama iaitu menukarkan teks yang mempunyai simbol-simbol seperti huruf dan nombor kepada perkataan.

Proses ini dikenali sebagai pengnormalan, praprosesan atau tokenisation teks. Bahagian ini akan menugaskan transkripsi fonetik kepada setiap perkataan seperti frasa, klausa dan perkataan.

Proses itu akan menugaskan transkripsi fonatik perkataan dikenali sebagai penukaran ‘teks-kepada-fonem’ yang merujuk kepada unit bunyi yang membezakan makna kata.

Manakala, bahagian belakang pula dirujuk sebagai alat sintesis yang menukarkan wakil simbol linguistik kepada bunyi.

Sejarah

SEBELUM sistem pemprosesan isyarat elektronik dicipta, saintis telah cuba membina mesin yang meniru suara manusia.

Antara saintis yang terlibat dalam usaha mencipta ‘mesin bercakap’ ialah Gerbert of Aurillac (1003), Albertus Magnus (1198– 1280) dan Roger Bacon (1214–1294).

Pada 1779, saintis Denmark Christian Kratzenstein yang bekerjasa di Akademi Sains Rusia telah membina model saluran suara manusia yang boleh menghasilkan lima bunyi vokal iaitu ‘a,e,i,o,u.’

Ini diikuti dengan ciptaan reka bentuk ‘mesin ucapan akuastik-mekanika’ oleh Wolfgang von Kempelen dari Vienna, Austria pada 1791.

Mesin ini menambah lidah dan bibir kepada model sedia ada untuk membolehkan ia membunyikan konsonan dan vokal.

No comments: