Monday, April 7, 2008

Kemusykilan Anda Dijawab 8 April 2008

Source: Utusan Online, Bicara Agama

Date: 8 April 2008 / 1 Rabiul Akhir 1429

Menyerupai Yahudi

Soalan: SAYA terbaca pendapat yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. melarang kita meniru orang kafir seperti Yahudi dan lain-lain sekalipun pada perkara yang baik dan menguntungkan umat Islam. Oleh itu apakah maksud sabdanya bermaksud: Siapa yang menyerupai sesuatu kaum itu dia adalah sebahagian daripada kaum tersebut.

– Othman Harun,

Paloh, Palekbang, Kelantan.

JAWAPAN: Anda tidak sepatutnya terpengaruh dengan pemikiran mereka yang keliru seperti ini. Mereka tidak faham maksud hadis yang tersebut di atas. Cuba anda fikir bahawa Rasulullah mengarah kita belajar dan mengambil daripada sesiapa sahaja dalam perkara kebaikan dan menguntungkan kita. Malah Rasulullah sendiri ikut sama berpuasa pada 10 Muharam kerana meraikan kejayaan Nabi Musa pada hari itu dan katanya, Aku lebih berhak dengan Nabi Musa dari kamu semua (Yahudi) tetapi untuk tidak menyerupai mereka ditambahkan puasa tersebut menjadi dua hari dan bukan satu hari, itu sahaja caranya untuk tidak menyerupai perayaan mereka.

Jadi dengan menambah atau mengurangkan sesuatu itu, ianya sudah menjadi tidak serupa dan tidak menyamai sesuatu yang ditiru tersebut. Jangan jadi keliru pula umpamanya puasa tersebut dikatakan tidak sunat kerana dilarang menyerupai dan meniru orang lain. Pada zaman Rasulullah sendiri baginda pernah menyuruh umat Islam belajar daripada orang bukan Islam (tawanan perang).

Apakah yang dilakukan oleh baginda itu bertentangan dengan apa yang telah disabdakan dalam hadis yang anda maksudkan? Jelas di sini maksud hadis itu perlu difahami dari perspektif yang menyeluruh bukannya kita memahami sesuatu itu mengikut sumber yang tidak berasas contohnya di Internet. Satu contoh lagi umpamanya orang Yahudi biasanya menaruh misai yang panjang maka disuruhnya kita menggunting misai dan meyimpan serta memanjangkan janggut lalu sabdanya

“Salahilah mereka” maksud hadis.

Demikian maksud tidak menyerupai mereka. Jangan menolak langsung ibadat sunat puasa serta perkara kebaikan yang lain kerana kononnya tidak mahu menyerupai orang lain. Demikianlah dalam perkara kebaikan yang lain seperti perayaan maulidur Rasul, persenjataan, perekonomian dan ilmu pengetahuan sains dan teknologi. Sedangkan perayaan kita langsung tidak sama dengan perayaan mereka di mana kita berselawat dan mengadakan majlis ilmu (yang amat disukai Rasulullah sendiri).

Jangan sampai kita jadi bodoh pula oleh kerana alat senjata dan kelengkapan pertahanan ini kebanyakannya meniru dari bukan Islam maka ingin kita tinggalkan. Malah sepatutnya alat pertahanan kita ditambah baik serta lebih canggih dan kuat berbanding pertahanan mereka.

Realitinya mereka yang tidak mahu menyerupai orang lain itu (bukan Islam) lebih banyak meniru dan menyerupai mereka terutama dalam pertahanan dan ilmu pengetahuan sains dan sebagainya. Wallahualam.

Haji orang tua

SOALAN: Orang tua saya sudah meninggal dunia tetapi belum sempat menunaikan ibadat haji untuk dirinya sedangkan dia mempunyai dua bidang tanah sawah. Apakah kalau saya melakukan haji dan umrah untuknya, saya boleh menjual satu bidang tanahnya itu untuk perbelanjaan haji tersebut? Adakah tanah tersebut tidak menjadi sebahagian dari harta pusaka?

– Mukti Subki,

Masjid Tanah, Melaka.

JAWAPAN: Setiap ibadat yang belum dikerjakan itu dikira tertanggung atas zimmah si mati tersebut. Sekiranya dikira daripada orang yang berkuasa maka ibadat tersebut mesti dilaksanakan oleh anaknya atau orang lain dengan belanja dari harta peninggalannya. Harta itu tidak boleh dibahagi sebagai pusaka kerana harta tersebut sepatutnya dibelanjakan untuk menunaikan haji dan kewajipannya yang lain. Selepas itu semua, barulah tanahnya itu harus dijualkan untuk perbelanjaan hajinya yang belum terlaksana semasa hidupnya. Lainlah kalau hartanya tidak mencukupi dan dia termasuk dalam kumpulan mereka yang tidak berkuasa. Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: Wajib menunaikan haji kepada Allah setiap mereka yang berkuasa pergi kepadanya (surah al-Imran ayat 97). Di samping haji, juga wajib dikerjakan umrah untuknya. Allah berfirman yang bermaksud: dan sempurnakan ibadat haji dan umrah kerana Allah. (Surah al-Baqarah ayat 196).

Ini juga berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, Nabi bersabda bermaksud: seorang wanita dari bani khas‘aamiah datang berjumpa Rasulullah s.a.w. dan bertanya mengenai bapanya yang sudah berusia dan uzur tidak mampu menunggang lagi. Apakah dia boleh mengerjakan haji untuk mengganti ayahnya itu. Maka sabda Nabi ya! (hadis riwayat Bukhari).

Dalam suatu hadis lain, Rasulullah bersabda: Tidakah kamu fikir sekiranya ibu bapa kamu ada mempunyai hutang tidakkah engkau perlu membayarnya? Jawab orang itu ‘ya’ bahkan, sabda Nabi s.a.w. ‘demikian juga hutang Allah adalah lebih perlu dibayar’. Atas dasar hadis inilah ada ulama yang cuba melakukan ibadat yang ditinggalkan oleh keluarga mereka kerana semata-mata – melihatnya sebagai hutang. Sedangkan apa sahaja bentuk hutang itu, perlu dijelaskan dan wajib dibayar. Ulama yang menyokong pendapat tersebut termasuk Imam Subki sendiri. Wallahualam.

Harta pusaka wang KWSP

Soalan: Adakah wang bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu termasuk dalam harta pusaka yang tidak boleh digunakan melainkan setelah dibahagi sebagai pusaka terlebih dahulu dan bagaimana dengan wang sedekah pada hari kematian adakah sama hukumnya?

– Yunus Ahmad,

Merbau Kota Bharu, Kelantan.

JAWAPAN: Adapun wang KWSP dikira dari harta simpanan si mati dan termasuk dalam harta pusaka peningggalan si mati. Ianya tidak harus dibelanjakan melainkan dengan persetujuan keluarga penerimanya yang berhak terlebih dahulu. Ini disebabkan wang tersebut adalah dari harta yang disimpan oleh si mati tadi. Berlainan dengan wang yang didermakan pada hari kematiannya. Wang ini, tidak boleh dimasukkan dalam harta kepunyaan si mati sebagai harta pusaka yang ditinggalkan oleh si mati kerana itu adalah wang yang pada ‘uruf masyarakat, didapati bukan pada masa hidupnya tetapi setelah lepas kematiannya. Yang diberikan oleh masyarakat untuk membantu pengurusan pengebumiannya dan keperluan yang lain. Jadi wang tersebut tidak harus dicampurkan dengan harta pusakanya yang lain. Begitu juga sekiranya ada wang lain yang diterima hendaklah dilihat terlebih dahulu dan dimasuk dalam kumpulan bahagiannnya, seperti wang upahan kerja ibadat hajinya yang belum dikerjakan maka bayaran upah hajinya itu mestilah diasingkan terlebih dahulu dan jangan dibahagi sebagai pusaka kerana wang itu dikira termasuk dalam hutang atas zimmah si mati yang belum dibayar, sedangkan pusaka itu boleh dibahagi selepas segala hutangnya diselesaikan terlebih dahulu. Wallahualam.

- ALAMATKAN kemusykilan anda kepada Kemusykilan Anda Dijawab, Yadim, Jalan Perdana 50480 Kuala Lumpur atau e-mel mingguan@utusan.com.my. Nyatakan nama penuh dan nama samaran untuk siaran.

No comments: