Tuesday, April 8, 2008

Masalah hubungan kaum pengaruhi ekonomi Indonesia

Source:Berita Harian Online
Date: 8 April 2008/ 1RAbiul Akhir 1429
Oleh Shaidah Shafie

PENGUASAAN etnik Cina dalam ekonomi Indonesia didakwa mengakibatkan hubungan kelompok terbabit dengan masyarakat pribumi negara jiran itu hanya berlangsung dalam lingkungan urusan perniagaan.

Rumusan ini dibuat berdasarkan dapatan kajian Pensyarah Universitas Indonesia yang juga Sarjana Tamu, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Amri Marzali yang didedahkan pada Wacana Masalah Cina dan Masa Depan Ekonomi Indonesia.


“Kajian itu turut mendapati, meskipun menguasai ekonomi Indonesia, etnik Cina berdepan dengan beberapa masalah sosial disebabkan beberapa faktor,” katanya pada acara di Sudut Wacana Atma, UKM, Bangi, baru-baru ini.

Kejayaan dalam bidang ekonomi turut mengakibatkan etnik Cina di Indonesia membentuk citra peribadi mereka sehingga tampil sebagai masyarakat yang angkuh, eksklusif, antiasimilasi selain tidak berjiwa sosial.

Prof Amri menjelaskan pada zaman Hindia Belanda, etnik Cina sering berasa diri mereka lebih tinggi dan hebat daripada pribumi selain memandang rendah kepada mereka yang dilihat sebagai kumpulan masyarakat kurang berbudaya, terbelakang lagi miskin.

Keadaan bertambah keruh apabila etnik Cina cenderung berkahwin dan bergaul sesama mereka serta bercakap bahasa kelompok sendiri menyebabkan masyarakat pribumi melihat etnik China sebagai manusia mata duitan, individualistik di samping enggan bercampur masyarakat setempat.

“Mereka bergaul sesama sendiri dan mengamalkan adat istiadat nenek moyang. Bahkan di Kalimantan Barat, mereka dengan bangganya menggunakan bahasa Cina di tempat awam kerana menganggap perbuatan itu sebagai hak asasi manusia,” katanya pada wacana yang dipengerusikan Felo Penyelidik Kanan Atma, Prof Madya Dr Supyan Hussin.

Prof Amri mendedahkan retorik sejarah tinggal penjajah, Belanda, menyebabkan penduduk Indonesia terpecah kepada tiga kelompok iaitu kelas atasan di kalangan keturunan warga Eropah, kelas kedua (Orang Timur Asing) dan kelas ketiga (Pribumi Islam).

Justeru, pecahan yang diwujudkan penjajah kolonial menjadi pemangkin kepada etnik Cina untuk menganggap diri mereka lebih baik daripada masyarakat pribumi bahkan ada di kalangan mereka ini diberi tugas mengutip cukai bagi kepentingan penjajah di kalangan pribumi.

“Hal ini menjelaskan lagi betapa rendahnya pandangan kolonial terhadap pribumi berbanding kelompok perantau. Fakta lain yang menyokong pandangan itu antara lain ketidakcekapan pemerintah pimpinan pribumi dalam mengatur rakyat.

“Paling menguatkan lagi persepsi negatif etnik Cina kepada pribumi ialah tindakan seorang pangeran yang berniat menggulingkan bapa saudaranya dengan meminta bantuan kumpulan pengacau Cina sehingga menyebabkan kelompok terbabit berasa handal dalam peperangan,” ujarnya.

Penguasaan etnik Cina dalam sektor perkilangan, industri dan perikanan turut menyaksikan tauke Cina menjadi penaung kepada nelayan Melayu sehingga melebarkan lagi jurang ekonomi antara mereka.

“Meskipun ada pribumi yang menceburkan diri dalam bidang perindustrian, mereka hanya mampu melakukannya dalam skala kecil dan seolah-olah masih ditanggapi pemikiran, pribumi berusaha sekadar untuk mencari makan serta tidak mampu memperbesarkan perusahaan,” katanya.

Dapatan kajian Prof Amri turut menunjukkan peniaga Minangkabau di Pekan Baru adalah pesaing hebat etnik Cina dalam bidang perniagaan meskipun tertinggal daripada segi layanan dan harga yang ditawarkan kerana terpaksa mendapatkan bekalan daripada etnik Cina.

Beliau menyarankan Kerajaan Indonesia berpegang kepada ungkapan Minangkabau, Belajar Ke Yang Sudah Lalu, bagi menyusun semula sistem ekonomi negara itu agar tidak hanya dikuasai satu kelompok saja.

“Indonesia perlu mempunyai sikap jelas dan konkrit dalam menentukan sistem ekonomi negara. Ia perlu disusun semula, sistem pentadbiran negara yang teratur perlu dibangunkan di samping mengutamakan pemerintahan negara yang bersih lagi bermaruah,” katanya.

No comments: