Wajib pertahan negara
Bersama:KAMIL MAJID
SOALAN: Assalamualaikum, saya lihat, pada zaman ini semakin ramai masyarakat yang tidak menyokong sektor ketenteraan dan pertahanan. Malah, ada sebilangan ibu bapa yang kurang atau tidak senang melihat anak-anak mereka menyertai pasukan keselamatan dengan alasan ‘umur tak panjang’, ‘takut jadi balu atau duda’,‘gaji sedikit’ dan sebagainya. Adakah benar pendapat seperti ini bagi pandangan Islam?
– Mohamad Fahmi Amin Zolkepli,
Jitra, Kedah.
JAWAPAN: Soalan yang cukup baik. Saudara cukup prihatin dengan persoalan keselamatan negara. Saudara seorang yang cukup memahami keperluan mempertahankan negara.
Dalam Islam, setiap daripada kita ada kewajipan terhadap negara. Mereka yang ingin menjaga maruah negara, malah maruah agama yang wujud dalam sesebuah negara disanjung tinggi. Malah menjadi kewajipan. Bukannya pilihan lagi.
Isu ketenteraan cukup penting sehingga menjadi dasar hidup muslim wajib mempertahankan negara. Bukankah Allah berfirman agar kita mempersiapkan kekuatan dan ketenteraan sehingga menggerunkan musuh?
Setiap daripada diri kita dituntut menyayangi negara dan tanah air. Apalagi mempertahankan tanah air jika diserang musuh.
Apa yang penting isu keselamatan dan ketenteraan sepatutnya dikaitkan dengan perintah agama bagi mempertahankannya. Justeru itu setiap orang merasakan bertanggungjawab mempertahan tanah air dan tidak timbul pelbagai tanggapan negatif terhadap isu pertahanan negara malah soal keselamatan negara secara keseluruhannya.
Sepatutnya setiap ibu bapa bangga jika ada daripada kalangan anak-anak mereka yang ingin menyertai tentera atau pasukan keselamatan dengan niat memberi khidmat kepada bangsa, negara malah agama.
Sudah sampailah masanya, persepsi pertahanan negara dan isu keselamatan dikaitkan dengan bukan sahaja keperluan negara tetapi menjadi tuntutan agama.
Hanya yang perlu diberikan perhatian, niat mesti diperbetulkan. Bukankah nabi mengingatkan para sahabat yang baru berpeluang berperang mempertahankan agama itu pun masih pulang daripada perjuangan yang kecil kerana perjuangan lebih besar adalah perjuangan melawan nafsu, berbakti dengan ikhlas, bukan atas tujuan mencari nama, pangkat atau kedudukan.
Apabila timbul ura-ura kekurangan calon untuk direkrut dalam tentera atau pasukan keselamatan, ada sesuatu perkara yang tidak kena dalam pendekatan kita mempromosi tugas ini.
Keperluan
Jika ia dikaitkan dengan tuntutan agama, keperluan negara maka sepatutnya menjadi kebanggaan semua pihak untuk melepaskan anak mereka masuk dalam bidang tersebut. Malah ibu bapa sepatutnya mendorong supaya ada dalam setiap keluarga mereka yang sanggup mempertahankan tanah air dan bangsa daripada ancaman musuh luar, mahupun musuh dalam yang sengaja merosakkan keamanan orang ramai.
Dalam keadaan jenayah yang makin terjadi, gejala sosial yang makin besar saiznya, apatah lagi amar makruf nahi mungkar yang perlu. Adakah dengan hanya melalui khutbah dan ceramah? Saya berpendapat memasuki pasukan keselamatan dan menjadi tentera satu amalan baik yang didukung oleh agama.
Dengan wujudnya KAGAT dalam tentera dan unit agama dalam pasukan polis diharapkan tugas ketenteraan ini makin menjadi tarikan. Kerja mengawal keselamatan negara juga menjadi pilihan.
Tidak timbul sama sekali persepsi negatif seperti yang saudara tanya. Soal umur panjang atau pendek bukan kerja kita. Nyawa boleh melayang bila-bila masa sahaja. Contohnya, di Malaysia, mereka yang mati kerana kecelakaan jalan raya jauh lebih besar daripada mereka yang tewas dalam peperangan.
Tiap hari ada sahaja yang menjadi balu atau duda. Barangkali mati kerana tidak cukup senaman atau kerana penyakit lebih ramai daripada mati kerana dibunuh oleh penjenayah. Sedangkan mati kerana mempertahankan negara dan agama dalam tentera atau pasukan keselamatan jauh lebih bermaruah daripada mati kerana jangkitan HIV atau penyakit kerana cara hidup menyimpang atau mati kerana merempit.
Alasan gaji sedikit juga tidak timbul, jika mereka yang terlibat dalam pasukan keselamatan dan tentera yang sudah dibekalkan dengan kelulusan yang baik dan kemahiran yang tinggi dalam pelbagai lapangan yang diperlukan.
Islam satu agama yang cukup praktikal, memahami keperluan keadaan yang sentiasa berubah. Keperluan pertahanan dan keselamatan pada masa ini juga bukan hanya memerlukan kualiti fizikal semata-mata tetapi kualiti dan kecanggihan teknologi dalam peperangan zaman moden mahupun pemeliharaan keselamatan dalam negeri.
Jika diteliti dalam pendekatan Islam Hadhari pun salah satu prinsipnya pertahanan negara dan menjamin keselamatan negara yang mempunyai peranan penting dalam menstabilkan politik dan ekonomi negara. Malah dengan jaminan keselamatan juga kemajuan agama dapat berjalan lancar.
Lihatlah mereka yang keselamatan tidak terjamin apatah lagi pertahanan negara yang rapuh, sukar untuk menjalani amal ibadat seperti apa yang sedang berjalan di negara kita.
Nyatalah isu yang dibincangkan ini, pada asasnya satu fardu kifayah yang dituntut, malah menjadi fardu ain pada situasi yang tertentu. Selamat berjuang.
- Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. E-mel: kamilmajid50@yahoo.com.
No comments:
Post a Comment